Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Dua bapa bina perwatakan anak-anak menerusi sukan lasak

Encik Andrew Patterson, 48 tahun, sentiasa dahagakan sesuatu yang mencabar.

Anggaran Waktu Membaca:
BERITA+: Dua bapa bina perwatakan anak-anak menerusi  sukan lasak

Encik Muhammad Najib bersama isteri dan anak-anaknya. (Gambar: Rosli Razak/ BERITAmediacorp)

BERITAmediacorp: Encik Andrew Patterson, 48 tahun, sentiasa dahagakan sesuatu yang mencabar.

Beliau yang berasal dari Oregon, Amerika Syarikat, menggabungkan minatnya dalam kegiatan berlari, berenang, berbasikal dan pelbagai acara sukan lain yang menguji daya ketahanannya.

Andrew juga menyertai acara-acara perlumbaan di banyak negara seperti Ironman 70.3 Melbourne, Australia.

"Kadang kadang saya fikir tidak boleh tahan tetapi saya fikir kalau saya berjaya, ada kepuasan yang besar," kata Encik Andrew yang fasih berbahasa Melayu.

Apabila kedua-dua anaknya, Ezio dan Elka mula menunjukkan minat, Andrew tidak ragu-ragu untuk menyokongnya.

'Sebenarnya saya gembira tetapi saya tidak mahu beri terlalu banyak tekanan, nanti dia tidak mahu melakukannya. Saya cuba ajar dia, pupuk minat secara perlahan-lahan. Saya cakap kalau awak menang atau yang terakhir, tidak mengapa, " kongsi Andrew yang bertugas sebagai Pengarah Perniagaan di sebuah syarikat perkhidmatan digital.

andrew

Menurut Andrew, beliau tidak pernah menganggap usia mereka terlalu muda.

"Saya melakukannya kerana beliau suka apabila saya tamat perlumbaan, dan saya gembira. Saya juga gembira kerana di sekolah saya, tidak ada orang yang ayahnya membuat triathlon, cuma ayah saya, " kata Ezio.

Elka turut berasa seronok berlatih bersama bapanya.

"Seronok apabila beliau menunjukkan saya macam mana untuk berlumba dan saya boleh belajar, " kata Elka.

Ezio, 14 tahun, dan Elka, 12 tahun kini giat beraksi dalam pelbagai perlumbaan di dalam dan luar negara.

Isterinya Cik Nooridah Sukme berkata: "Beliau bukan 'papa' lagi tetapi jurulatih mereka. Tapi beliau juga cakap dengan budak-budak kalau tidak boleh buat tidak mengapa. Boleh cuba lagi."

Bagi Andrew, prestasi fizikal dan mental yang diperlukan dalam perlumbaan dapat memberi kesan positif kepada perkembangan perwatakan anak-anaknya.

"Latihan dan triatlon membina minda yang kuat. Ia membuatkan mereka sedar bahawa minda mengawal segala-galanya. Badan anda mahu menyerah kalah tetapi fikiran anda boleh terus melakukannya. Begitu juga di sekolah," jelas beliau.

Sokongan padu ibu dan bapanya yang sentiasa mencari peluang membolehkannya beraksi di arena sukan lasak turut menjadi pendorong kuat bagi Muhammad Akid, 14 tahun.

"Sewaktu di darjah tiga dia beritahu saya dia hendak sertai pasukan padang dan balapan sekolah, jadi saya latih dia. Selepas itu dia minta saya untuk bertanding di peringkat nasional jadi kami berlatih bersama-sama, " kata Encik Muhammad Najib Eusoff, 41 tahun.

najib

Kini, Akid, pelajar sekolah Anglo Chinese Independent, bukan sahaja mewakili sekolahnya dalam lumba lari 'Cross-country' tetapi sering mencabar potensi diri dalam pelbagai perlumbaan lasak yang lain seperti duathlon dan triathlon.

"Selalunya ayah saya akan nasihat saya jangan fikirkan yang saya ini tidak bagus dan saya harus bersungguh sungguh sampai akhir pertandingan itu," kata Muhammad Akid.

Kedua-dua adik kembarnya Muhammad Ariq dan Muhammad Arif yang berusia 8 tahun kini mengikuti jejaknya.

"Saya jadikan impian mereka jadi kenyataan. Saya tidak tekankan nombor satu. Tiada tekanan. Cuma setiap kali berlumba, harus berikan yang terbaik," ujar Encik Muhammad Najib.

Beliau dan isterinya Cik Latifah Abdul Aziz memastikan anak-anak mereka tidak terlepas mengikuti kelas latihan selain mengisi waktu santai anak dengan aktiviti luar.

"Saya selalu aturkan cara makan, cara rehat, pemulihan. Masanya cukup. Ada masa bermain, ada masa belajar dan ada masa untuk berlatih," kongsi beliau.

Menurut Cik Latifah, suaminya sering membuat kajian untuk menjadikan kelakonan anak-anak mereka lebih baik.

"Tetapi ada kalanya mereka bersikap acuh tak acuh sahaja. Walaupun beliau dalam keadaan marah, suami saya mahu anak-anak menghormati dirinya dan beliau ia juga menghormati mereka," kata beliau.

Kedua-dua Andrew dan Muhammad Najib peka dan sedar bahawa pembangunan dan kejayaan anak-anak mereka bukan sekadar kecemerlangan akademik.

Bagi mereka, "ayah" boleh menjadi pendukung kepada pembentukan anak yang mempunyai harga diri, berdisiplin, tekun serta mempunyai keazaman yang tinggi.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan