Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Generasi ke-4 Orang Laut, Firdaus Sani guna media sosial lestarikan warisan makanan keluarga

Pelbagai sejarah dan tradisi masyarakat Orang Laut dapat dirungkai hanya daripada semangkuk asam pedas ikan, yang merupakan salah satu masakan tradisi masyarakat itu.

Anggaran Waktu Membaca:
BERITA+: Generasi ke-4 Orang Laut, Firdaus Sani guna media sosial lestarikan warisan makanan keluarga

Generasi keempat Orang Laut, Encik Firdaus Sani (tengah) bersama ibu dan ibu saudaranya. (Gambar: BERITAmediacorp/Nur Hazimah Anuar)

BERITAmediacorp: Pelbagai sejarah dan tradisi masyarakat Orang Laut dapat dirungkai hanya daripada semangkuk asam pedas ikan, yang merupakan salah satu masakan tradisi masyarakat itu.

Daripada bahan-bahan yang digunakan sehingga cara memasaknya, setiap aspek menampilkan keunikan masyarakat itu dari segi masakan dan juga kepakaran mereka dalam memilih makanan laut.

Keistimewaan itu juga ingin dikongsi oleh generasi keempat Orang Laut, Firdaus Sani menerusi inisiatif Orang Laut SG di media sosial.

Encik Firdaus berasal daripada keluarga Orang Laut yang dahulu menetap di Pulau Semakau pada tahun-tahun 1960-an.

(Gambar ihsan: Firdaus Sani)

"Saya mulakan Orang Laut SG kerana saya bimbang tradisi kami akan pupus kerana banyak keluarga kami dan kaum-kaum Orang Laut dan Orang Pulau tidak ke laut lagi.

"Kami ada banyak tradisi seperti memancing, dan juga adat laut tetapi satu perkara yang ada dalam tradisi kita adalah makanan kita.

"Jadi melalui Orang Laut SG, saya mahu lebih ramai orang tahu tentang sejarah kami di pulau dan dan juga makanan kami," kata Encik Firdaus.

MAKANAN ORANG LAUT TETAP MAKANAN ORANG MELAYU

Walaupun sudah lebih sedekad keluarganya berpindah ke tanah besar Singapura, selera mereka pada makanan Orang Laut tidak berubah sehingga kini.

Antara resipi istimewa keluarganya adalah sotong masak hitam, asam pedas ikan dan gulai nenas.

Hidangan asam pedas ikan, gulai nenas dan sotong masak hitam. (Gambar: BERITAmediacorp/Nur Hazimah Anuar)

"Walaupun kami Orang Laut tetapi kami tetap adalah orang Melayu, jadi makanan kami ada pengaruh nusantara. Jadi makanan kami tetap makanan Melayu.

"Tetapi bahan-bahan yang kami gunakan adalah lain sedikit, kami lebih tertumpu pada makanan laut," kata Encik Firdaus.

Misalnya, antara perkara yang membezakan masakan asam pedas ikan ala Orang Melayu dengan Orang Laut adalah jenis ikan yang digunakan.

Bagi Orang Laut, salah satu ikan yang lazim digunakan adalah ikan debam.

"Sisik ikan debam ini halus, bukan seperti sisik ikan kasar. Ada ikan debam kalau masuk karang muda, ini akan membuatnya rasa hanyir dan kalau kita masak pun dapat rasa. Tetapi kalau ikan ini pergi dekat karang tua, ia tidak akan rasa hanyir.

"Asam pedas masakan Orang Laut juga berlainan sedikit dari segi bahan-bahannya yang mudah tetapi asam pedasnya perlu pekat. Gulainya perlu ada rasa lada hitam. Jadi baru dapat rasa, masakan ini cara Orang Laut,"kongsi ibu Encik Firdaus, Cik Nooraini Rani.

KONGSI RESIPI ISTIMEWA KELUARGA

Sebagai generasi ketiga Orang Laut, Cik Nooraini juga terlibat sama dalam usaha Orang Laut SG untuk melestarikan khazanah budaya masyarakat itu.

Bagi mengekalkan dan memperkenalkan masakan Orang Laut kepada generasi baru, beliau bersama anaknya itu memulakan khidmat tempahan makanan Orang Laut dari rumah.

Antara lauk-pauk Orang Laut yang dijual termasuk sotong masak hitam, yang disediakan menggunakan 'sotong nos'.

Menurutnya, sotong itu mengandungi lebih banyak dakwat hitam.

RAKAM KHAZANAH BUDAYA ORANG LAUT PULAU SEMAKAU

Selain meningkatkan kesedaran tentang budaya Orang Laut, Encik Firdaus juga merakamkan kisah-kisah menarik masyarakat Orang Laut dari Pulau Semakau menerusi Orang Laut SG.

"Saya rasa orang-orang seperti ibu saya, mereka banyak kisah-kisah untuk dikongsi dan ada cabarannya juga.

"Orang Laut di Singapura mereka pendiam, banyak cabaran yang dihadapi tetapi mereka tidak luahkannya jadi saya harap dapat menjadi orang tengah untuk kongsi kisah-kisah mereka dan mengekalkan tradisi orang pulau di Singapura," ujar Encik Firdaus.

Tambahnya, untuk melestarikan khazanah budaya Orang Laut, memerlukan usaha yang berterusan.

Bagi warga muda seperti Firdaus dan generasi keempat yang lain, usaha itu sumbangan mereka bagi mengekalkan warisan istimewa masyarakat Orang Laut.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan