Skip to main content

Singapura

BERITA+ Demam Piala Dunia FIFA rancakkan minat kumpul jersi vintaj, kad bola

Anggaran Waktu Membaca:
BERITA+ Demam Piala Dunia FIFA rancakkan minat kumpul jersi vintaj, kad bola

Encik Aniq (kiri) minat mengumpul kad bola sepak dan Encik Ashraf (kanan) pula minat untuk mengumpul jersi bola sepak vintaj. (Gambar: Danish Aiman)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 28 Jun 2026 07:42PM Dikemas Kini : 28 Jun 2026 10:31PM
SINGAPURA: Sempena demam Piala Dunia FIFA yang berlangsung kini, terdapat pelbagai cara para peminat meluahkan cinta mereka terhadap sukan itu.

Ada juga, malah sanggup berbelanja ribuan dolar untuk memiliki koleksi seperti jersi bola atau kad bola.

Namun bagi individu ini, setiap barang yang dibelanjakan mempunyai nilai dan maknanya tersendiri.

LEBIH 200 JERSI VINTAJ DIKUMPUL
 
Related article image
Lebih 200 pasangan jersi dikumpul sejak 2015, terdiri dari pasukan dalam negeri dan antarabangsa. (Gambar: Danish Aiman)
Bagi Encik Mohamed Ashraf misalnya, minatnya untuk mengumpul jersi bola sepak bermula dengan membeli sehelai jersi pasukan Manchester United pada tahun 2015.

Kini beliau mempunyai lebih 200 pasang dalam koleksinya.

Encik Ashraf memilih untuk mengumpul jersi bola sepak yang lebih klasik dan vintaj yang terdiri daripada jersi pasukan dalam negeri dan antarabangsa.

"Semasa saya dalam perkhidmatan negara, jersi pertama yang saya beli ialah United 98/99 kerana jersi itu mempunyai banyak kenangan istimewa bagi saya dan ia mungkin salah satu jersi yang paling cantik. Kemudian, apabila saya sedang membesar, apabila saya mula bekerja, saya mula membeli jersi tetapi saya sentiasa mencari jersi yang lebih lama daripada jersi yang lebih baharu kerana jersi yang lebih lama mempunyai nilai sentimental dan ia lebih cantik daripada jersi yang ada sekarang dari segi rekaan," kata Encik Ashraf kepada wartawan Danish Aiman.

BELANJAKAN SEBANYAK S$20,000 SEJAK 2015

Harga jersi vintaj itu juga tidak murah.

Ia boleh mencecah ribuan dolar berbanding jersi baharu yang berharga dalam lingkungan $150.

Ini juga disebabkan reka bentuk, kualiti yang lebih bermutu dan nilai nostalgianya yang ada pada jersi vintaj itu.

"Kualiti jersi vintaj adalah lebih baik daripada jersi terkini kerana anda boleh mencuci di dalam mesin basuh tanpa rasa takut penaja di jersi akan terkopek atau namanya kerana dahulu mereka tidak menggunakan plastik untuk cetakan. Tetapi sekarang semuanya plastik dan ia direka untuk bertahan selama satu permainan bagi jersi pemain tetapi dahulu jersi digunakan selama satu musim. Pemain cuma boleh menggunakan beberapa set jersi jadi kualitinya dahulu lebih baik berbanding sekarang," jelas Encik Ashraf.
Related article image
Minat mengumpul jersi vintaj juga dikongsi bersama anak-anaknya. (Gambar: Danish Aiman)

Kini anaknya pula yang mempunyai minat yang sama sepertinya.

Menurut bapa kepada dua anak lelaki ini, beliau sokong dan berharap mereka dapat meneruskan legasinya ini.

"Kebanyakannya adalah untuk dia, adalah untuk mereka tetapi jika mereka mempunyai minat yang sama ia adalah baik. Saya boleh ajar mereka apa sahaja yang saya tahu dan seronok untuk melihat mereka meneruskan koleksi ini," kata Encik Ashraf.

DARI MINAT KINI STREAMER SEPENUH MASA

Related article image
Encik Aniq Ashraf mula mengumpul kad bola sepak pada 2023. (Gambar: Danish Aiman)
Jika Encik Ashraf minat mengumpul jersi bola sepak vintaj, Encik Aniq Ashraf pula minat untuk mengumpul kad bola sepak.

Minatnya terhadap mengumpul kad bola sepak itu bermula pada tahun 2023 apabila sedang menonton sebuah 'live' di Tiktok.

Kini beliau kembangkan lagi minatnya itu sehinggalah menjadi 'streamer' sepenuh masa untuk Artermis Break.

Dalam sesi penstriman langsung itu, dia akan membuat ulasan, bincang tentang kad bola sepak ataupun menjualnya kepada penonton.

"Saya rasa seronoknya kad bola sepak ini lebih kepada kelab yang mereka suka. Mereka suka pemain-pemain jadi bagi mereka kad ini seperti mendekati dengan pemain itu sendiri. Macam autograf semua adalah yang sahih daripada mereka sendiri jadi jika anda mendapat pemain kegemaran anda, ia membuatkan anda rasa lebih dekat dengan mereka, ada sebahagian daripada mereka," jelas Encik Aniq.
Related article image
Di Singapura adanya komuniti mengumpul kad bola sepak yang berkongsi minat yang sama. (Gambar: Danish Aiman)
Menurut Encik Aniq, komuniti peminat kad bola sepak di Singapura kini sudah mencecah sekitar 2,000 orang.

Ada juga yang cuba menjual semula kad-kad yang jarang ditemui sehingga puluhan ribu dolar.

Namun setiap kad yang dikumpul Encik Aniq itu cukup bermakna baginya dan kepuasan yang dinikmati pula tidak ternilai.

"Buat saya kad bola sepak paling berharga adalah permata tersembunyi Fernando Torres yang di gred 'PSA 10' kerana Fernando Torres adalah pemain bola sepak kegemaran saya semasa saya kecil lagi jadi sebab itu ini adalah salah satu yang berharga bagi saya. Itu adalah kegemaran saya dan mungkin paling mahal saya boleh katakan. Kira-kira hampir AS$800," kongsi beliau.

PIALA DUNIA TARIK LEBIH RAMAI KUMPUL KAD BOLA

Berbanding jenis koleksi kad lain, kad bola sepak itu lebih bersifat musiman.

Misalnya pada musim Piala Dunia FIFA ini Encik Aniq melihat lebih ramai yang terdorong untuk mula mengumpul kad bola sepak.

"Terutama sekali kalau ada musim piala dunia, lebih banyak produk yang dikeluarkan dari jenama Panini dan Topps dan lain. Terdapat lebih banyak minat yang berkembang daripada pihak Trading Card Game (TCG) macam Pokemon dan One Piece. Mereka tahu bahawa Piala Dunia akan datang jadi mereka menjadi minat dalam kad bola sepak jadi sudah pasti pendedahan untuk Piala Dunia adalah lebih besar,"jelas Encik Aniq kepada wartawan Danish Aiman.

Namun minatnya itu tidak disenangi ramai pada awalnya dengan ada yang juga memberi komen negatif terhadapnya.

"Ada banyak komen negatif tentang kad-kad bola ini, bukan untuk budak-budak ke? Tetapi itu apabila saya bermula tetapi sekarang ramai yang katakan yang kad-kad untuk budak kecil semua, mereka sendiri yang mengumpulnya," kata Encik Aniq sambil ketawa.

Tentunya ini bukan cara yang lazim dilakukan bagi mereka yang minat terhadap sukan bola sepak tetapi ternyata wujud komuniti yang menyokong hobi dua individu ini.

Meskipun minat mereka menelan belanja yang tinggi, hobi 'gila bola' itu boleh dianggap sebagai pelaburan yang memberikan kepuasan peribadi.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/DA/sf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita