BERITA+: Intai rahsia di sebalik pemuliharaan Koleksi Nasional Singapura
Siapa yang menyangka bahawa sebuah bangunan perindustrian di 32 Jurong Port Road menempatkan koleksi karya dan artifak negara yang tidak ternilai harganya.

Antara 27 ruang penyimpanan di Pusat Pemuliharaan Warisan yang menempatkan Koleksi Nasional. (Gambar: BERITAmediacorp)
SINGAPURA: Siapa yang menyangka bahawa sebuah bangunan perindustrian di 32 Jurong Port Road menempatkan koleksi karya dan artifak negara yang tidak ternilai harganya.
Dinamakan Pusat Pemuliharaan Warisan (HCC), ia dibuka pada 15 September 2000 dan merupakan kemudahan penyimpanan dan pemuliharaan koleksi nasional dan barang purba yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.
Lebih 250,000 artifak serta karya seni diurus dengan teliti oleh sepasukan 71 profesional terlatih - antaranya Penolong Pengarah Pengurusan Koleksi, Encik Mohamed Hafiz Shariff.
"Kerja yang kami lakukan di sini sangat bermakna kerana setiap artifak dan karya seni menceritakan kisah penting yang membantu rakyat Singapura memahami identiti dengan warisan bersama dengan lebih baik," ujar beliau.
"Walaupun peranan utama kami secara operasi adalah memastikan artifak dan karya seni dalam Koleksi Nasional dipertingkatkan kepada tahap optimum untuk pameran di muzium, kami juga ada tujuan untuk memastikan objek-objek dipelihara untuk semua generasi masa depan."


Seni pemasangan berjudul 'Tunnel' oleh Mark Justiniani ini antara projek yang dikendalikan Encik Hafiz bersama pasukan pengurus koleksinya. (Gambar-gambar ihsan: Lembaga Warisan Negara)
Setiap karya seni atau artifak baru yang tiba di HCC disambut pasukan pengurus koleksi yang dipimpin Encik Hafiz.
Merekalah yang bertanggungjawab melakukan “accessioning” – iaitu proses pendaftaran di mana sesuatu objek diperiksa, diukur dan ditandakan dengan nombor sebelum dimasukkan ke dalam pangkalan data Koleksi Nasional.

Setelah didaftar, artifak itu dialihkan pula kepada pasukan konservator, yang terdiri daripada 33 pakar pemuliharaan dengan pengkhususan dalam empat bidang - Tekstil, Objek, Kertas dan Lukisan.
"Sebagai seorang konservator, saya memperbaiki dan juga memulih semula lukisan dan karya seni. Kami menyiapkan lukisan itu untuk dipamerkan dan bagi lukisan-lukisan yang disimpan, kami memantau dan memastikan bahawa mereka dalam keadaan terbaik dan stabil," kongsi Penolong Konservator di bahagian Lukisan HCC, Cik Filzah Mohd Amir.
"Jadi dalam satu hari itu, kami membuat ‘condition check’ atau meneliti lukisan itu untuk menentukan keadaannya. Kalau ia perlu rawatan atau tidak."
Cik Filzah menerangkan setiap langkah pemuliharaan harus dirakamkan dengan teliti, agar konservator seterusnya dapat membezakan bahan tambahan pada lukisan daripada yang asli.
Bukan itu sahaja. Jika melukis pun tidak boleh sembarangan.
Para konservator memegang kepada kod etika yang tegas ketika melakukan kerja-kerja pemuliharaan.

"Bahannya tidak boleh sama dengan bahan asli. Jadi kalau ia cat minyak, kami tidak boleh gunakan cat minyak. Kami kena gunakan cat air, ‘gouache’ atau pun ‘gamblin’ supaya kami boleh membersihkannya lagi."
Beliau menekankan: "Cara kami mengaplikasikan cat itu tidak boleh serupa kerana kami tidak boleh meniru. Kami bukan pelukisnya."
Maka itu, ahli konservator seperti Cik Filzah melukis dengan garisan ataupun butiran kecil yang dapat dibezakan dari dekat, tetapi nampak sebagai satu lukisan dari jarak jauh.
Sebagai graduan jurusan kimia dari Universiti Nasional Singapura (NUS), Cik Filzah tidak pernah menyangka akan bekerja dikelilingi karya seni.
Sepanjang tujuh tahun sebagai konservator, Cik Filzah rajin mengasah kemahirannya dengan mengikuti kursus di sekolah seni tempatan untuk mempelajari seni lukisan dari asas.
Beliau turut merebut peluang menghadiri kursus pemuliharaan artifak di luar negara, di mana pengetahuan mengenai bidang itu lebih maju.
Yang jelas, pasukan di HCC mengambil serius peranan mereka sebagai penjaga dan pemelihara Koleksi Nasional Singapura.
"Saya berasa sangat teruja dan berbesar hati setiap hari berada di sini dan melakukan tugas saya untuk memastikan bahawa kisah-kisah ini hidup dan diceritakan dan dikongsi semula," ujar Encik Hafiz yang mula bertugas di HCC sekitar sembilan bulan lalu.
Cik Filzah pula berharap generasi masa depan akan lebih menghargai kemewahan ilmu dan budaya yang wujud pada zaman-zaman terdahulu menerusi pemuliharaan Koleksi Nasional.
"Karya ini tidak boleh hilang. Kami rasa ia membina jati diri kita untuk masa hadapan. Jadi penting untuk kita memeliharanya," kata beliau.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.