BERITA+ HTHT: Nada Fitri hampir tidak sertai Anugerah 2026, dorongan keluarga bawa pulang gelaran juara
Nada Fitri dinobatkan juara Anugerah 2026 | This Generation Hits Different! (Gambar: Mediacorp)
Akhirnya, Nada Fitri dinobatkan sebagai juara Anugerah 2026 pada Selasa (27 Okt).
Nada mula berkecimpung dalam arena seni pada usia 14 tahun, apabila dia menyertai Dangdut Akademi Asia pada 2017.
Namun, setelah sembilan tahun menjauhkan diri, kemunculannya kembali disambut dengan kemenangan.
Pengalamannya menempuh pertandingan Anugerah serta siapakah 'orang kuat' di belakangnya dikongsikan bersama BERITA+ HTHT (Hati ke Hati) dalam kolaborasi bersama Panggung Warna Vista.
AURA SHAI: Anda menduduki tempat tertinggi beberapa kali sepanjang pertandingan Anugerah ini betul? Adakah anda menjangkakan kemenangan anda semalam berdasarkan persembahan anda?
NADA FITRI: Tak, saya tak sangka langsung sebab persembahan saya pun ada yang sumbang, ada yang terkehel juga. Saya pun ada macam salah lirik sikit. Jadi saya tak jangkakan yang saya akan menang.
AURA SHAI: Tetapi kalau kita lihat persembahan anda dari awal sampai ke episod semalam, anda sangat konsisten. Ini sebab anda, saya rasa, pada pendapat saya sebab anda tak tangan kosong, anda ada darah seni dalam keluarga betul atau tidak?
NADA FITRI: Ibu saya adalah seorang penyanyi, bapa saya seorang pemuzik, pemain keyboard.
AURA SHAI: Sebutlah nama ibu dan Ayah
NADA FITRI: Ibu saya, Henny Hanip. Ayah, Hanip
AURA SHAI: Jadi kalau anda tonton DAA, ataupun Dangdut Akademi Asia 2015, anda tentu kenal Henny Hanip!
NADA FITRI: Ya, itulah ibu saya!
AURA SHAI: Tetapi itu bukan menjamin pas ekspres untuk anda dalam Anugerah 2026 tentunya. Jadi anda sendiri mengambil bahagian dalam Dangdut Akademi Asia tahun 2017. Ketika itu, usia anda empat belas tahun?
NADA FITRI: Empat belas tahun.
AURA SHAI: Empat belas tahun saya rasa saya masih sibuk dengan sekolah. Anda dah fokus, ya?
NADA FITRI: Ya, dah fokus kepada muzik.
AURA SHAI: Memang dari kecil anda sudah terdedah dengan muzik?
NADA FITRI: Ya, saya memang suka muzik dari kecil lagi mak saya bawa pergi majlis perkahwinan. Selepas itu, saya ikut bapa saya main muzik. Jadi saya bila tengok mereka buat persembahan, saya suka.
AURA SHAI: Jadi sejak kecil Nada dah lasak bernyanyi?
NADA FITRI: Pertandingan pertama saya adalah sebuah pertandingan kecil di Bugis. Umur saya 10 tahun.
AURA SHAI: Jadi DAA bukan pertandingan remeh ya, ia di tahap yang agak tinggi juga. Anda perlu melalui bengkel-bengkel. Bolehkah anda cerita sedikit perjalanan anda ketika itu?
NADA FITRI: Saya rasa di sana agak intensif kerana latihan vokalnya setiap hari, aktiviti-aktivitinya juga setiap hari. Waktu laporan kami juga jauh lebih awal berbanding di Anugerah ini. Jam lapan pagi kita sudah perlu ada, kemudian latihan semua mesti sampai malam.
AURA SHAI: Jadi bila sampai ke Anugerah ini, tidak ada masalah ya?
NADA FITRI: Taklah, ada tekanan dia juga. Kalau di DAA, kita ada pelatih vokal dan penyusun muzik yang akan tolong kita dengan lagu kita, tetapi di sini kita harus fikirkan susunan sendiri. Macam mana kita ingin ubah lagi dan sebagainya, semua itu harus dibuat sendiri.
DORONGAN KUAT KELUARGA BAWA NADA KEMBALI KE PENTAS PERTANDINGAN
AURA SHAI: Jadi dari mana anda dapat semangat untuk kembali ke arena seni?
NADA FITRI: Ibu saya, Henny Hanip. Ibu saya yang paksa saya pergi. Sebenarnya saya tak nak sertai pun Anugerah ini sebab saya tahu bagaimana pertandingannya, tekanannya dan sebagainya. Jadi Ibu saya paksa saya dan dia kata, fikirkan anak-anak, mana tahu rezeki anak-anak.
AURA SHAI: Penyokong anda paling kuat, anak-anak ya tentunya?
NADA FITRI: Mereka mesti macam, mama menang! Pada satu masa anak perempuan saya, dia sudah empat tahun, sudah boleh fasih berbual. Dia cakap mama menang, selepas mama menang, kita pergi taman permainan yang besar. Itu sahaja yang dia minta. Mama pergi kerja, tetapi bila mama menang, mama bawa saya ke taman permainan yang besar.
AURA SHAI: Kalau untuk anugerah 2026, kita lihat setiap kali anda berjaya masuk ke babak selanjutnya, anda pasti akan menitiskan air mata. Termasuk semalam, ketika anda berjaya ke peringkat akhir dan kemudian diumumkan sebagai juara Anugerah, apakah ujian-ujiannya untuk anda?
NADA FITRI: Saya rasa cabarannya adalah masa saya dengan anak. Walaupun saya rasa tekanan, dengan mereka yang ada dengan kita ini, tak terlalu tertekan sangat.
Saya nak berterima kasih kepada ibu bapa saya pastinya, Henny Hanip dan Hanip. Terima kasih sebab selalu sokong Nada walaupun Nada cakap Nada tak boleh tapi anda selalu percaya dengan saya.
Kepada ibu mertua dengan bapa mertua, terima kasih. Mereka orang yang selalu jaga anak saya. Kerana saya seorang ibu, saya harus fikirkan siapa nak ambil anak saya, anak saya nanti nak makan apa? Kerana mereka ada, saya tak perlu fikir ini semua, mereka kata tumpukan kepada Anugerah, tumpukan kepada latihan, anak-anak anda terjaga.
Dan kepada makcik saya Rahila Rashun, sejak dari hari pertama. Terima kasih kerana selalu menyokong saya. Maksud saya, saya tak ada keyakinan dalam pertandingan ini memang saya 100 peratus tidak ada keyakinan.
Kalau tak ada dia, saya rasa saya tak ada dekat sini. Saya tak akan menjadi juara jika bukan kerana ini. Dia adalah orang yang paling penting.
Dan juga kepada kawan-kawan saya, adik ipar semua, keluarga dan saudara mara saya terima kasih kerana datang untuk pertandingan setiap minggu. Yang paling kecoh, paling bising di studio itu. Walaupun bising, tapi anda yang terbaik disebabkan bising itulah saya semangat nak nyanyi.
Dan yang terakhir, buat penyokong-penyokong saya yang sudah undi saya. Terima kasih buat selama 10 minggu ini. Anda semua yang terbaik dan saya sayang anda semua!
AURA SHAI: Nada Fitri, sekali lagi tahniah, di atas kemenangan anda untuk Anugerah 2026. Kami jangkakan yang lebih baik lagu-lagu dan juga karya-karya yang lebih baik daripada anda dalam masa-masa yang mendatang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.