Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Evolusi perniagaan gunting rambut kaum Adam... mengapa harga kini boleh cecah S$45?

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Perniagaan gunting rambut kaum Adam hakikatnya sedang menjalani satu evolusi.

Pada zaman 1990-an, para pelanggan cuma perlu bayar kurang S$10 untuk gunting rambut. Khidmatnya boleh dikatakan ringkas tetapi potongan abang-abang gunting rambut cukup kemas sehingga kedai-kedai 'tradisional' yang menawarkan khidmat pada harga berpatutan seperti itu masih bertahan sehingga ke hari ini.

Kemudian timbul kedai gunting 'hipster' atau 'gentleman'. Harga khidmat yang ditawarkan di kedai-kedai sebegini pula boleh mencecah S$45! Menariknya, ramai sanggup membayar harga yang berkali-kali ganda lebih mahal itu.

Mengapa ada perbezaan begitu ketara dari segi harga? Ayuh baca laporan BERITA+ ini untuk mendapatkan jawapannya.

HARGA POTONG RAMBUT DI KEDAI INI MASIH DIKEKALKAN SERENDAH S$6

Mereka yang menginginkan potongan rambut klasik mungkin boleh cuba khidmat kedai gunting rambut di Blok 94 Toa Payoh Lorong 4. Ia sudah 50 tahun beroperasi dan ini sekali gus menjadikannya salah satu kedai gunting rambut tertua di Singapura!

Kedai itu dahulu dikenali sebagai Abu Nawas Barber Shop di kawasan Paya Lebar. Namun mereka berpindah ke Toa Payoh lalu namanya diubah menjadi Bugs Bunny Barber Shop.

Kedai Gunting Bugs Bunny
Luar kedai Bugs Bunny Barber Shop di Blok 94 Toa Payoh Lorong 4

Apa pun, harga khidmat gunting rambut di kedai itu sudah 20 tahun dikekalkan pada harga serendah S$6 bagi kanak-kanak dan S$8 bagi golongan dewasa. Harga tersebut dikenakan bagi apa sahaja potongan rambut yang diinginkan pelanggan.

Bukan itu sahaja. Potongan rambut Bugs Bunny Barber Shop juga 'trendy'. Menurut salah seorang kakitangannya, cara memotong rambut lelaki zaman sekarang umumnya memerlukan teknik yang sama sejak berzaman-zaman dahulu.

"Saya boleh gunting gaya 'slope', 'flat top'... GI itu yang tidak akan pupus. Mesti ada. Gaya 'slope' pula sekarang mereka panggil ‘fade cut’. Nama tukar, cara sama," kongsi Encik Hamzah Khairuman, 65 tahun, yang sudah lebih 40 tahun berkhidmat di kedai 'Bugs Bunny'.

Hamzah Khairuman Bugs Bunny Barber Shop
Encik Hamzah Khairuman menggunting rambut seorang pelanggan

Permintaan bagi khidmat gunting rambut di 'Bugs Bunny' juga ternyata masih cukup menggalakkan hingga ke hari ini. Ia menyambut sekitar 50 pelanggan setiap hari dan ada yang sanggup datang dari sejauh Punggol dan Tampines.

Kedai itu bahkan pernah mendapat kunjungan istimewa apabila Menteri Pertahanan Ng Eng Hen memotong rambut di kedai mereka sekitar tujuh tahun lalu.

Yang pasti, kelima-lima tukang gunting rambut veteran di kedai itu memang serba boleh dan cukup faham cita rasa para pelanggannya yang berusia antara tiga hingga 80 tahun.

"Selalunya mereka (pelanggan) mahu ikut gaya rambut seperti bintang filem atau bola sepak. Kami tidak ada gaya 'signature'. Semuanya kami boleh lakukan. Sekarang pun mereka sudah 'moden' kan jadi mereka datang dengan gambar atau telefon bimbit, tunjuk jadi tak ada masalah," ujar Encik Hamzah.

"Jadi kita harus ikut sajalah. 90 peratus selalu ok. Tidak 100 peratus tapi 90 peratus."

Haircut Bugs Bunny Barber Shop
Seorang tukang gunting rambut di Bugs Bunny Barber Shop bersedia untuk menggunting rambut pelanggan

Oh ya, ini satu trivia tentang Bugs Bunny Barber Shop. Kedai itu dinamakan sempena watak Warner Bros demi memudahkan pelanggan yang bukan berbangsa Melayu untuk menyebut nama kedai itu.

"Bila gunakan 'Bugs Bunny', budak-budak pun suka kerana mereka tahu watak animasi kan? Kadang-kadang kita jalan pun ‘eh tukang gunting 'Bugs Bunny' lah. Kadang-kadang dekat panggung wayang pun mereka pekik-pekik," jelas Encik Hamzah mengenai nama kedainya yang unik itu.

KHIDMAT GUNTING RAMBUT INI PULA BOLEH CECAH S$40. SEBABNYA...

Kami beralih pula kepada kedai-kedai gunting 'hipster' atau 'gentlemen' yang mula timbul bak cendawan di sini sejak kira-kira 15 tahun lalu.

Salah satu kedai gunting moden yang mendapat perhatian ramai sekarang adalah The Golden Rule Barber Co. yang mempunyai dua cawangan di Singapura.

The Golden Rule Interior
Para tukang gunting rambut sibuk menggunting rambut pelanggan di cawangan The Golden Rule di Race Course Road (Gambar: Syawal Yusoff)

Khidmat yang ditawarkan berharga antara S$30 hingga S$40. Ini sebabnya harga khidmat mereka jauh lebih tinggi berbanding kedai-kedai gunting rambut tradisional...

"Kami menghormati kedai-kedai gunting biasa, tukang-tukang gunting di bawah blok biasa-biasa, dan pakcik-pakcik. Cuma mereka hanya menyediakan pengguntingan rambut sahaja. Tapi kami menawarkan pengguntingan 'bespoke' (gaya khas bagi setiap pelanggan) daripada hanya memotong pendek rambut pelanggan," terang Encik Yanto Sani, 38 tahun, pemilik The Golden Rule Barber Co.

Dalam erti kata lain, syarikat itu lebih menumpukan kepada konsultasi dan mengambil kira faktor-faktor seperti pekerjaan pelanggan, sebelum rambut pelanggan dipotong.

"Kami menggelarkannya kedai gunting 'masa kini' di mana ia adalah gabungan kedai gunting tradisional dan salun rambut lelaki," tambah Encik Yanto lagi.

The Golden Rule Yanto Sani
Pemilik The Golden Rule, Encik Yanto Sani

Menurut Encik Yanto, setiap tukang gunting di kedainya perlu menjalani latihan yang khusus untuk menguasai selok belok pengguntingan rambut.

"Ia mengambil masa yang lebih lama daripada gunting rambut biasa seperti pendek sudah begitu sahaja, 'slope' begitu sahaja'. Jadi saya rasa jumlah kerja dan peralatan yang tukang gunting rambut perlu laburkan, itulah sebab ia mahal sedikit daripada kedai-kedai biasa," terang Encik Yanto lagi.

Para pelanggan umumnya mempunyai 12 pilihan berbeza bagi potongan 'gentleman' dengan gaya 'fade' - iaitu sisi rambut dicukur tipis. Antaranya termasuk 'Executive Contour', 'High Fade - Sidepart', 'Loose Pomp', 'The Dapper', '50s Pompadour' dan 'Slickback'.

The Golden Rule Cuts
Antara gaya klasik yang ditawarkan di The Golden Rule (Gambar: Syawal Yusoff)

Yang mengagumkan adalah The Golden Rule Barber Co sering kali dilanggani para selebriti seperti Taufik Batisah, Hady Mirza, Hisyam Hamid, Sezairi, Yung Raja, Fariz Jabba dan Fazley Yaakob.

Hisyam Hamid
Hisyam Hamid (Gambar: Yanto Sani)
 
Fazley Yaakob
Fazley Yaakob (Gambar: Yanto Sani)

Para atlet bola sepak dalam dan luar negara juga mendapatkan khidmat mereka! Pada 2017, kedai gunting rambut itu malah mendapat permintaan khas daripada para pemain pasukan bola sepak Argentina semasa mereka mengadakan lawatan ke Singapura.

Baihakki
Pemain bola sepak Singapura, Baihakki Khaizan bersama anak-anaknya (Gambar: Yanto Sani)

Selain menyediakan khidmat gunting dan mencuci rambut serta mencukur janggut, The Golden Rule Barber Co turut menghasilkan rangkaian produk rambut dan pakaian sendiri.

IMEJ KEMAS DAN SEGAK TUKANG GUNTING 'DEEPCUTS' CERMINKAN RASA HORMAT TERHADAP PELANGGAN

Satu lagi perbezaan antara kedai gunting moden dengan yang tradisional adalah, operasi kedai yang moden tertumpu kepada suatu 'tema' yang dapat membangkitkan suasana atau 'feel' di dalam kedai.

Kedai gunting 'DeepCuts' yang dibuka pada 2013 misalnya mengutamakan imej kakitangannya yang cukup segak.

DeepCuts Barbers
Tukang gunting rambut DeepCuts sedang melayani pelanggan

"Berpakaian kemas adalah sangat penting dalam kerjaya ini kerana kami banyak menumpukan kepada potongan rambut tradisional yang biasanya gaya rambut klasik yang mengenakan sut, kemeja dan seluar panjang," kata pemilik 'DeepCuts' Encik Faz Ismail.

"Tambahan lagi, kita mempunyai banyak 'subculture' (pelanggan dari latar belakang yang rencam). Maka itu berpakaian kemas adalah sangat penting. Ia menunjukkan rasa hormat kepada pelanggan kami."

DeepCuts Faz Ismail
Pemilik DeepCuts, Encik Faz Ismail

Mentelah lagi, 'DeepCuts' terletak di kawasan Outram Park yang berdekatan dengan CBD. Ini bermakna, para pelanggannya umumnya golongan berkerjaya yang lebih menyukai gaya kemas seperti 'Pompadour', 'Quiff' atau 'Ivy League'.

Harga guntingan 'DeepCuts' mencecah S$45 - juga cukup tinggi berbanding harga di kedai-kedai tradisional. Sungguhpun demikian, mereka dilanggani 600 hingga 700 pelanggan setiap bulan!

MASA DEPAN DUNIA PERNIAGAAN GUNTING RAMBUT

Dengan persaingan bersama kedai-kedai gunting yang moden, apakah agaknya masa depan untuk kedai-kedai gunting tradisional seperti Bugs Bunny Barber Shop?

Ini luahan spontan Encik Hamzah:

"Kemungkinan kalau kami ini bersara kami pun tak tahu apa akan terjadi."

"Kami harap ada pelapis yang nak ganti. Kalau tidak ada pelapis, kami perlu fikirkan apa yang akan kita buat. Buat masa sekarang belum ada. Kita semua sudah berumur 60-an," tambahnya.

Disingkapkan, selagi terdaya, beliau dan rakan-rakan tukang gunting yang lain ingin terus berdaya saing dan kekal relevan.

"Kita harus mengikuti arus perkembangan dari segi cara-cara gunting rambut. Gaya rambut, kita ikut. Jangan asyik nak gaya lama tapi perlu ikut apa yang mereka (kedai-kedai gunting lain) lakukan sekarang," kata Encik Hamzah lagi.

The Golden Rule Shop
(Gambar: Syawal Yusoff)

Bagi tukang gunting moden seperti Encik Yanto dan Encik Faz pula, kedua-dua berkongsi pendapat bahawa masa depan kedai gunting moden di Singapura akan terus maju.

"Saya percaya ia (kedai gunting moden) akan kekal untuk jangka masa panjang kerana fesyen akan terus berubah-ubah," kata Encik Yanto.

DeepCuts shop
(Gambar: Syawal Yusoff)
Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan