Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Hasilkan baju sukan, trek lari guna bahan plastik terpakai antara cara industri sukan jadi lebih mampan

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Istilah guna semula, kurangkan dan kitar semula atau lebih dikenali sebagai 3R kian menjadi tunggak penting sedang Singapura menuju ke arah masa depan lebih mesra alam, lebih-lebih lagi dengan visi Pelan Hijau Singapura 2030 yang dilancarkan tahun lepas. 

Memandangkan kemampanan menjadi fokus dalam beberapa tahun mendatang, bagaimana pula sektor sukan khususnya, dapat memainkan peranan dalam usaha ke arah kemampanan?

SPORTSG "HIJAUKAN" INFRASTRUKTUR DAN PROGRAM

Dengan visi Pelan Hijau Singapura 2030, kemampanan kian menjadi aspek penting bagi agensi sukan tempatan SportSG. 

Penolong Pengarah bagi Sekretariat Pelan Hijau Sukan SportSG, Encik Shahril Hidayat berkata: "SportSG telah membangunkan Pelan Hijau Sukan kami berdasarkan Pelan Hijau Singapura 2030 yang dilancarkan pada 2021, bagi melakarkan cara-cara untuk mencapai kemampanan melalui gabungan inisiatif-inisiatif."

"Dalam bidang infrastruktur misalnya, kami menyasarkan pensijilan Tanda Hijau Tenaga Sangat Rendah bagi setiap projek pembangunan kami." 

Selain infrastruktur yang lebih mesra alam, pelbagai perubahan juga dilaksanakan dalam program dan acara yang dianjurkan SportSG.

"Kami mengikuti prinsip 3R (kurangkan, guna semula dan kitar semula) bagi menyumbang kepada matlamat kemampanan yang menyeluruh," tambahnya. 

Encik Shahril turut menegaskan bahawa ia adalah penting bagi industri sukan untuk terus menerapkan sifat-sifat mesra alam bagi masa depan Singapura. 

"Keupayaan unik sukan adalah ia dapat membakar semangat masyarakat dan pada masa yang sama, menyatukan mereka. Tujuan sukan telah berkembang dari suatu aktiviti rekreasi kepada pemangkin perubahan yang boleh membantu
memacu usaha kemampanan. Dengan menjadi mesra alam, kami dapat memacu perubahan tingkah laku dalam
industri sukan dan juga rakan-rakan kongsi serta masyarakat," jelas Encik Shahril. 

KITAR SEMULA 300,000 KASUT JADIKAN BAHAN BAGI TREK BERLARI, TAMAN PERMAINAN

Antara usaha yang sudah dillakukan SportSG adalah menerusi kerjasama dengan syarikat sains bahan, Dow, untuk menggalak budaya dan sekitaran yang lebih mesra alam dalam industri sukan. 

Projek itu bertujuan untuk mengitar semula kasut-kasut sukan yang lama dan mencipta bahan binaan yang lebih mesra alam. 

Setiap minggu, beg-beg berisikan ribuan pasang kasut dihantarkan ke kemudahan BT Sports di Tuas dari 30 tempat pengumpulan kasut di merata Singapura.  

Kasut-kasut sukan itu akan diproses untuk menghasilkan bahan lantai di sudut kecergasan, taman permainan serta trek-trek lari. 

Menariknya, dalam masa 30 minit, lebih 200 kilogram kasut boleh diproses! 

Pengarah bagi peringkat Negara Singapura dan Malaysia syarikat Dow, Encik Paul Fong berkata, "Kita melihat adanya peluang untuk menjadikan kasut-kasut sebagai satu bahan yang mesra alam sekali gus membuat infrastruktur sukan lebih menghijau. Daripada menjadikannya sisa yang akan dibakar, kita juga memanfaatkan formula yang menggunakan perekat bebas pelarut dan berasaskan air. Ia akan melepaskan kadar VOC atau bahan pencemar yang rendah."

Dalam tempoh tiga tahun menjelang 2024, pihak SportSG dan Dow menyasarkan untuk mengumpul 300,000 pasang kasut untuk dikitar semula. 

Dalam tempoh sembilan bulan sejak dilancarkan pada Julai tahun lalu, sebanyak 170,000 pasang kasut berjaya dikumpul. Jumlahnya cukup untuk menghasilkan bahan bagi trek lari sepanjang 8.5 kilometer!

Berdasarkan sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat yang memberikan kasut-kasut terpakai mereka, Encik Fong malah optimis bahawa inisiatif itu akan dapat melepasi sasaran yang ditetapkan. 

Mengenai kerjasama itu, Encik Shahril pula berkata: "Ini menunjukkan iltizam kami untuk membantu memainkan peranan dalam membina ekonomi pekeliling, bagi mencapai matlamat akhir untuk membantu mengurangkan pelepasan karbon dioksida dan memperlahankan pemanasan global.

"Mewujudkan ekosistem tetap ini membolehkan kita berusaha secara kolektif bagi merapatkan jurang antara alam semula jadi dan diri kita, di mana semua orang boleh membuat sumbangan yang bermakna untuk memulihara alam sekitar," tambah beliau.  

PAKAIAN PASUKAN RAGBI S'PURA GUNAKAN BOTOL PLASTIK DIKITAR SEMULA

Dalam gelanggang mengitar semula, sukan ragbi sudah menjadi antara penggerak utama. 

Sampah-sampah sarap seperti botol plastik yang dikumpul selepas mengadakan acara-acara latihan atau pertandingan, mencetuskan idea kesatuan ragbi untuk mewujudkan satu huraian lebih mesra alam. 

Ketua Komersil, Pemasaran dan Perhubungan bagi Kesatuan Ragbi Singapura, Encik Douglas Danapal berkata: "Baju-baju ragbi kami dibuat daripada 50 peratus botol-botol plastik yang dikitar semula. Sekitar 20 botol diperlukan dalam menghasilkan satu baju seperti ini. Ini dapat mengurangkan sampah di sekeliling. Bayangkan setiap pasukan ada 15 orang, dan kita ada 7 pasukan ya."

"Malah, bungkusannya juga larut dalam air. Jadi, tidak akan ada plastik di laut, tidak menjejas kehidupan haiwan atau tumbuhan," jelas beliau. 

Menurut Encik Douglas, pasukan ragbi Singapura juga kini tidak menggunakan cawan atau botol plastik semasa sesi-sesi latihan dan perlawanan. Sebaliknya, para pemain ragbi diminta membawa botol-botol guna semula mereka sendiri. 

Memandang ke hadapan, kesatuan ragbi Singapura juga berharap bahawa lebih banyak usaha pendidikan dan meningkatkan kesedaran tentang sekitaran akan diadakan.

"Apa yang kita ingin lakukan adalah bekerjasama dengan rakan-rakan kerja untuk adakan sesi pendidikan bagi mengajar golongan muda. Ragbi bukan sahaja satu sukan. Semasa waktu rehat, golongan tersebut boleh mempelajari tentang pemuliharaan air, mengitar semula. Kita inginkan pendidikan, sukan dan pemuliharaan disertakan dalam acara-acara kami," kata Encik Douglas.

DECATHLON SASAR 13 PERATUS PENJUALAN KEMAMPANAN JELANG 2026

Di samping usaha persatuan-persatuan sukan kebangsaan tersebut, perniagaan sukan seperti Decathlon kini semakin giat dalam usaha memulihara persekitaran menerusi konsep 3R. 

Hakikatnya, sebanyak 16 peratus produk perniagaan sukan itu mempunyai rekaan mesra alam. Antaranya, sebilangan produk Decathlon dibuat dengan cara pencelupan “dope dyeing” yang menggunakan sehingga 60 peratus kurang air. 

Menjelang 2026, Decathlon menyasarkan 100 peratus produknya dihasilkan dengan cara mesra alam. 

Bukan sahaja produk, malah beg yang digunakan para pelanggan untuk menyimpan barang-barang mereka dibuat daripada sisa 12 botol plastik yang dikitar semula. 

Dengan cara ini, ia dapat mengurangkan sehingga 35 peratus pelepasan karbon dioksida semasa proses penghasilan.

Ketua Komersil Pekeliling Decathlon, Encik Nathaniel Gregory berkata: "Matlamat kami di Decathlon adalah untuk memastikan ia menjadi sebuah syarikat yang lebih mampan. Ini boleh dilakukan melalui pengurusan model perniagaan kami dan memanjangkan kitaran hayat produk kami."

Dalam pada itu, syarikat Decathlon baru melancarkan satu projek dipanggil 'Second Life' bulan ini untuk mengurangkan sisa serta kesan terhadap persekitaran. 

Daripada membuang produk-produk Decathlon yang dipulangkan pelanggan atau mempunyai kerosakan, mereka sebaliknya akan diperiksa dan dijual dengan harga yang lebih rendah di bawah inisiatif tersebut. 

Encik Nathaniel berkata: "Kita tahu bahawa 80 peratus pelepasan karbon dioksida datang daripada proses penghasilan. Jadi ia amat penting untuk kita lanjutkan kitaran hidup produk-produk kami daripada membuangnya. 

"Dengan cara ini, kita menggunakan kesemua pelepasan karbon dioksida yang dilepaskan semasa menghasilkan sesebuah produk. Ini bermakna bahawa kita tidak perlu terus menghasilkan produk dan sebaliknya, mewujudkan satu model pekeliling di mana kita boleh memperbaiki produk itu dan menjualnya dalam kategori 'Second Life'."

Penjualan produk-produk di bawah projek 'Second Life' dikategorikan di bawah penjualan kemampanan. 

Setakat ini, 3 peratus daripada keseluruhan penjualan Decathlon adalah daripada kategori tersebut dan menjelang 2026, jumlah itu diharapkan meningkat kepada 13 peratus.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan