BERITA+: Dua peniaga ini manfaatkan wadah penstriman langsung di media sosial, boleh raih pendapatan lima angka
SINGAPURA: Hampir setiap hari, suri rumah sepenuh masa, Cik Sri Tuty Eryani akan mula penstriman langsung di TikTok LIVE pada jam 8.00 pagi untuk melayan pembeli dan menjual barang-barang yang ditawarkannya.
Daripada alat elektronik, peralatan rumah hinggalah barang kosmetik dijual Cik Eryani.
"Pada mulanya, saya bermula pada 7.00 pagi. Jadi saya lihat pukul 7.00 pagi juga ada orang berbelanja bila mereka ingin keluar bekerja. Jadi saya lihat mereka ada masa lapang untuk 'scroll'. Lepas bulan puasa dah raya, perit pula. (Jadi saya) naikkan waktu pada pukul 8.00 pagi," kongsi Cik Eryani kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
JANA PENDAPATAN MENERUSI PROMOSI PRODUK DI TIKTOK
Cik Eryani merupakan peserta Program Afiliasi TikTok.
Program itu membolehkan pencipta kandungan seperti Cik Eryani menjana pendapatan dengan memperoleh komisen melalui promosi produk di platform TikTok.
"Cara untuk peroleh komisen ialah untuk membuat video ataupun 'livestream'. Anda boleh membuat kedua-duanya untuk menaikkan lagi pendapatan adan. Jadi saya buat dua-duanya pada masa yang sama. Kita menerima sokongan daripada TikTok. Jadi kalau minimum (LIVE) tiga jam, mereka akan menyokong dengan baucar," jelas Cik Eryani.
"Kalau mereka masuk 'livestream' orang lain yang tidak ada sokongan daripada TikTok, mereka akan membeli sebilangan barangan itu tanpa diskaun misalnya pada harga S$10 tetapi kalau TikTok menyokong kita, ia (TikTok) akan memberi kita S$1 atau S$2 diskaun untuk penonton membeli. Jadi bila penonton masuk ke 'livestream' kita, mereka akan nampak kenapa ini tadi dijual $10 dan yang ini $8 pula, jadi okey saya akan membeli daripadanya," tambah beliau.
BUAT 'LIVE' DAN MUAT NAIK VIDEO
Untuk mencapai jualan yang banyak, Cik Eryani perlu rajin dan konsisten dalam cara mempromosikan produk tersebut.
"Kalau yang paling bagus, secara konsisten boleh memperoleh lima angka. Pokoknya perlu rajin bukan untuk buat 'live' sahaja untuk tiga jam malah mesti menyusuli dengan video. Jadi kalau kita muat naik lima video setiap hari, TikTok akan menolak (kita) lebih. Algoritmanya seperti itu di mana ia akan membawa kita masuk ke 'FYP' (For You Page).
"Mengikut pengalaman yang saya dapat, kalau kita 'monotonous' atau menggunakan nada yang membosankan semasa bercakap dan otak kita tiba-tiba tersekat dan kita senyap kerana tidak tahu apa lagi untuk berbual, jumlah penonton akan merosot. Jadi kita perlu konsisten dan terus berbual walaupun mungkin tidak ada apa-apa yang boleh dikatakan. Berinteraksi sahaja (dengan penonton)," tambahnya.
ATURAN SESUAI UNTUK SURI RUMAH SEPERTI CIK ERYANI
Aturan sebegini juga sangat sesuai untuk suri rumah seperti Cik Eryani dalam menjana pendapatan tambahan tanpa perlu menyimpan stok yang banyak.
Di bawah program Afiliasi TikTok, para peniaga boleh mendaftar untuk mendapatkan
sampel produk secara percuma untuk dipromosikan.
Mereka juga tidak perlu menyimpan stok asingan untuk pelanggan dan urusan penghantaran juga akan diuruskan.
"Bagi saya, seronok buat TikTok 'Live' ini kerana kita tidak terikat dengan masa. Kalau sakit pun, tidak perlu melaporkan diri sakit dan mengambil cuti sakit. Kita boleh lakukan ('live') pada masa lapang kita, mengikut sasaran kita sahaja," ujar Cik Eryani.
"Memang dari mula, saya suka berbual. Suka berbual jadi suka jual benda sebab kita suri rumahkan? Kita menjana pendapatan macam ghairah, hari ini ingin dapat hasil S$100, jadi ia buat kita semacam ghairah. Jadi sebelum ini, saya (berjualan) daripada Facebook, jual jenama pakaian sendiri seperti tudung, baju 'custom made' tetapi ada cabarannya iaitu kita perlu menyimpan stok," tambah beliau.
Bagi Cik Eryani, beliau mahu meraih manfaat daripada trend yang kian berubah bagi perniagaan.
Menurut laporan terbitan Research And Markets, industri dagangan menerusi wadah media sosial di Singapura dijangka berkembang pesat, dengan nilai jualan kasar meningkat daripada S$1.6 bilion pada 2023 kepada S$11.4 bilion menjelang 2029.
Perubahan itu mencerminkan peralihan trend cara pengguna membeli dan menjual dalam talian.
BOLEH CECAH JUALAN SEHINGGA S$100,000 SEBULAN
Platform media sosial juga membawa manfaat besar kepada peniaga seperti Cik Faridah Omar.
Bermula sebagai perniagaan dari rumah (HBB),beliau kini mengembangkan operasi Julz Freda ke sebuah kedai fizikal.
"Bila saya bermula dari rumah, saya bermula dengan (stok) sedikit sahaja mungkin dalam 50 stok. Lepas itu, semakin hari makan banyak dan pada hujung minggu juga, saya mendapatkan mereka (pelanggan) datang ke rumah dan membeli. Dari situ ramai orang datang rumah dan mungkin jiran-jiran tidak gembira bukan? Jadi dari situ saya berfikir memandangkan sudah ada ramai yang mengikut Julz Freda, kita mendapatkan bilik pameran," kongsi Cik Faridah kepada wartawan Nazirah Jamzuri.
Pada Jumaat dan Sabtu pula, Julz Freda akan menyambut kedatangan para pelanggan di kedainya namun Facebook 'LIVE' tetap kekal sebagai wadah utama bagi perniagaannya.
"Kalau kita buat 'Live', kita dapat lebih dekat lagi dengan penonton, dengan mereka yang ingin membeli itu. Mereka dapat mengenali kita dan kita dapat kepercayaan. Jadi bila kita memakai (produk yang kita jual) untuk menunjukkan warna dan sebagainya, ia membuat kita lebih dekat dengan mereka.
Bulan yang baik macam bulan yang orang betul-betul ingin berbelanja, mungkin (dapat peroleh) dalam S$100,000. Itu untuk bulan yang baik sebab kita ada 'pattern' dan musim seperti Hari Raya. Kalau hujung tahun selalunya perniagaan lebih perlahan kerana ramai yang ingin bercuti dan menyiapkan anak ke sekolah. Jadi perlahan sedikit tetapi pada tahun baharu nanti, perniagaan akan pulih balik," menurut pemilik Julz Freda itu.
PERAGAKAN PAKAIAN UNTUK PENONTON
Selain itu, Cik Faridah juga berkongsi beberapa tip dan teknik untuk membuat Facebook Live.
Antaranya menggunakan lampu yang terang, serta telefon bimbit yang lebih terkini bagi mendapatkan mutu video yang lebih baik.
"Anda juga perlukan patung untuk peragakan baju yang ingin dijual dan sudah tentu satu 'admin', yang menjaga komen yang masuk untuk menempah barangan. Jadi kalau untuk tudung, saya suka memakainya, jadi boleh nampak stail apa yang mereka boleh gayakan dengan tudung ini dan ini lebih meyakinkan mereka untuk membeli tudung itu," kongsi Cik Faridah.
Ia bukan perjalanan yang mudah baginya untuk meraih kepercayaan para pelanggannya.
Adalah menjadi keutamaan bagi Cik Faridah untuk mendapatkan kepercayaan mereka untuk menonton dan membeli produknya.
"Kita perlu mendapatkan kepercayaan mereka dahulu sebab kalau mereka tidak percaya, mereka tidak akan menonton anda," kongsi Cik Faridah.
Daripada hanya empat kakitangan, Cik Faridah kini mempunyai lapan kakitangan untuk menguruskan 'live' serta pesanan untuk dibungkus.
Setiap minggu, jumlah pesanan melalui jualan langsung sahaja mencecah sekitar 500 pesanan.
Lantaran itu, ia mendorong beliau menggandakan jumlah kakitangan untuk memastikan pesanan dapat diproses dan dihantar kepada pelanggan secepat mungkin.
LAKUKAN FACEBOOK LIVE DI LUAR NEGARA
Beliau juga mengambil peluang untuk memperluaskan perniagaannya dengan mengadakan siaran 'LIVE' ketika bercuti luar negara.
"Saya lihat peniaga Cina ada yang membuat 'live' di luar negara. Jadi dari situ, saya juga mencuba. Saya cuba di Jakarta dahulu dan maklum balasnya sangat bagus. Ramai yang membeli dan ramai yang suka," kongsi Cik Faridah.
"Saya pun pergi ke Bangkok, Vietnam, Dubai, dan Malaysia juga dan setiap kali kita pergi luar negara, saya rasa pelanggan sangat suka sebab mereka dapat melihat benda yang lain, yang tidak ada di Singapura," tambah beliau.
Ia merupakan strategi baginya untuk kekal relevan dan menawarkan sesuatu yang baharu buat para pelanggan.
Beliau juga memastikan produk yang ditawarkan itu mengikut citarasa dan permintaan pelanggannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.