BERITA+: Hobi kumpul mainan, ‘cosplay’ kukuhkan jalinan keluarga
Golongan generasi 'X' atau milenial yang membesar pada tahun-tahun 80an dan 90an barangkali ingat siri-siri animasi televisyen yang popular di zaman tersebut.
SINGAPURA: Golongan generasi 'X' atau milenial yang membesar pada tahun-tahun 80an dan 90an barangkali ingat siri-siri animasi televisyen yang popular di zaman tersebut.
Encik Zulhermie Rohani yang kini berusia 46 tahun antara mereka yang banyak menghabiskan zaman kanak-kanaknya menonton animasi di televisyen.
Melihat betapa 'cool' dan menarik watak-watak kegemarannya itu telah mencetuskan minat yang mendalam hingga ke hari ini.
"Ketika itu, saya berumur sepuluh tahun. Pada masa itu, saya minat menonton program-program kartun di TV seperti 'He-Man', 'Ninja Turtles', 'Star Wars', dan 'Power Rangers'. Dari situlah minat saya timbul untuk mahu mengumpul mainan.
"Tapi masa itu saya masih bersekolah, jadi saya tak mampu membeli mainan itu semua. Kalau mampu pun beli mainan yang kecil-kecil, yang murah-murah," kata Encik Zulhermie kepada wartawan Syawal Yusoff.
Apabila usianya meningkat dewasa dan sudah mula ada pendapatan sendiri, beliau tekad untuk mengembalikan semula nostalgia zaman kanak-kanaknya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Bermula dengan figura 'Spider-man' setinggi empat inci, jurutera di sebuah syarikat semikonduktor itu mula mengembangkan koleksinya sedikit demi sedikit.
"Pada saya hobi mengumpul ini tidak mengira usia. Tua, muda semua boleh kumpul. Ia juga terpulang kepada individu. Beli apa yang anda mampu. Jangan berhutang," ujarnya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
LEBIH 200 FIGURA DIBELI SEPANJANG 13 TAHUN
Dalam masa 13 tahun sahaja, koleksinya sudahpun 'beranak pinak' dan kini mempunyai lebih 200 figura dalam koleksinya.
Koleksi figura berukur enam hingga 12 inci itu termasuk watak-watak siri 'Star Wars', 'Marvel', 'DC Comics', 'Power Rangers' dan 'He-Man'.
(Gambar: Syawal Yusoff)
"Bila saya membeli sesuatu mainan, ia memberi saya kebahagiaan kerana dahulu saya tidak mampu membeli mainan-mainan ini semua. Bila sekarang sudah bekerja, saya mampu membeli ini, saya amat bahagialah, gembira memiliki mainan itu," jelas Encik Zulhermie.
(Gambar: Syawal Yusoff)
SUDAH BELANJAKAN LEBIH S$100,000
Bergantung kepada saiz dan betapa terhadnya edisi sesuatu figura itu, setiap satu boleh mencecah antara S$200 hingga S$300.
Selain figura daripada sesebuah siri, Encik Zulhermie turut membeli pelbagai aksesori seperti topi keledar atau senjata palsu yang digunakan oleh sesuatu watak bagi melengkapkan koleksinya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Sejauh ini, beliau sudahpun membelanjakan lebih S$105,000 untuk keseluruhan koleksinya!
Namun bagi Encik Zulhermie, kepuasan yang dinikmatinya tidak ternilai.
(Gambar: Syawal Yusoff)
LIBATKAN KELUARGA DALAM MINATNYA UNTUK ERATKAN JALINAN
Selain diri sendiri, keluarga juga memainkan peranan sebagai pendorong kuat hobinya itu.
Melalui hobi tersebut, Encik Zulhermie juga dapat mengeratkan lagi hubungannya dengan isteri dan anak tunggalnya.
Malah hobi itu juga turut 'diwarisi' anak perempuannya berusia 12 tahun.
Menurut Encik Zulhermie: "Saya suka mengumpul mainan-mainan ini kerana saya boleh luangkan lebih masa dengan anak perempuan saya yang suka Lego juga."
(Gambar: Syawal Yusoff)
Isterinya, Cik Saffiah Othman berkata:"Ia adalah sesuatu yang mengutuhkan kami sebagai sebuah keluarga juga. Satu lagi aktiviti yang boleh kami buat sekeluarga. Bila dia hendak mencari sesuatu mainan itu, dia akan bawa saya dengan anak sekali. Kami akan pergi sebagai satu keluarga."
Cik Saffiah juga mempunyai koleksinya sendiri seperti cenderahati kumpulan K-Pop 'BTS', minuman 'Coca Cola' dan watak 'Tigger' dari siri animasi 'Winnie The Pooh'.
Lantaran itu, beliau sangat memahami dan sentiasa menyokong hobi suaminya itu.
"Saya belikan dia mainan juga tetapi hanya pada acara-acara tertentu macam hari jadi dia ataupun kadang-kadang ulang tahun perkahwinan. Saya akan mendapatkan mainan tertentu yang saya tahu dia mungkin suka," kongsi Cik Saffiah, seorang pendidik.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Meskipun mengeluarkan belanja yang besar bagi minatnya, Cik Saffiah berkata suaminya tetap mengutamakan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga dan membiayai keperluan keluarga.
Cuma beliau akan memberi peringatan sekali sekala untuk memastikan suaminya itu berdisiplin dalam hobinya.
"Saya akan nasihatkan dia, adakah anda meletakkan bajet? Pastikan untuk meletakkan bajet bulanan untuk mainan iaitu sesuatu yang dia akan buatlah," ujarnya.
(Gambar: Zulhermie Rohani)
SEORANG 'COMPLETIST', MAHU LENGKAPKAN KOLEKSI
Wartawan Syawal Yusoff berkesempatan untuk meninjau koleksi figura-figura dan barangan perhiasan yang disusun rapi dan dipamerkan di dalam sebuah bilik tidur di flat empat bilik Encik Zulhermie,
Namun begitu, ruang yang ada masih tak memadai sehingga beliau terpaksa menyimpan lagi 50 peratus koleksinya di dalam sebuah unit simpanan berdekatan rumahnya dengan sewa S$250 sebulan.
"Saya seorang 'completist'. Kalau saya memulakan sesuatu mainan, saya akan cuba melengkapi mainan itu. Ia memberikan saya perasaan yang lengkap ataupun pencapaian peribadi," ujarnya.
(Gambar: Syawal Yusoff)
SEDIAKAN MAINAN KHAS UNTUK KANAK-KANAK YANG BERKUNJUNG
Sudah tentu, figura yang dipamerkan hanyalah untuk tatapan dan bukan untuk dibawa main.
Namun, bagaimana pula beliau menangani situasi sekiranya ada kanak-kanak yang datang berkunjung yang mahu bermain dengan koleksinya itu?
Ini jawapannya...
"Saya sediakan mainan-mainan untuk budak-budak bermain. Mainan seperti 'Lego' dan mainan-mainan yang kecil-kecil yang bukan murah tetapi mainan yang saya tidak perlu lagi.
"Ibu bapa atau saudara mara yang datang ke rumah saya, mereka tahu yang mainan-mainan saya ini memang mahal ataupun jangan dipegang," jelasnya.
60% PELANGGAN MELAYU DI KEDAI MAINAN 'TOYBROS'
Selain membeli mainan atau figuranya secara online di wadah-wadah seperti Facebook atau Carousell, Encik Zulhermie turut menyokong peniaga tempatan dengan membeli dari kedai-kedai fizikal.
Hampir dua kali sebulan, beliau akan mengunjungi kedai 'Toybros' di Pusat Beli Belah Queensway yang menjual pelbagai jenis figura dan mainan.
(Encik Larry Ho dan Encik Zulhermie Rohani, Gambar: Syawal Yusoff)
Selain membeli mainan baharu atau membawa pulang mainan-mainan yang sudah ditempah lebih awal, beliau juga menyewa ruang untuk menjual semula mainan-mainan daripada koleksinya.
Menurut pengasas bersama kedai tersebut, Encik Larry Ho, pelanggan Melayu seperti Encik Zulhermie membentuk sekitar 60 peratus daripada 200 pelanggan kedainya.
"Sebahagian besar daripadanya ialah pengumpul mainan tetapi kami suka orang ramai boleh masuk dan melihat sekitar kedai kerana begitulah pengalaman sepatutnya di kedai mainan," kata Encik Ho yang membuka kedai tersebut bersama dua rakan baiknya pada akhir 2023.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Menurut Encik Ho, media dan budaya pop banyak mempengaruhi permintaan bagi mainan.
Antara yang paling rancak buat masa ini adalah mainan dari siri 'X-Men'.
Beliau menambah, golongan berusia 30an hingga 40an tahun juga tidak teragak-agak untuk berbelanja demi mendapatkan mainan idaman mereka.
"Kami mempunyai seorang pelanggan yang masuk dan kemudian dia membelanjakan sehingga S$700 dolar! Mainan yang paling dicari-cari adalah yang tidak dapat mereka temui secara runcit. Ada yang mengatakan ia adalah barangan koleksi tetapi ia sangat popular," tambah Encik Ho.
Bagi Encik Zulhermie, misi untuk mengembangkan lagi koleksinya belum ada penghujungnya.
Antara yang menjadi idamannya buat masa ini ialah patung damar berskala 1:2.
(Gambar: Zulhermie Rohani)
Beliau juga berharap dapat membuka sebuah muziumnya sendiri satu hari nanti agar dapat berkongsi dengan lebih ramai tentang keunikan setiap mainan dalam koleksinya.
"Selagi saya masih minat mengumpul mainan, saya akan teruskan mengumpul mainan ini kerana masih ada mainan-mainan yang saya mahu mengumpul,"ujarnya.
KEMBANGKAN MINAT KEPADA 'COSPLAY'
Dari mainan, Encik Zulhermie juga sudah kembangkan lagi minatnya ke satu lagi cabang iaitu dalam bidang 'cosplay'.
(Gambar: Zulhermie Rohani)
"Mulanya pada tahun 2014. Saya hadir di acara 'May the 4th' yang pertama di Perpustakaan Jurong East. Di sana mempunyai ramai pengiat-penggiat 'cosplay' 'Star Wars'. Daripada situlah saya minat dengan 'cosplay' tersebut.
"Pada 2017 saya mula bergiat dengan 'cosplay' 'Star Wars' dengan menyertai kumpulan '501st Legion Singapore Garrison'. Sejak 2017 hingga ke sekarang saya mempunyai empat kostum 'Star Wars'," katanya.
Kebanyakan kostum yang dipakainya dibeli atau dibuatnya sendiri.
(Gambar-gambar: Zulhermie Rohani)
"Selain daripada kostum 'Star Wars', saya juga ada kostum lain seperti 'The Riddler', 'Ghostbuster', 'White Ranger' dengan 'Night Wing'. Kostum-kostum ini semua bermula daripada sekumpulan kawan saya yang juga minat dengan 'cosplay' ini," ujar Encik Zulhermie.
Selain acara-acara tempatan tahunan seperti Konvensyen Mainan, Permainan & Komik Singapura (STGCC), Encik Zulhermie juga sudah menjelajah ke Kuala Lumpur, Malaysia untuk menyertai acara-acara 'cosplay' di sana.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.