BERITA+ HTHT: Jatt Ali BDB masih buat peminat ‘melayang’ dalam 'Khayalan'
SINGAPURA : Lantunan vokal yang merdu dan persembahannya yang penuh berkarisma sering membuat fikiran peminat 'melayang' dalam 'Khayalan'.
Pada usia 69 tahun, penyanyi kumpulan legenda Black Dog Bone (BDB), Tahir Ali atau lebih dikenali sebagai Jatt masih lagi aktif, malah menarik penggemar muzik baharu.
Beliau berkongsi perjalanan seninya bersama Rosli A Razak dalam BERITA+ HTHT sebelum latihan Konsert Diskorama! di Teater Esplanade baru-baru ini.
BERMULA SEBAGAI KUGIRAN MAJLIS KAHWIN
Kumpulan muzik ikonik Black Dog Bone memulakan perjalanan seni mereka dengan bermain muzik di majlis-majlis perkahwinan.
"Black Dog Bone ditubuhkan bermula daripada kita bermain di majlis orang kahwin. Waktu itu kita tidak kenal antara satu sama lain. Saya selalu pergi Geylang, nanti ada orang kahwin, bukan?" kata Jatt.
Peluang untuk menjadi sebahagian daripada kumpulan ini muncul apabila salah seorang ahli, Izzar, yang juga pemain gitar kumpulan itu, menghubunginya.
"Bila mereka perlukan seorang drummer, saya duduk di Kampung Amber. Izzar Masrom cari saya dan tanya, ‘Aku nak ajak kau join aku untuk main drum. Tujuan kita main drum ni untuk nyanyi di kelab.’"

"Waktu itu, ketika kita mula bermain, kelab pertama yang kami mainkan adalah lagu-lagu Cina, terutamanya lagu-lagu klasik Cina. Nama kumpulan kami adalah 'Adventurous' Di situ, saya belajar lagu-lagu klasik Cina. Ini pengalaman yang sangat berharga bagi saya. Saya belajar dari situ, dan berkembang. Kami juga mengiringi penyanyi dari Taiwan dan Hong Kong yang datang ke kelab."
Salah satu lagu yang mereka sering main di kelab dan masih dikenang ramai adalah lagu "Lon pan lon lau".
"Sampai sekarang hingga kini, lagu itu masih kekal. Di mana saja saya pergi, mesti dengar 'Lon pan lon lau'. Lagu itu masih saya ingat. Kenapa? Kerana pada tahun 60-an dan 70-an, lagu itu sudah ada dan masih wujud sampai sekarang. Kalau tidak percaya, tanya orang-orang Cina."

KISAH DI SEBALIK NAMA IKONIK KUMPULAN BLACK DOG BONE
Nama kumpulan muzik Black Dog Bone sering menjadi tanda tanya bagi ramai orang.
Ketika ditanya tentang asal usul nama tersebut, Jatt menceritakan bagaimana mereka memilihnya.
"Kita tukar haluan. Macam mana? Kita main lebih kepada lagu Inggeris. Ada satu nama kumpulan, Black Cat Bone, yang popular di UK. Jadi, kami fikir, kenapa tidak tukar 'cat' kepada 'dog' dan jadikan nama Black Dog Bone. Kita cakap lah, tak kisah lah. Ikut saja."
Pada mulanya, tiada sebarang masalah dengan nama tersebut semasa mereka hanya bermain di kelab-kelab malam.
Namun, apabila mula merakamkan muzik mereka, persoalan mengenai nama itu mula timbul.
"Waktu itu, kita belum rakam lagi, kita main di kelab malam, jadi tidak ada masalah. Tapi bila kita sudah buat rakaman, orang mula tanya, kenapa ada Black Dog? Kenapa Tulang Anjing Hitam?," seloroh beliau.
Walaupun nama tersebut menimbulkan persoalan, ia mempunyai aura tersediri.
"Bagi saya, Black Dog Bone ni memberi kita satu aura, rezeki. Tiba-tiba pun meletup, kan? Kadang-kadang nama ini penting. Nama band ini kadang-kadang tidak sesuai, tidak dapat aura yang baik tetapi Black Dog Bone ada aura."
Mengulas mengenai reaksi masyarakat terhadap nama tersebut, beliau berkongsi pengalaman ketika ditanya di media sosial seperti TikTok.
"Pernah kita lihat di TikTok ada yang tanya kenapa tulang anjing hitam? Kenapa tidak benda lain? Tapi bila saya cakap Tulang Anjing Hitam ini dalam bahasa Melayu, Mereka boleh terima. Bila saya kupas balik, sebenarnya BDB itu kalau betul-betul, 'Band Dari Boyan', mereka ketawa."
POPULAR DENGAN LAGU SADURAN
Pada awal kemunculannya, BDB banyak merakamkan lagu-lagu saduran, namun ia tidak menghalang kumpulan ini daripada mencipta kejayaan yang besar.
Ketika ditanya mengenai pengaruh lagu saduran dalam perjalanan muzik mereka, Jatt menjelaskan.
"Kenapa kita banyak ambil lagu-lagu saduran? Pada zaman itu, lagu saduran tidak jadi masalah. Kami tukarkan, alih bahasa sahaja dan tidak ada kritikan. Bukan kita tidak ada lagu asli, kita ada. Tetapi kita ambil separuh lagu daripada artis Jepun, artis ini, kita jadikan dalam bahasa Melayu, macam lagu 'Bila Rindu'. Lagu ini asalnya 'When I Need You' oleh Leo Sayer. Kita tukar jadi 'Bila Rindu...' dan lagu itu mendapat sambutan yang baik. Jadi, tidak ada kritikan kerana zaman itu memang tidak ada orang yang mahu cakap kenapa tidak ada lagu asli."
Mengimbas kembali perjalanan muzik BDB, Jatt menambah.

Selain lagu-lagu ikonik yang terus dimainkan di pentas, BDB turut mencipta kejayaan di luar negara.
"Kami pernah dapat tawaran untuk rakam di EMI Amsterdam. Tapi mungkin bukan rezeki kami. EMI Amsterdam berhubung dengan EMI Singapore yang berminat untuk mengambil BDB buat rakaman di sana. Namun, dengan satu syarat, EMI Singapore harus bayar kosnya. Jadi, Singapore tidak mahu dan kami rasa terkilan."
Selepas beberapa tahun bersama BDB, Jatt memilih untuk bergerak solo.
Beliau berkongsi: "Saya sudah penat dengan lagu-lagu disko. Jadi, bila saya keluar dari Black Dog Bone, Izzar, gitaris kami, juga keluar. Beliau dapat tawaran sebagai penerbit di Life Records dan menawarkan saya untuk buat album solo. Saya buat sekitar enam hingga tujuh album bersama Life Records dan pernah juga buat rakaman di Indonesia dengan Muzika Records."

Pada beberapa tahun lalu,program Gegar Vaganza (GV), membantunya kembali menonjol selepas bertahun-tahun dalam industri muzik.
Ketika ditanya apakah GV menjadi batu loncatan untuk kembali aktif dalam industri, beliau menjelaskan,
"Saya sertai GV bukan untuk apa-apa. Kalau menang, itu kira bonus. Ia adalah platform untuk saya memperkenalkan diri semula kepada generasi baru di Malaysia, supaya mereka tahu siapa saya dan siapa penyanyi lagu-lagu ini. Alhamdulillah, orang mula kenal saya, dan bilangan pengikut saya pun mula meningkat."
Selain itu, beliau turut berkongsi mengenai Projek Bapak-Bapa yang menarik.
"Satu tawaran projek yang luar biasa. Ini sesuatu yang saya tidak pernah buat sebagai seorang penyanyi, tiba-tiba perlu lakukan benda macam ni."
Ketika ditanya tentang masa depannya dalam industri muzik pada usia 69 tahun, beliau dengan rendah hati berkata, "Terpulang pada kesihatan. Kalau saya masih boleh bergerak dan berjalan, dengan kuasa-Nya, saya masih diberi kekuatan, saya akan teruskan. Itu rezeki saya. Daripada umur saya 20 tahun sampai sekarang, muzik adalah rezeki saya."
Berkenaan dengan rancangan muzik baru, beliau menyatakan,"Saya tidak mahu buat album baru. Saya mahu ambil lagu-lagu BDB yang lama, rakam semula secara akustik ke? Dengan orkestra ke?"
BDB dikenali sebagai salah satu band ikonik dalam industri muzik, dan beliau berharap untuk meninggalkan satu legasi yang lebih bermakna.
"Sebenarnya saya ada satu keinginan. Kalau ada orang yang sudi menaja, saya mahu tubuhkan satu band anak-anak muda yang mainkan lagu-lagu BDB. Sebagai penutup saya mahu mereka mainkan lagu-lagu BDB dan BDB duduk di hadapan dan tonton (persembahan) mereka. Mudah-mudahan Allah SWT makbulkan permintaan saya. Saya bukan minta apa-apa, saya hanya nak lihat bagaimana mereka main."
Beliau akan tampil dalam Konsert Hitster bersama penyanyi 'otai' seperti Nash, Zamani, Ameng Spring pada 1 Februari di The Star Theatre.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.