Skip to main content

Singapura

BERITA+: Herbarium SG mahu bangunkan pangkalan data flora online terbesar Asia Tenggara

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 01 Feb 2026 04:56PM Dikemas Kini : 15 Feb 2026 11:18AM
SINGAPURA: Daun kunyit, bunga kantan, daun kari dan halia dikeringkan dengan teliti dan perinciannya akan diabadikan dalam satu portal online bagi memudahkan penyelidikan pada masa hadapan.

Inilah antara lebih 850,000 jenis botani dan spesimen flora yang diawet dan disimpan di Singapore Herbarium, yang terletak di tengah-tengah Kebun Bunga Singapura.

Kabinet-kabinet di situ menjadi 'rumah' bagi kesemua spesimen yang dikumpulkan, termasuk beberapa yang sudah berusia lebih dua abad.

Herbarium ini juga telah mengarkibkan dan terlibat dalam pertukaran maklumat global sepanjang 150 tahun.

Setiap spesimen disimpan di bawah pemantauan rapi dengan tahap suhu dan kelembapan yang terkawal, bagi memastikan ia tidak rosak atau reput.

HERBARIUM IBARAT PERPUSTAKAAN BAGI TANAMAN

Dalam usaha mempertingkatkan penyelidikan antarabangsa serta kajian mengenai kesan perubahan iklim menggunakan kecerdasan buatan (AI), Singapore Herbarium kini sedang melaksanakan projek pendigitalan terbesar dalam sejarahnya.

Proses pendigitalan ini akan memudahkan para pakar dari seluruh dunia mengakses data tanaman yang ada di sini, membolehkan penyelidikan dilakukan di mana sahaja.

Apabila projek ini siap pada 2027, portal baharu itu dijangka menjadi pangkalan data terbesar bagi jenis botani di Asia Tenggara, menyediakan maklumat yang lebih lengkap dan terperinci.

"Dengan kita melalui proses pendigitalan ini, kami akan tahu apa isi kandungan yang sebenarnya dalam pangkalan data kami. Sebagai herbarium, kita akan mengongsi maklumat dengan institusi-institusi yang di luar negara ataupun herbarium di luar negara. Mungkin sebagai contoh, kalau kita ada kolaborasi dengan herbarium di Malaysia.

"Mereka akan buat pungutan mereka dan mereka akan juga memberi sebahagian dari pungutan itu kepada kami untuk kami simpan di sini. Herbarium ini seperti mungkin ibarat macam perpustakaan," kata Pengurus Kanan Singapore Herbarium, Siti Nur Bazilah Mohamed Ibrahim.

Data yang dikumpulkan juga membolehkan para penyelidik mengenal pasti sama ada tanaman itu berasal dari Singapura atau dibawa masuk dari luar negara.

"Kalau buat spesis terancam, bagaimana kita tahu terancam? Mungkin ia tidak pernah tumbuh di Singapura tapi ia dibawa masuk. Sebagaimana kadang-kadang orang beli biji benih daripada luar negara dan bawa ke Singapura dan tanam di kebun mereka," kongsi Cik Bazilah.

PROSES PENGUMPULAN TELITI

Sebelum spesimen boleh disimpan dan maklumatnya didigitalkan, ia melalui proses pengumpulan yang teliti.

Kakitangan Singapore Herbarium mengumpulkan tumbuhan dengan penuh berhati-hati dan merakamkan lokasi, ciri-ciri serta identiti setiap spesimen.

Setiap daun, bunga, buah dan ranting diteliti untuk memastikan maklumat saintifiknya lengkap sebelum ia dibawa kembali ke herbarium untuk diawet dan disimpan.
 
Related article image
<p><strong>Siti Nur Bazilah, Pengurus Kanan Singapore Herbarium, Kee Kai Ying,Pegawai Kanan Herbarium,&nbsp;Lim Wei Hao,&nbsp;Pegawai Kanan Herbarium. (Gambar: Nurfazirah Azman)</strong></p>
GUNAKAN MESIN BAHARU

Dengan mesin baharu, proses pendigitalan kini dijangka mengambil masa hanya 10 hingga 12 bulan sahaja, berbanding 10 tahun jika dilakukan secara 'in-house'.

Selain gambar tanaman yang dimuatnaikkan, maklumat lengkap mengenai siapa yang mengumpulkan spesimen itu, lokasi serta tarikh pengumpulannya turut dirakamkan dalam pangkalan data online tersebut.

Melalui usaha ini, diharapkan lebih ramai orang awam akan sedar tentang kerja penting yang dilakukan di herbarium.

"Mungkin pada orang awam, mereka tidak tahu apa itu herbarium. Jadi dengan kami menunjukkan isi kandungan herbarium, mungkin ia membuat orang lain minat terhadapnya. Sekarang saya lihat tidak banyak yang memasuki bidang botani terutama sekali anak muda, mereka lebih kepada AI dan IT tetapi jangan lupa pada pengetahuan tradisional seperti botani, " kata Cik Bazilah.
 
Related article image
Penolong Pegawai Singapore Herbarium,<strong> </strong>Juriah Sabudin, 68 tahun.
PROSES PENDIGITALAN PASTIKAN SUMBANGAN PEKERJA TERDAHULU TIDAK DISIAKAN

Namun sebelum adanya teknologi, ilmu di sini dibina melalui usaha dan pengalaman bertahun-tahun generasi sebelumnya.

Setiap spesimen yang dikumpulkan dan disimpan mempunyai cerita tersendiri, diwarisi dari generasi pekerja terdahulu.

Antaranya ialah Penolong Pegawai Singapore Herbarium, Juriah Sabudin, 68 tahun.

Beliau mahu meneruskan legasi ibunya yang mewakili generasi pekerja terdahulu yang menjaga spesimen sejak sebelum era komputer.

Usaha pendigitalan kini memastikan sumbangan mereka terus kekal dan dapat dimanfaatkan untuk masa hadapan.

"Ibu saya bernama Rutiah Sukarman. Dia bekerja di sini sebagai 'mounting'. Saya yang gantikan tempat kerja mak. Mereka mengatakan kalau saya boleh gunakan komputer , walaupun saya tak tahu tapi saya cakap boleh. Saya nak kerja di sini tapi Alhamdulillah saya boleh bikin sampai sekarang," kata Cik Juriah.

Bagi memastikan koleksi terus berkembang, Singapore Herbarium merancang untuk memperluaskan kemudahan sehingga 40 peratus bagi menyediakan ruang bagi lagi 30,000 jenis botani.

Langkah ini akan mempersiapkan herbarium untuk menjadi pusat rujukan utama buat 50 tahun akan datang.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita