Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Hari Raya di rumah panggung asli di Jubilee Road

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sudah menjadi tradisi adik-beradik serta saudara-mara Encik Saleh Mohamed Ismail untuk berhimpun di rumah panggungnya di Jubilee Road pada 1 Syawal.

Peluang beraya di situ boleh dianggap sangat eksklusif.

Bukan semua orang yang dapat meraikan Hari Raya dalam suasana kampung seperti itu di Singapura.

Rumah yang dibina pada tahun 60an itu masih mengekalkan ciri-ciri asalnya untuk dinikmati keluarganya daripada berbilang generasi.

Meskipun dikelilingi dengan bangunan moden dan pencakar langit, rumah panggung ini masih tersergam indah. Malah ia dipercayai satu-satunya rumah panggung asli di kawasan West Coast.

RAHSIA RUMAH PANGGUNG TIDAK DIROBOHKAN

Tidak seperti rumah-rumah kampung lain yang sudah dirobohkan, rumah itu masih teguh berdiri sehingga kini.

"Semua rumah bawah, diberi pilihan sama ada ingin bina rumah batu atau kena jual. Tapi seperti yang saya katakan, saya berterima kasih kepada ibu bapa saya. Ia idea mereka untuk bina rumah seperti ini. Dia buat tiang batulah. Pemerintah datang, dia nak uji sama ada tiang itu benar-benar konkrit atau tidak. Mereka masukkan lubang, kita tampal saja. Hanya gerudi kecil selepas itu mereka cakap 'ok'," kongsi Encik Saleh kepada BERITAmediacorp.


Rumah kampung Melayu jenis panggung yang berusia 61 tahun itu amat bermakna bagi Encik Saleh kerana di situlah beliau dibesarkan bersama 13 adik-beradik yang lain.

Lantaran itu, beliau bertekad untuk terus mempertahankan rumah ini selagi hayat dikandung badan.

Tambah Encik Saleh yang berusia 59 tahun, terlalu banyak kenangan istimewa di rumah itu.

Antaranya, beliau ingat bagaimana arwah ibu bapanya bertungkus-lumus berusaha untuk mencari rezeki untuk membangunkannya.

Oleh demikian, Encik Saleh berkongsi dengan BERITAmediacorp bahawa beliau tidak berasa senang bila ditanya sama ada beliau akan menjual rumah pusaka itu.

Baginya, rumah tersebut tidak boleh dijual beli.

Malah Encik Saleh mengalu-alukan kedatangan ahli keluarganya dan saudara-maranya termasuk dari Malaysia setiap tahun.

KEMERIAHAN BERAYA DI KAMPUNG

"Yang seronok ialah kemeriahannya. Macam anak saudara datang. Mereka rasa, mereka tak dapat rumah macam ini di Singapura. Kita jangan cakap mengenai luar negeri. Mereka kalau balik, mereka dah terkurung. Kalau mereka datang sini, mereka bebas. Daripada depan mereka pergi belakang. Ibarat kambing lepas kandang.

"Kalau cuaca baik, mereka nak main bunga api, saya berasa gembira. Walaupun kami dah berumur, tapi bila kita tengok mereka main bunga api kita rasa meriah tengok. Mereka yang buat meriah," ujar Encik Saleh kepada BERITAmediacorp lagi.

--

Bagi Nur Elly Marliysha Syarul Askin, 12 tahun, peluang menziarahi rumah itu sering dinanti-nantikannya setiap kali hari raya menjelang.

"Saya berasa seronok kerana ini satu-satunya kampung yang saya kunjungi semasa hari raya," kata Elly.

Cik Hamidah Haron, yang merupakan saudara Encik Salleh akui kemeriahan sambutan hari raya dalam suasana kampung.

"Alhamdulillah memang meriah suasananya amat berbeza daripada rumah HDB kerana suasananya luas, lapang, senang. Memang suka sangat. Memang seronok," kata Cik Hamidah, 60 tahun.

Sementara itu, Cik Juriah pula berkata rumah kampung itu memberi ketenangan padanya.

"Pemandangan keliling suasananya macam aman, nyaman, budak-budak pun meriah, kita dapat berkumpul saudara mara. Nampak pemandangan kampong. Sangat berbeza," menurut Cik Juriah, 61 tahun.

LAMPU COLOK BANGKITKAN 'SERI' RUMAH PANGGUNG

Selain dihiasi dengan perabot-perabot vintaj, rumah itu masih lagi menggunakan suis lama yang tidak didapati di rumah-rumah sekarang.

--

Untuk menambahkan nostalgia, Encik Salleh turut menyalakan sekitar 20 lampu colok di halamannya.

Menurutnya, lampu-lampu colok itu boleh bertahan sehingga 6 jam.

"Generasi muda sekarang jangan hapuskan apa yang kita ikut yang dulu-dulu. Sungguhpun orang tua kita dah tidak ada lagi. Kita masih perlu mengekalkan adat istiadat Melayu kunjung-mengunjung. Walaupun mereka tak dapat suasana macam ini, walaupun tinggal rumah flat, HDB atau kondominium, kunjung-mengunjung itu tolonglah terus lakukannya."

Bukan setakat dihiasi dengan lampu lap-lip dan lampu colok, malah suasana raya dimeriahkan lagi dengan keseronokan kanak-kanak bermain bunga api.

--

Percikan bunga api mula dilihat selepas sekitar jam 7.30 malam.

Tidak kira kanak-kanak mahupun orang dewasa, semua seronok bermain bunga api di halaman rumah kampung itu.

Yang jelas, pengalaman itu amat bermakna dan tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan