BERITA+: Evolusi 'Yusheng' Tahun Baru Cina; versi halal dan lebih sihat kian popular
BERITAmediacorp: Sambutan Tahun Baru Cina tidak lengkap tanpa hidangan Yusheng yang menjadi penyeri setiap kali acara makan besar bersama keluarga.
Yusheng atau Yusang dalam bahasa Kantonis bermaksud "ikan mentah", manakala amalan melambung Yusheng itu dikenali sebagai 'Lo Hei'.
Yusheng adalah campuran sayur-sayuran berwarna-warni dan hirisan nipis ikan mentah yang dicampurkan dengan pelbagai jenis perasa.
Jadi mengapa kaum masyarakat Cina makan Yusheng sewaktu Tahun Baru Cina?
"Kami makan Yusheng dalam beberapa hari pertama Tahun Baru Cina. Setiap kali kami menuangkan bahan-bahannya, kami akan ucapkan kata-kata seperti untuk kekayaan, untuk kasih sayang dan untuk keluarga," kongsi Cik Celest Chua, yang akan berkumpul di rumah neneknya untuk melakukan tradisi itu.
Bagi Encik Wei Minh pula, beliau akan melakukan amalan Lo Hei pada malam Tahun Baru Cina, serta pada hari pertamanya.
"Kami bersuka ria, dan kita imbas kembali kenangan lalu yang menggembirakan indah dan kemakmuran yang bakal diraih dalam Tahun Baru Cina," kongsi Encik Wei Minh kepada BERITAmediacorp.
SIMBOL PENYATUAN DAN LAMBANG MURAH REZEKI
Dalam dialek Kantonis, Lo Hei bermakna melambungkan nasib yang baik dan mencapai tahap baru.
Lantas, sudah menjadi "kewajipan" untuk melambungkan bahan-bahan yang ada setinggi mungkin, sambil bersorak untuk tahun baru yang baik dan makmur.
(Gambar: Carousel)
Lebih tinggi ia dilambung maka lebih banyaklah tuah dan rezeki yang datang.
Hidangan Yusheng dipercayai berasal dari wilayah Guangdong China sebelum dibawa para pendatang ke Malaysia dan Singapura.
Secara tradisinya, terdapat dua jenis Yusheng yang dimakan di Singapura iaitu Kantonis dan Teochew.
Yusheng Kantonis biasanya dimakan pada hari ketujuh Tahun Baharu Cina, manakala masyarakat Teochew memakannya sepanjang tempoh perayaan.
Menariknya, Yusheng kini turut dinikmati oleh pelbagai kaum di sini.
"Sebelum ini, saya melakukan Lo Hei bersama keluarga saya. Tetapi selepas saya mula bekerja, ia dilakukan dengan rakan kerja saya juga,
"Mereka terdiri daripada masyarakat berlainan. Jadi ada rakyat Amerika, Perancis, Melayu dan India dalam persekitaran kerja. Jadi ia lebih pelbagai," tambah beliau yang menyifatkan pengalaman itu sebagai sesuatu yang menyeronokkan," kata Cik Reina Yeo.
MASYARAKAT MELAYU/ISLAM SINGAPURA JUGA NIKMATI AMALAN LAMBUNG YUSHENG
Dalam persekitaran berbilang bangsa dan budaya negara ini, Yusheng turut dinikmati anggota masyarakat lain.
"Ia sesuatu yang baru sebab kami tidak melakukannya dalam budaya kami. Saya tahu semasa mereka melambung itu, mereka akan memberikan ucapan," kongsi Cik Nurul, yang melakukan lambungan Yusheng bersama rakan kerjanya.
"Dengan kawan dari Politeknik, selepas kelas mereka mengajak saya kalau ingin makan Yusheng. Saya gementar sebab tidak tahu apa yang perlu dilakukan tetapi mereka mengajar saya dengan perlahan jadi saya melakukannya bersama dengan mereka. Ia agak seronok," kata Cik Nur Adilah Azhar.
Dengan semakin ramainya masyarakat Muslim yang turut serta melambung Yusheng bersama rakan-rakan mereka yang menyambut Tahun Baharu Cina, hidangan itu kian popular.
RESTORAN CAROUSEL TAWARKAN YUSHENG HALAL
(Gambar: Carousel)
Kini, lebih banyak restoran halal yang menghidangkannya semasa musim perayaan Tahun Baru Cina, termasuk Restoran Bufet Carousel di Scotts Road.
"Pelanggan-pelanggan kami semua berbagai-bagai. Ada yang bersama keluarga, syarikat-syarikat dan juga kawan-kawan yang berbilang bangsa," kongsi Cef Sous, Johari Suratman.
Menurutnya lagi, permintaan bagi Yusheng halal amat menggalakkan terutama sekali dalam kalangan syarikat korporat.
Tahun ini, restoran Carousel menawarkan tiga jenis Yuseng yang lebih tradisional.
"Kita adakan bahan-bahan yang mentah seperti salmon mentah, tuna mentah dan abalon, dan juga sayur-sayuran yang segar," kongsi Cef Johari.
Namun hidangan tradisional itu turut mengalami evolusi dan menjadi lebih meriah dan berwarna warni dengan penambahan berbagai-bagai bahan baru.
YUSHENG ALA-ALA THAI
(Gambar: Bali Thai)
Restoran Fusion Thai-Indonesia, Bali Thai turut menawarkan Yusheng halal tetapi dengan sedikit kelainan.
Bahan-bahan yang digunakan dalam hidangan Yusheng di restoran itu banyak menggunakan ramuan makanan Thai.
Namun, ciri-ciri tradisionalnya tetap dikekalkan.
"Manisnya mangga hijau, 'jellyfish' atau obor-obor yang lembut, kerangupan kacang gajus dan juga wangian bunga sitrus dari halia dan serai," kongsi Penolong Pengurus restoran, Cik Azliza Junaitee.
"Pelanggan boleh juga memilih udang-udang segar yang telah direbus, kulit ikan goreng dan juga cendawan goreng yang rangup," tambah beliau.
Restoran Bali Thai juga menikmati jumlah tempahan yang banyak menjelang Tahun Baharu Cina ini.
"Kami melihat banyak peningkatan dalam tempahan dari pelanggan tetap kami dan banyak juga tempahan dari pelanggan-pelanggan korporat yang membelinya untuk meraikan bersama kenalan Cina dan Muslim," ujar Cik Azliza.
EVOLUSI YUSHENG - PILIHAN LEBIH SIHAT SEPERTI VERSI "VEGETARIAN" DAN "VEGAN"
Daripada sebuah hidangan ringkas dengan hanya beberapa bahan, Yusheng sudah pun melalui beberapa transformasi.
Restoran-restoran seperti Bali Thai dan Carousel misalnya, juga menyediakan versi Yusheng yang lebih sihat untuk menepati cita rasa para pelanggannya yang pelbagai.
"Kami juga ada sediakan Yusheng Thai yang mengandungi bahan-bahan seperti strawberi, dan kiwi serta cendawan goreng," menurut Cik Azliza.
Restoran Carousel turut menawarkan Yusheng jenis vegan atau vegetarian untuk pelanggan yang tidak makan daging.
Namun, walau apa pun ramuan dan bentuknya, tradisi Yusheng tetap menerapkan semangat kekeluargaan, kebersamaan serta meraih kemakmuran.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.