BERITA+: Hobi kereta kawalan jauh ‘Crawler’ kian jadi trend, jumlah penggiat lonjak 60 kali ganda dalam setahun!
Hobi memiliki kereta kawalan jauh atau lebih dikenali sebagai 'Crawler' kian menjadi satu trend dalam kalangan masyarakat.
BERITAmediacorp: Hobi memiliki kereta kawalan jauh atau lebih dikenali sebagai 'Crawler' kian menjadi satu trend dalam kalangan masyarakat.
Hobi tersebut semakin mendapat perhatian tahun lalu dengan jumlah penggiat melonjak lebih 60 kali ganda kini.
KAWAL KENDERAAN KE DALAM HUTAN SETIAP HUJUNG MINGGU
Kereta ‘Crawler’ sebenarnya merupakan kereta mainan kecil yang menyerupai kereta atau kenderaan yang lazim kita lihat di jalan raya.
Selain perbezaan saiz yang ketara, kereta-kereta kecil itu juga memerlukan alat kawalan jauh.
Di Singapura, antara kumpulan penggiat hobi tersebut yang kian mendapat perhatian ramai di media sosial adalah Milkbar Crawlers.
Setiap hujung minggu, sekitar 40 penggiat hobi itu akan berkumpul pada waktu pagi untuk membawa kereta-kereta mereka ‘mengembara’.
Kumpulan itu antaranya akan mendaki di kawasan Kuari Tampines atau di Taman Little Guilin kerana laluan jalan yang sesuai untuk kegiatan itu.
Ketua kumpulan Milkbar Crawlers, Encik Jason Fong berkata: “Aktiviti ini sama juga seperti mendaki. Bezanya kita ada kereta yang perlu dikawal. Selalunya kita akan berjalan dalam satu barisan dan akan menangani halangan-halangan yang kereta kita hadapi.”
Menurut Encik Fong, hobi itu kian popular dan dapat menarik penyertaan masyarakat dari pelbagai latar belakang.
Walaupun baru sahaja ditubuhkan tahun lalu, jumlah ahli kumpulan Milkbar Crawlers sudah melonjak 60 kali ganda - daripada hanya tujuh penggiat sahaja kepada lebih 430 anggota kini.
Menurut Encik Fong juga, sekitar 50 peratus daripada ahli kumpulannya merupakan peserta Melayu.
HOBI CRAWLERS BOLEH RANGSANG KESIHATAN, DAYA PEMIKIRAN
Banyak yang tertarik dengan hobi tersebut atas pelbagai sebab.
Selain dapat menceriakan diri, sesi sebegini juga dianggap sebagai peluang untuk beriadah.
Salah seorang penggiat, Encik Ahmad Zaki Hassan berkata: “Mudah untuk kita bekerja setiap hari tetapi tidak bersenam. Jadi dengan ini kita boleh keluar berjalan, selalunya kita berjalan sehingga 10 kilometer.”
“Kita yang sudah dewasa ini juga dapat berasa ‘muda’ apabila bermain dengan kereta-kereta ini sebab ia sangat seronok,” tambah Encik Zaki.
Encik Mohammad Razis Abidin pula berkata: “Saya memang minat dengan hobi ini sebab kita dapat kumpul ramai-ramai, bermain bersama-sama. Kita boleh buat konvoi, buat video. Jadi rasa realistik dan seronok.”
Encik Razis menambah: “Kita pun cabar satu sama lain dan kalau dapat tangani halangan-halangan memang rasa puas hati.”
Bagi pasangan bapa Encik Elfaiz Faliq Mohamed Amin dan anaknya pula, ia merupakan peluang untuk mereka meluangkan masa bersama.
Encik Elfaiz berkata, “Sebenarnya boleh bawa satu keluarga datang bersama-sama untuk melihat alam semula jadi. Ia satu hobi saya sejak muda. Jadi saya ingin mendedahkannya kepada anak saya dan keluarga.”
Para penggiat aktiviti ‘Crawling’ itu berpendapat bahawa ianya sesuai untuk setiap golongan usia.
Dalam kumpulan Milkbar Crawlers misalnya, anggota tertua berusia lebih 70 tahun, manakala yang paling muda pula belum cecah umur 10 tahun!
Encik Fong berkata: “Kegiatan sebegini menggalakkan golongan muda untuk mengurangkan masa bermain dengan telefon dan keluar rumah untuk merasakan suasana mengembara.”
Bagi kanak-kanak juga, kereta-kereta Crawlers bukan sahaja satu permainan tetapi mampu merangsang daya pemikiran mereka.
“Ia memperkukuhkan daya kemahiran motornya. Dia akan pelajari bagaimana untuk menangani halangan. Dia akan lihat dan fikir laluan mana yang boleh dia cuba,” ujar Encik Elfaiz.
Dalam pada itu, Encik Fong juga mengatakan bahawa para peserta selalunya tidak digalakkan untuk memegang kereta masing-masing apabila sudah diletakkan di atas tanah bagi mengawalnya.
Dengan cara ini, ia mampu merangsang daya pemikiran mereka untuk memikirkan cara-cara kreatif, sekiranya kereta mereka tidak dapat bergerak atau terbalik.
KEGIATAN ‘CRAWLING’ LEBIH MENCABAR, LEBIH BERBALOI
Hobi ‘Crawling’ biasanya dilakukan di dalam hutan, lebih-lebih lagi bagi jenis dengan reka bentuk kereta-kereta yang lasak.
Para penggiat hobi itu berpendapat bahawa lebih mencabar laluannya, lebih berbaloi buat mereka.
Ini termasuk perlu melalui liku-liku yang tidak rata serta perlu berdepan dengan takungan air dek hujan.
Jika mereka berjaya mengawal kereta Crawlers masing-masing menangani halangan sebegitu, para penggiat dapat meraih pengajaran dan pengalaman.
Encik Fong berkata: “Kita akan belajar daripada satu sama lain. Semasa mendaki, kita akan berkomunikasi dan saling percaya antara satu sama lain dari segi arahan yang diberikan untuk menangani sebarang halangan.”
Halangan yang terdapat di laluan-laluan semula jadi kadangkala begitu susah untuk ditangani, sehinggakan para penggiat perlu memikirkan cara-cara berdaya inovasi.
“Sekiranya hujan, sesuatu laluan itu boleh berubah dari segi kerataannya permukaannya. Sekiranya ada lubang besar, kita perlu menggunakan barangan yang ada, termasuk batang kayu, untuk membina jejantas,” kata Encik Fong.
HARGA KERETA CRAWLERS $300 KE ATAS, GOLONGAN PEMULA DINASIHATI CUBA DAHULU
Bagi yang baru berjinak-jinak dalam hobi itu dan tidak memiliki kereta Crawler, mereka tetap boleh ikut serta dalam kembara tersebut.
Kereta-kereta 'Crawler' tambahan juga akan dibawa bersama untuk mereka cuba kendalikan.
“Untuk yang baru berjinak-jinak, ia sangat penting untuk memahami kereta-kereta. Kita akan membimbing mereka, bagaimana untuk mengawal kereta di laluan yang ada serta cara menangani halangan,” ujar Encik Fong.
Encik Fong juga menasihati golongan pemula untuk tidak membeli kereta ‘Crawler’ mereka sendiri pada peringkat awal.
Ini kerana pelaburannya bukanlah rendah.
Setiap kereta peringkat permulaan boleh mencecah sehingga S$300.
Harganya boleh naik 10 kali ganda jika seseorang penggiat itu mahu menggunakan komponen lebih bermutu atau dengan daya kuasa lebih tinggi.
Dalam tahun-tahun mendatang, kumpulan Milkbar Crawlers juga berharap lebih ramai penggiat dapat menyertai mereka.
Kumpulan itu juga mengharapkan agar satu kawasan khas buat hobi itu akan dapat dibangunkan suatu hari nanti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.