Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Hobi pelihara semut bertukar perniagaan

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Haiwan-haiwan seperti kucing, arnab atau burung sudah lazim dijadikan sebagai haiwan peliharaan.

Namun semut juga semakin menarik minat ramai.

Bahkan, seorang penggiat hobi itu menjadikan minatnya sebagai satu perniagaan.

BUKAN SERANGGA PEROSAK TETAPI HAIWAN PELIHARAAN

Semut sering dianggap sebagai serangga perosak.

Bagamanapun Encik Asmantho Mohamed dan anaknya, Ashmir Nirzan Asmantho tidak berkongsi pandangan itu.

Malah, mereka sebaliknya menjaga semut-semut sebagai haiwan peliharaan.

'

Encik Asmantho berkata: "Ada orang kata, kau gila ke simpan semut? Mereka tak jangka simpan semut boleh sampai dipelihara. Ada yang juga kata rumah aku ada semut, kau nak? Kita bukan pegawai kawalan perosak."

Anaknya, Ashmir pula berkata: "Kalau saya rasa tertekan, saya pun tengok semut itu dan akan rasa tenang saja."

Selain semut, keluarga Encik Asmantho juga memelihara dua ekor kucing.

Encik Asmantho juga berkata, ada persamaan daripada segi penjagaan kedua-dua jenis haiwan itu.

''

"Sama juga, kita perlu bertanggungjawab, seperti jaga kucing atau semut, tidak ada beza," ujar Ashmir.

"Semut diberi makan, kucing pun diberi makan," kata Encik Asmantho.

MINAT BERMULA LEBIH LIMA TAHUN LALU

Hobi memelihara semut bagi gandingan bapa dan anak itu bermula lebih lima tahun lalu.

"Saya tahu semut sebagai haiwan sahaja. Tetapi bila sudah mula mencari, baru kita tahu jenis-jenis semut, tempat tinggal mereka. Itu yang menarik minat saya untuk simpan semut," ujar Encik Asmantho.

'

"Macam pelik juga pada mulanya. Sebab siapa yang simpan semut? Sebab saya tidak pernah nampak semut depan-depan mata sebegini, jadi saya nak cuba jaga semut," kata Ashmir.

Lebih daripada dijadikan satu hobi, mereka memahami kegiatan seharian serangga itu.

Tambahan lagi, mereka dapat menangani masalah semut yang berkeliaran di rumah.

Encik Asmantho berkata: "Dulu kita nampak semut, kita bunuh. Sekarang kita nampak semut, kita cuba untuk cari semut permaisuri. Kita dapat semut permaisuri, kita simpan dan elakkannya daripada merebak."

Encik Asmantho dan anaknya kini memelihara ratusan semut daripada dua spesies termasuk jenis 'Trap Jaw' yang agak jarang dijumpai.

Satu lagi jenis semut adalah spesies 'Carpenter" yang sering dilihat di kolong-kolong blok.

Meskipun saiz badan semut kecil, Encik Asmantho berkata cara penjagaannya tidak boleh dipandang mudah.

'

Untuk semut-semut yang disimpan, kejayaan seseorang pemilik itu boleh dinilai menerusi berapa banyak telur yang boleh menetas daripada semut permaisuri.

Beliau berkata: "Semut sensitif. Air perlu bersih, makanan perlu ada khasiat. Kita simpan, kita tidak boleh selalu tengok, perlu simpan di tempat gelap, tidak boleh bising, kalau tidak orang katakan terbantut proses untuk bertelur."

MINAT DIJADIKAN SUMBER PENDAPATAN

Asalnya minat, hobi peliharaan semut bertukar menjadi perniagaan pula.

Itulah yang berlaku pada Encik John Ye, pemilik kedai Just Ants yang dibuka pada 2019.

Ia merupakan satu-satunya kedai fizikal yang menjual semut dan keperluan pemeliharaannya di Singapura.

'

Apabila memulakan perniagaan itu, Encik Ye berkata bahawa ada ramai orang yang memperkecilkan minatnya itu.

"Ramai yang kata perniagaan saya tidak boleh berkembang, tidak ada orang akan membeli semut. Sedangkan ada semut di rumah, saya pula di sini yang menjual semut untuk dipelihara," kata Encik Ye.

Lantaran itu, tujuan utamanya kini adalah untuk mengubah pandangan orang ramai mengenai semut.

'

Encik Ye berkata: "Kita perlu memandang semut lebih daripada sebagai perosak dan lihat bagaimana semut boleh memberikan kita pengajaran hidup seperti tidak berputus asa dan selalu bersikap rajin. Kita boleh lihat bagaimana semut, haiwan kecil, boleh mengubah pemikiran manusia."

PERHATI SAMBIL BELAJAR TENTANG SEMUT

Di kedai Just Ants, beribu-ribu haiwan kecil itu dipamerkan di dalam bekas untuk diperhatikan mereka yang berjalan lalu.

Para pelanggan juga dibenarkan berinteraksi dengan semut-semut.

'

Samada semut sebesar saiz duit syiling 50 sen, mahupun spesies semut yang beracun, kedai Just Ants kini mempunyai sekitar 25 spesies semut yang kesemuanya merupakan spesies tempatan.

Meskipun banyak, jumlah itu sebenarnya hanya sekitar 6 peratus daripada 409 spesies semut yang wujud di Singapura.

Semut-semut ini semuanya diburu sendiri, kebanyakannya dari kolong blok sahaja.

'

Banyak jenis semut, banyak juga jenis yang boleh "dipelihara dalam rumah" yang dijual pada harga serendah S$15.

"Rumah yang biasa untuk semut dipanggil 'formicarium'. Ia dibuat untuk menyerupai sarang semut. Jenis-jenis semut yang sesuai termasuk semut 'Carpenter'," jelas Encik Ye.

'

"Kalau jenis semut yang lain, ia memerlukan sekitaran tempat tinggal berlainan, yang sama dengan sekitaran tempat tinggal mereka di alam liar," tambah beliau lagi.

'

'

Menurut Encik Ye, minat masyarakat terhadap semut kian berkembang, dengan pelanggannya termasuk golongan pesara, remaja dan kanak-kanak.

'

Meskipun beliau berasa bahawa tanggapan manusia terhadap semut akan mengambil masa bertahun lamanya untuk berubah, Encik Ye tetap teruja melihat semut sudah mula dipelihara dan kurang dianggap sebagai haiwan perosak.

Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan