Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Hobi pelihara ikan laga semakin popular sejak pandemik COVID-19

Membela ikan laga sudah menjadi trend dalam kalangan masyarakat setempat sejak beberapa tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Membela ikan laga sudah menjadi trend dalam kalangan masyarakat setempat sejak beberapa tahun lalu.

Namun, minat pada hobi ini meningkat apabila pandemik COVID-19 melanda sehingga ramai pemilik yang menyertai pertandingan pertunjukan.

PELIHARA IKAN LAGA BUKAN SEKADAR UNTUK HIASAN

Ikan Betta atau lebih dikenali sebagai ikan laga sangat popular kerana sisiknya yang berwarna-warni serta coraknya yang berbeza-beza. 

''

Namun di sebalik kecantikan itu, insang ikan laga juga berkembang untuk kelihatan lebih besar dan mencerminkan sifat kepahlawanan seperti yang tersirat dalam nama lainnya 'fighting fish'. 

Seekor ikan laga boleh berharga serendah S$10 dan mencecah lebih S$1,000. 

''

Namun, harga tidak membataskan minat masyarakat setempat untuk memelihara jenis ikan itu. 

Daripada hanya disimpan sebagai haiwan peliharaan, ribuan pemilik ikan laga di Singapura kini giat menghantar ikan-ikan mereka ke pertandingan-pertandingan pertunjukan.

CABARAN PEMILIK BARU KEKALKAN KECANTIKAN IKAN-IKAN BETTA

Antara yang baru berjinak-jinak dalam hobi ini ialah Indra Harith Yusri, 19 tahun, yang baru memelihara ikan-ikan laga sejak tahun lepas. 

'
 
"Saya betul-betul minat menjaga ikan Betta pada tahun lepas. Saya pelajari sedikit tentang ikan ini, pelbagai jenis ikan yang ada, dan cara penjagaannya," kata Indra. 

Indra menambah: "Warnanya sangat terang dan lawa. Apabila di kedai, warnanya yang akan memikat mata saya. Saya sekarang ada empat ekor ikan Betta. Dua ikan jenis 'crowntail', dua ekor jenis 'halfmoon plakat'. Paling murah saya beli pada harga S$10, paling mahal pula berharga S$28."

'

Namun, seperti mana-mana penggiat peringkat permulaan, banyak yang perlu dipelajari. 

Pelajar Politeknik Nanyang itu berkata: "Nak kekalkan warna dan bentuk agak susah. Ikan Crowntail saya yang dua ekor ini sudah tidak lawa ekornya. Ada yang sakit-sakit juga, ada jangkitan kulat, mungkin sebab air tak bersih atau berikan terlalu banyak makanan." 

'

Sejauh ini, Indra sudah menyertai dua pertandingan pertunjukan namun, ikan-ikan laga miliknya belum pernah dapat naik takhta. 

APA SEBENARNYA ADA DI PERTANDINGAN PERTUNJUKAN IKAN LAGA?

Juri dan penganjur pertandingan ikan laga, Encik Isaac berkata: "Bila kita cakap tentang ikan Betta, tanggapannya mungkin ikan-ikan ini diadukan dan akan berlawan. Pada generasi sekarang, kita tidak boleh biarkan ikan-ikan berlawan kerana ia sudah dilarang. Sebaliknya kita biarkan mereka kembang, biar kelihatan cantik, dari segi ekornya yang boleh kembang, warnanya yang timbul." 

'

Pertandingan pertunjukan ikan-ikan laga sering disiap rapi - setiap ikan akan diletakkan dalam bekas dan akan diatur mengikut kategori masing-masing. 

'

Susunan itu akan memudahkan pengadil untuk menilai setiap ikan dan mengenal pasti kekurangan yang mungkin ada pada seekor ikan. 

PERTANDINGAN PERTUNJUKAN SEMAKIN GIAT DIJALANKAN 

Menurut Encik Isaac, pertandingan pertunjukan semakin rancak diadakan setiap minggu, sekali gus mencerminkan minat masyarakat tempatan pada hobi membela ikan laga yang kian meningkat. 

'

Encik Isaac berkata: "Pada saya sebagai penggiat hobi memelihara dan memasuki peraduan ikan Betta, sebenarnya nisbah mereka yang memelihara ikan dengan mereka yang memasuki pertandingan adalah 3:7. Setiap pertandingan sekarang, jumlah ikan paling sedikit 1,000 ekor. Dari situ kita dapat lihat, mereka yang simpan ikan secara hobi pun sudah memasuki pertandingan." 

"Tahun ini, sudah nampak peningkatannya ketara. Pertandingan yang selalunya dianjurkan sebelum pandemik mungkin ada 500 hingga 700 ekor ikan sahaja," tambah Encik Isaac. 

'

Pertandingan 'BettaMania Showdown' yang dianjurkan Encik Isaac pada awal bulan ini menyenaraikan sebanyak 158 kategori, paling banyak dalam sejarah pertandingan tempatan.  

Jumlah ikan juga adalah paling banyak - iaitu lebih 1,200 ekor ikan yang disertakan dalam pertandingan itu. 

'

Encik Isaac berkata: "Ikan-ikan betta ini ada pelbagai jenis. Kita ada yang ekor pendek, ekor besar, ada pula yang ekor dua, ada juga yang 'crown tail'. Ada ikan yang satu warna, ada yang bermacam-macam warna. Jadi ada pelbagai jenis ikan dalam kategori pertandingan." 

BAGAIMANA IKAN-IKAN DINILAI DALAM PERTANDINGAN?
 
Di dalam setiap pertandingan pertunjukan, cara penilaiannya mempunyai tujuan yang sama, untuk mencari ikan-ikan yang unik, dan tidak banyak 'kecacatan' pada badan. 

Dalam erti kata lain, ikan yang paling sempurna akan menduduki takhta. 

Mengenai proses penilaian, Encik Isaac berkata: "Dalam kategori AOC (Any Other Colour) misalnya, kita akan lihat kepada keunikan ikan itu. Ikan ini, pesonanya dia ada warna hitam, warna tembaga di sirip dorsal, ada permainan yang cantik. Seninya ada di situ. Kepalanya merah, bibir pula lut sinar. 
'

"Kalau ikan yang ini pula, ikan ini ikan AOC berwarna mewah sebab berwarna biru dan kuning."
''

"Tetapi dari segi keistimewaan kalau saya ingin bandingkan ikan mana yang lebih baik, saya akan pilih ikan yang lebih unik yang saya rasa antara ini dua adalah ikan ini. Warna yang terkeluar pada ikan ini bukan mudah untuk ada," jelas Encik Isaac. 
'

Encik Isaac menambah: "Ikan-ikan Betta juga ada yang mempunyai satu warna, ada yang bermacam-macam warna. Misalnya untuk kategori satu warna, kalau ikan itu lebih bersih, ia adalah ikan yang lebih baik. Kalau ikan itu ada tompok hitam, atau ada warna kedua yang timbul, itu akan mengurangkan nilai keunikan ikan itu." 
'

SEDIAKAN KHIDMAT KHAS UNTUK MANTAPKAN PRESTASI IKAN-IKAN LAGA 

Bagi para pemilik ikan-ikan laga yang tidak kurang berpengalaman dalam melatih ikan-ikan mereka, terdapat khidmat khas yang disediakan oleh para pemilik ikan lain untuk memantapkan saiz, warna dan prestasi ikan-ikan.

Di kedai Alvin Betta yang terletak di Jurong West misalnya, pemiliknya Encik Alvin Tay Chi Wei kini melatih lebih 50 ekor ikan milik para pelanggannya agar lebih bersedia untuk bertandind dari segi stamina dan tahap kesihatan. 

'

Encik Alvin berkata bahawa lebih 80 peratus pelanggan yang menggunakan khidmatnya ialah mereka yang tidak mempunyai masa untuk melatih ikan-ikan mereka atas sebab jadual padat bekerja. 

Encik Alvin berkata: "Khidmat persiapan yang saya sediakan adalah untuk melatih ikan-ikan para pelanggan saya mencapai tahap prestasi lebih baik berbanding waktu mereka hantarkannya kepada saya. Setiap jam saya akan keluarkan papan-papan ini dan biarkan ikan-ikan ini berkembang apabila melihat ikan-ikan lain, dan ini akan bantu tingkatkan prestasi mereka. Prestasi baik, seni pertunjukan juga baik."

''

"Saya juga akan memberi ikan-ikan ini makan dua kali sehari, dan akan menukar air tangki setiap dua hari untuk memastikan mutu air selalu baik. Ini semua faktor penting untuk menaikkan saiz badan ikan-ikan ini dan membolehkan warna-warna pada badan mereka lebih menyerlah," tambah Encik Alvin. 

Mutu khidmat Encik Alvin jelas terbukti - seekor ikan yang dilatihnya pernah menjuarai enam kategori dalam satu pertandingan tahun lalu, sesuatu yang tidak pernah berlaku dalam sejarah pertandingan tempatan. 

Selain menyediakan khidmat sedemikian, Encik Alvin juga menjual ikan-ikan laga dengan gred pertandingan. 

'

Kedainya kini mempunyai lebih 300 ekor ikan untuk dijual dan harganya boleh mencecah hampir S$400 seekor. 

"Saya menjual ikan lebih kepada kategori berbilang warna, 'marble' dan sebarang warna lain. Jenis-jenis sebegini mempunyai permintaan yang lebih tinggi, dan harganya juga agak tinggi," kata Encik Alvin. 

Encik Alvin mendapatkan ikan-ikan laga semuanya dari Indonesia, Thailand, Vietnam atau Malaysia kerana menurut beliau, negara-negara itu mempunyai banyak pembaka ikan-ikan laga yang baik dan terbukti siap untuk pertandingan.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan