Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Ibu bapa, prasekolah main peranan penting persiapkan kanak-kanak untuk ke darjah 1

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Penggal baharu sekolah akan bermula dalam beberapa hari sahaja lagi.

Bagi kanak-kanak yang akan melangkah ke darjah satu, ada yang ghairah tapi ada juga yang berdebar-debar.

Mujur, program persiapan yang ditawarkan sebilangan tadika dan secara privet, banyak membantu dalam membolehkan mereka sesuaikan dengan rutin dan suasana baharu.

PILIH UNTUK HANTAR ANAK KE-3 KE MADRASAH

Antara ibu bapa yang sudah mengambil langkah proaktif beberapa bulan sebelum ini ialah pasangan Encik Haryardy-Ewan Abdul Rahman dan isteri, Cik Haslynda Hassan.

Hampir setiap hari, mereka meluangkan masa untuk membuat latihan bahasa Arab bersama anak mereka.


Minggu hadapan, anak bongsu mereka akan memulakan pendidikan darjah satu di Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah.

Meskipun sudah ada pengalaman persiapkan anak untuk ke darjah 1, perasaan kali ini lebih mendebarkan kerana ini kali pertama menghantar anak ke madrasah sepenuh masa.

Dua anak mereka sebelum ini dimasukkan ke sekolah sekular.

"Sekarang ibu bapa ada lagi kesedaran yang pendidikan madrasah itu sebenarnya sangat penting. Bagi kami sendiri mengapa kami mengambil keputusan untuk menghantar anak yang ketiga dan bukan dua anak pertama kami? Kami ingin lakukannya tetapi kami sendiri tidak bersedia sebagai ibu bapa.

"Ibu bapa ingin masukkan anak mereka ke madrasah mungkin disebabkan selain mempelajari subjek-subjek sekular, anak-anak dapat pelajari kandungan Arab juga," kata Cik Haslynda kepada wartawan Syawal Yusoff.

(Gambar: Syawal Yusoff)

KELAS-KELAS PENGAYAAN UNTUK SIAPKAN MURID BAGI UJIAN KEMASUKAN MADRASAH

Sebelum mendapat tempat di madrasah, setiap murid perlu menduduki Ujian Kemasukan Madrasah (MET) di madrasah pilihan mereka.

Ujian itu mengambil sekitar dua jam dan murid-murid perlu mengambilnya sendiri, tanpa dibimbing ibu bapa.

"Pada waktu pagi, ibu bapa akan pergi bersama anak-anak dan mendaftar untuk mendapat slot masa. Seterusnya anak anda akan dibawa ke bilik darjah atau dewan sekolah. Anda boleh menunggu di sekolah sehingga ujian sudah selesai dan pulang," kongsi Cik Haslynda.

Selain subjek-subjek asas seperti Bahasa Inggeris, Melayu, Sains dan Matematik, kebolehan mereka dalam bahasa Arab juga diuji.

Lantaran itu, terdapat kelas-kelas pengayaan yang menawarkan program setiap minggu untuk mempersiapkan anak-anak untuk MET.

Meskipun tiada tempoh tetap untuk mulakan persiapan, ada sebilangan ibu bapa memilih untuk menghantar anak-anak mereka seawal tiga atau empat tahun lagi.

Bagi Cik Haslynda, beliau memilih untuk menghantar anaknya ke pusat 'Future Khulafa' yang menawarkan sesi-sesi kelas-kelas persiapan.

"Apabila kami menghantar anak kami pergi pusat 'Future Khulafa', ia sangat membantu sebab pusat tersebut akan lakarkan apakah yang akan diajar. Lima minggu sebelum MET, pusat itu akan mengadakan ujian latihan. Jadi ujian latihan itu dapat membantu sesuaikan anak kepada persekitaran, jangka masa ujian itu sendiri. Seperti ada latihan untuk anak-anak membiasakan diri dengan MET itu sendiri," kata Cik Haslynda.

Menurut Cik Haslynda, beliau menerima emel tentang keputusan anaknya sekitar dua bulan selepas menduduki MET.

"Apabila anak kami sudah diterima di madrasah tersebut, pihak madrasah akan berikan bahan-bahan pembelajaran untuk membantu ibu bapa terus membuat persiapan. Jadi itu sangat membantu juga," jelasnya.

IBU JUGA BUAT PERSIAPAN, AMBIL KURSUS BAHASA ARAB

Bagi membantu anaknya, Cik Haslynda sendiri mengambil kursus bahasa Arab khas untuk golongan ibu secara online.

Kursus 10 minggu yang ditawarkan syarikat Arabic Anonymous itu diadakan melalui 'Zoom', 15 minit setiap sesi.

"Apabila saya sudah bercakap dengan Ustazah, selepas kelas saya akan cuba terapkan dengan anak saya pula. Anak kami masuk sekolah madrasah di mana penggunaan bahasa Arab itu adalah salah satu daripada bahasa yang digunakan di sekolah. Jadi kami tidak mahu anak kami berasa terkejut," ujarnya.

Selain itu, Cik Haslynda juga cuba menyediakan sekitaran rumah yang kondusif bagi anaknya untuk belajar bahasa Arab dengan cara yang lebih menyeronokkan.

Antaranya dengan menerapkan elemen permainan menggunakan 'LEGO' dalam pembelajaran.

"Adalah perlu untuk ibu bapa siapkan ruang ataupun bahan-bahan pembelajaran untuk anak anak. Tidak semestinya cara formal seperti kad-kad imbasan atau 'flashcard'," ujarnya.

(Gambar: Syawal Yusoff)
TADIKA MOE@SPRINGDALE LATIH MURID DENGAN AMALAN-AMALAN SEKOLAH RENDAH

Bagi sekolah aliran utama pula, ada juga program untuk persiapkan anak-anak ke darjah 1.

Di tadika MOE Kindergarten@Springdale di Sengkang misalnya, kanak-kanak K2 mula didedahkan kepada amalan-amalan yang lazim dilakukan di sekolah rendah.

"Setiap hari, kanak-kanak akan melibatkan diri dalam perhimpunan pagi di mana mereka akan melibatkan diri dalam bacaan senyap menyanyi lagu kebangsaan dan melafazkan ikrar. Kanak-kanak juga digalakkan untuk membawa kotak pensel dan menggunakan alat-alat tulis mereka sendiri semasa aktiviti kelas," kata Guru Prasekolah (Bahasa Melayu), Cikgu Nur Nadirah Salim.

LATIH ANAK-ANAK UNTUK BERDIKARI, AJAR KONSEP JUAL BELI, KIRA WANG

Berbanding di tadika, para pelajar perlu lebih berdikari apabila di sekolah rendah.

Justeru, pihak tadika juga melatih kanak-kanak dengan beberapa situasi yang mungkin dihadapi para pelajar.

Ini melalui aktiviti simulasi seperti membeli makanan di kantin, murid-murid juga mempelajari konsep jual beli dan mengira wang.

"Sebagai contoh, apabila mereka sedang membeli makanan, bagi mereka itu adalah perkara baru dan jarak daripada gerai ke tempat duduk lebih jauh dibandingkan di dalam kelas tadika. Jika ada perkara seperti tertumpahnya makanan berlaku di sekolah rendah tetapi dalam konteks di mana mereka perlu membayar untuk makanan mereka.

"Jadi apabila kita bermain senario ini di dalam kelas, ini akan menyiapkan mereka supaya mereka tahu apa untuk melakukan. Jika perkara ini berlaku kepada diri sendiri atau kawan-kawan mereka," tambah Cikgu Nadirah yang sudah tujuh tahun mengajar di situ.

AMBIL TAHU PERIHAL PELAJAR WALAUPUN SETELAH TAMAT PENDIDIKAN PRASEKOLAH

Prasekolah ini yang terletak sebumbung dengan Sekolah Rendah Springdale juga memudahkan lagi para pelajar untuk lebih terbiasa dengan sekitaran sekolah rendah.

"Kami juga mengadakan lawatan ke sekolah rendah untuk kanak-kanak melihat persekitaran melibatkan diri dalam pengalaman bilik darjah. Kami juga membaca banyak buku-buku mengenai sekolah rendah. Jadi, aktiviti-aktiviti ini akan membiasakan kanak-kanak akan suasana dan rutin kelas, untuk meningkatkan keyakinan diri mereka untuk berdikari," tambah Cikgu Nadirah.

Bahkan, hubungan guru-guru tadika dan para murid juga tidak terhenti selepas mereka tamat pengajian.

"Guru kelas juga akan menghantarkan poskad kepada kanak-kanak pada bulan Januari untuk bertanya khabar kepada bagaimana mereka sudah menyesuaikan diri di persekitaran sekolah rendah. Kanak-kanak digalakkan untuk membalas surat guru dan sekiranya mereka mengalami sebarang masalah mereka dapat dibantu oleh pihak sekolah," kata Ketua Pusat, Cik Nur Hidayah Jamari.
(Gambar: Syawal Yusoff)
KEYAKINAN ANAK-ANAK MENINGKAT SELEPAS IKUTI PROGRAM PERSIAPAN

Bagi ibu bapa seperti Cik Norashikin Sulaiman, program sedemikian banyak membantu anak-anaknya.

Ketiga-ketiga anak perempuannya yang pernah mengikuti program itu tampak lebih yakin dan selesa dengan peralihan ke sekolah rendah.

"Mereka (guru-guru) katakan 'anak anda matang untuk darjah 1'. Jadi ia adalah detik yang membanggakan bagi saya kerana dia selesa dan berkongsi pemikirannya dan perasaannya dengan guru-guru dan bersikap terbuka," kata Cik Norashikin.

Anak-anaknya yang berusia antara tujuh hingga 11 tahun semuanya dimasukkan ke sekolah yang sama.

Ini bermakna, sudah tiga kali beliau melalui pengalaman mempersiapkan anaknya ke darjah 1.

Namun katanya, setiap pengalaman itu berbeza dan beliau nasihatkan ibu bapa untuk sentiasa bersabar dan bersedia membantu anak-anak.

"Apa yang saya lakukan untuk anak sulung, tidak semestinya akan serasi dengan anak kedua. Jadi saya perlu lihat situasi dan bagaimana saya boleh menolong mereka dalam cara atau haluan yang berbeza. Selalu bercakap tentang sekolah dengan cara yang positif supaya mereka lebih bersemangat untuk ke sekolah," tambahnya.

Tidak kira aliran manapun, sokongan kukuh oleh ibu bapa, keluarga dan guru penting dalam mempersiapkan kanak-kanak memulakan lembaran baharu dalam perjalanan pendidikan mereka.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan