BERITA+: Hobi kumpul piring hitam kerana mutu bunyi dan nilai tingginya
15 tahun - begitulah lamanya masa yang diambil pengumpul dan peminat piring hitam, Encik Azri Ali, 51 tahun untuk 'memburu' dua album P. Ramlee dan Saloma dari era 50-an.
SINGAPURA: 15 tahun - begitulah lamanya masa yang diambil pengumpul dan peminat piring hitam, Encik Azri Ali, 51 tahun untuk 'memburu' dua album P. Ramlee dan Saloma dari era 50-an.
Oleh kerana minat yang sangat mendalam, beliau sanggup mengeluarkan belanja S$500 untuk membeli album tersebut dari seorang pengumpul piring hitam atau 'vinyl' yang lain.
"Rekod P. Ramlee dan Saloma itu mesti wajib mesti adalah. Pasal dia legenda muzik Melayu. Jadi itu memang saya cari-cari," kongsi Encik Azri kepada wartawan Syawal Yusoff.
Meskipun usia piring hitam tersebut sudah mencecah lebih enam dekad, ia masih lagi boleh dimainkan.
Menurut Encik Azri, sesiapa yang mendengarnya akan terbuai seolah-olah dibawa kembali ke era tersebut.
Bagi beliau, dua piring hitam itu adalah antara barang paling berharga yang dimilikinya.
"Kadang-kadang kita tahu yang ada pengumpul yang simpan rekod-rekod dan ada yang berat nak menjualnya. Jadi kita tawar menawar. Lama-lama kalau dia betul-betul nak lepaskan, dia lepaskan. Selalunya susah untuk kita hendak suruh mereka jual, lagi-lagi (piring hitam) P. Ramlee. Ia dikirakan sukar untuk didapatkan dalam kumpulan pengumpul piring hitam" jelas bapa dua orang anak itu.
MUTU BUNYI MEMUASKAN, BENTUK UNIK ANTARA DAYA TARIKAN
Minatnya terhadap piring hitam itu sebenarnya sudah lama mengalir dalam dirinya sejak zaman remaja lagi.
Selain membelinya sendiri, sebahagian daripada koleksinya turut diwarisi daripada bapa dan pakciknya.
"Masa saya kecil dalam 80an begitu, piring hitam itu selalu ada dekat rumah. Selain dengar di radio, kita dengar piring hitam dan kaset. Jadi macam semula jadi saya teruskan hobi mengumpul piring hitam ini," tambahnya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Di samping dapat mengimbau nostalgia, Encik Azri juga tertarik dengan bunyi yang dihasilkan.
Beliau menjelaskan, "Selain daripada nyanyian dalam rakaman, alat-alat muzik yang dimainkan dalam rakaman, kita dapat dengar lebih jelas. Ia ada orang kata ada 'warmth' kepada bunyinya. Kita selalu dengar daripada permulaan sampai akhir tanpa ada pilihan untuk 'skip'. Jadi kita dapat menghargai karya artis-artis itu lebih mendalam."
Antara faktor yang menyumbang kepada bunyi yang dihasilkan daripada piring hitam ialah cara rakamannya yang dilakukan dengan cara analog dan bukan digital seperti dalam cakara padat.
Selain mengumpul piring hitam daripada pelbagai genre, beliau juga tertarik dengan jenis yang mempunyai ciri-ciri unik.
Ini termasuk saiz yang pelbagai - daripada sebesar tiga hingga 12 inci.
Ada juga yang menggunakan bahan fleksibel, bukan seperti 'vinyl' biasa.
BUKA KEDAI UNTUK GALAK MINAT GENERASI MUDA
Dengan koleksinya yang luas dan dikumpulnya sepanjang lebih tiga dekad, Encik Azri terdorong untuk membuka kedai.
Selepas meninggalkan kerjaya sebagai seorang 'Perakam di Lapangan' atau 'Field Recordist', beliau membuka kedai pertamanya di Pusat Beli-Belah Peninsula pada 2016.
Pada 2020 pula, beliau berpindah ke sebuah unit di tingkat dua rumah kedai di kawasan Arab Street.
(Gambar: Syawal Yusoff)
"Terus terang saya cakap koleksi saya terlampau banyak juga. Jadi adakala saya terbeli dua rekod yang sama. Jadi dah masanya untuk saya lepaskan yang 'ekstra-ekstra' itu. Itu tahap permulaan bagaimana saya membuka kedai itu.
"Itu memang jadi memang cita-cita saya sejak dulu. Saya mahukan sebuah kedai di mana ramai orang dapat datang berkumpul untuk berbincang tentang muzik, mendengar muzik di sini," kata Encik Azri.
Bukan sekadar menjual sahaja, beliau turut memastikan setiap piring hitam yang dijual itu bersesuaian dengan citarasa pembeli.
"Pop, Rok, 'Heavy Metal', Indie, Arab, Afrika, Jepun, Jaz Korea, ada daripada Malaysia dan Indonesia. Saya suka bawa muzik-muzik yang saya sendiri dengar. Dan saya cuba mendengar tiap-tiap album yang saya bawa masuk. Bukan senang tapi itu sebahagian daripada kajian saya. Apa yang mungkin saya boleh ketengahkan atau perkenalkan kepada pendengar di sini kalau mungkin mereka tak tahu," ujarnya.
SATU-SATUNYA HAB PENGEDARAN JENAMA PIRING HITAM AMERIKA SYARIKAT DI ASIA
Bahkan kedainya juga satu-satunya hab pengedaran rasmi di Asia bagi jenama 'Third Man Records' yang dimiliki bersama penyanyi Amerika Syarikat Jack White dari kumpulan 'the White Stripes'.
Ini bermakna, kedainya secara eksklusif dapat membawa masuk terus album-album keluaran syarikat itu dan dapat memberikan tawaran atau 'bonus' khas kepada peminat di Singapura.
"Kadang-kadang ada keluaran yang istimewa dan barangan yang hanya saya dapat. Saya jual lebih murah daripada kedai lain dan kita kadang-kadang dapat poster yang tak akan dapat di kedai-kedai lain. Itu yang membuat kerjasama dengan Mosta Records dengan Third Man Records itu amat istimewa," jelasnya yang juga peminat tegar kumpulan yang popular dengan lagu 'Seven Nation Army' itu.
Selain menjual 'vinyl' baharu dan terpakai dari berbilang genre, Encik Azri turut menyokong artis-artis tempatan dengan menghasilkan piring hitam di bawah jenamanya.
Antaranya termasuk Yanto Sani, Huda dan Ridz Razali.
Setakat ini, kedainya itu juga berjaya menarik pelanggan dari dalam dan luar negara.
Beliau juga berharap dapat meluaskan lagi minat terhadap piring hitam dalam kalangan generasi muda.
"Ia menjadi macam aktiviti keluarga begitu. Kadang-kadang seorang datuk bawa cucu dia datang sini untuk cari kira memperkenalkan piring hitam pada mereka. Yang muda-muda pun dah mula berjinak-jinak. Ini mungkin kerana artis-artis baharu yang mereka gemar dah mula cetak album mereka dalam piring hitam," katanya.
Bermula bulan hadapan, Mosta Records akan berpindah sekali lagi namun kali ini ke wadah online pula.
Walau bagaimanapun, beliau optimis bahawa minat kepada piring hitam tidak akan pudar.
"Selagi kita ada artis, kita ada pemuzik, selagi ada orang minat kita akan teruskan dan saya fikir ia akan berterusan kerana banyak kilang-kilang yang membuat 'vinyl' telah muncul sejak setahun lepas. Jadi itu yang membuat saya positif tentang jangka hayat industri ini," kata Encik Azri.
PENGUMPUL MUDA TERTARIK DENGAN 'HADIAH BONUS', REKAAN PIRING HITAM
Jika yang lebih berusia minat pada piring hitam kerana nilai-nilai sentimental, berbeza pula bagi golongan muda.
Antara anak muda yang baru berjinak-jinak dengan hobi mengumpul piring hitam ialah Fazlee Rosli, 26 tahun.
Beliau mula mengumpulnya sejak 2019 kerana tertarik dengan reka seni dan kandungan yang terdapat dalam bungkusan setiap piring hitam itu sendiri.
(Gambar: Syawal Yusoff)
"Saya tidak fokus sangat kepada (mutu) pendengaran tetapi fokus saya kepada karya seni holistik album yang saya memiliki. Kadang-kadang kita akan dapat poskad atau kandungan yang khas untuk album itu," kata Fazlee, seorang Eksekutif Perhubungan Awam.
Sejauh ini, Fazlee sudah kumpul sebanyak 52 album yang kebanyakannya dibeli dari kedai-kedai tempatan mahupun online seperti 'Discogs'.
"Saya cuba sedaya upaya untuk membeli daripada kedai-kedai tempatan kerana saya rasa ia penting untuk menyokong masyarakat piring hitam di Singapura. 'Discogs' ialah wadah pasaran global yang menawarkan pengguna-pengguna untuk menjual rekod mereka, yang baharu atau terpakai," jelasnya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
BELANJA LEBIH S$1,000 UNTUK PIRING HITAM
Antara genre muzik dalam koleksinya termasuk Rok Indie, Hip Hop, R&B dan K-Pop.
"Saya ada minat tersirat kepada kumpulan K-Pop Blackpink dan kenapa saya membeli album mereka ialah album-album mereka terutama dalam segi format 'vinyl' ini dihasilkan dengan kuantiti yang terhad," ujar Fazlee.
Bukan sahaja lebih sukar untuk didapatkan, nilai atau harga piring hitam edisi terhad ini juga lebih tinggi.
Secara keseluruhan, Fazlee sudah membelanjakan sekitar S$1,000.
"Saya memiliki sebuah album daripada penyanyi jaz moden Laufey. Saya pergi ke konsert dia, saya tunjuk dekat dia yang saya ada album ini. Dia pun terkejut kerana dia sendiri tidak ada album inilah. Ia dihasilkan sempena acara 'Hari Kedai Rekod' atau 'Record Store Day' dan memang susah dicari di pasaran sekarang," jelasnya.
Fazlee juga berharap dapat mengembangkan lagi koleksinya dan tumpuannya kini adalah untuk mencari piring hitam sebuah kumpulan Rok Indie Korea Selatan bernama 'Hyukoh' pula.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.