Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Dari suri rumah dan peniaga HBB, kini Aneesa Mahamud kembangkan 'sayap antarabangsa'

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sebut sahaja tentang Perniagaan dari Rumah atau HBB, yang lazim timbul dalam fikiran kita adalah perniagaan makanan. Namun perniagaan HBB sebenarnya lebih luas dan pelbagai daripada itu.

Ini satu kisah kejayaan cukup luar biasa seorang peniaga HBB bernama Aneesa Mahamud, seorang suri rumah empat anak. Beliau juga tidak berpendidikan tinggi.

Cik Aneesa suatu contoh seorang peniaga HBB yang tidak menjual makanan, dan barangannya kemudian berjaya menyerantau ke persada antarabangsa.

Semuanya bermula pada 2015 bagi Cik Aneesa apabila beliau memberanikan diri untuk menghasilkan sendiri produk-produk berasaskan 'essential oil' atau minyak pati seperti minyak sapuan untuk mengurangkan batuk dan selesema. Produk-produk itu dijual di bawah jenama Kidz Paradize.

"Saya benar-benar meminati penggunaan minyak pati dan pada 2015, ia satu trend. Jadi saya cuba buat campuran sendiri. Memang, pada saat itu saya tidak yakin untuk jual produk sendiri sebab ada banyak jenama di luar sana tetapi saya bersedia mengambil risiko kerana saya mempunyai ramai pelanggan setia," cerita Cik Aneesa yang juga mengaku bahawa beliau awalnya berniaga dari rumah sebagai stokis sejak 2009.

Permintaan bagi produk-produk sapuannya itu dengan tidak disangka-sangkanya menjulang cukup tinggi.

Bayangkan, beliau berjaya menjual sekitar 100,000 produk dalam tempoh tiga tahun pertama perniagaannya! Beliau kini malah mempunyai sebuah kilang sendiri di luar negara.

APA RAHSIA CIK ANEESA SEHINGGA PERNIAGAANNYA BEGITU MAJU?

Pasti ada yang tertanya-tanya, apa taktik Cik Aneesa sehingga produk-produknya begitu laris? Sedangkan, produk-produknya dihasilkan dari rumah.

Menjawab pertanyaan BERITAmediacorp, Cik Aneesa berkata, beliau sekadar rajin membaca dan menjalankan kajian demi memastikan produknya berkesan. Itu sahaja.

"Saya suka membaca dan buat kajian, lungsuri Pinterest dan sebagainya. Di Pinterest, ada ramai kaum ibu yang juga pernah buat campuran sendiri dan mereka berkongsi apa yang berkesan atau tidak," kongsinya.

Lulusan sekolah menengah berusia 42 tahun itu juga rajin bertanya-tanya di media sosial.

Produk-produk yang dihasilkan Cik Aneesa. (Gambar: @withlovebyumairah/Instagram)

"Saya buat kawan dengan ibu-ibu dari Amerika. Mereka belajar dari kursus-kursus aromaterapi. Jadi saya minta nasihat mereka seperti seberapa banyak minyak pati yang perlu saya tuang ke dalam campuran saya," tambah beliau.

Dari segi pemasaran pula, Cik Aneesa berkata beliau tidak pernah mendapatkan khidmat 'influencer', tetapi ramai yang secara sukarela suka berkongsi tentang produknya di media sosial.

Perniagaan Cik Aneesa terus berkembang sehinggalah beliau akhirnya mempunyai lebih 20 produk sendiri dan memutuskan untuk memindahkan operasinya ke sebuah kilang di luar negara pada Mac 2020.

'KILANG' DI LUAR NEGARA HASILKAN 1,000 PRODUK SETIAP 2 HARI

Awalnya Cik Aneesa mula menggunakan mesin di rumah pada pertengahan 2019. Ini setelah beliau berdepan kesukaran untuk menambah kembali stok bagi memenuhi permintaan pelanggan.

"Dengan mesin, hanya perlu susun botol dan pelekat semua ditampal secara automatik. Saya juga mempunyai mesin yang memudahkan proses memasukkan campuran ke dalam botol. Jadi tugas saya hanya untuk menghasilkan adunan bagi produk-produk saya," cerita Cik Aneesa.

Dek permintaan yang terus meningkat, beliau menempah satu lagi mesin dari luar negara. Malangnya, proses penghantaran mesin itu terhambat disebabkan gangguan COVID-19 yang melanda pada awal 2020. Dari situlah, beliau memutuskan untuk memindahkan operasinya ke luar negara.

(Gambar: @kidzparadize/Instagram)

"Jadi rakan saya berjaya menemukan sebuah 'clean room' di China. Kemudahan seperti itu memastikan sekitaran penghasilan produk bebas kuman dan debu. Saya fikir faktor-faktor seperti ini memang tidak boleh dikawal kalau saya buat di rumah," tambah beliau.

Pada Mac 2020, kemudahan itu akhirnya siap beroperasi selepas Cik Aneesa melabur sekitar S$2,000. Kos itu belum termasuk 10 mesin yang dibeli pada harga sekitar S$5,000 setiap satu, serta gaji pekerja di China. Beliau menggajikan 10 kakitangan kesemuanya di sana.

"Biasanya dalam masa satu hari, saya hasilkan sekitar 200 botol sehari tetapi kini, dengan mesin dan sebagainya, 1,000 produk boleh dihasilkan dalam tempoh dua hari," ujar beliau.

Semua penghasilan Kidz Paradize kini dijalankan sepenuhnya di China sementara minyak pati yang digunakan pula dihasilkan di Australia. 

MENGUPAYA 30 PENIAGA LAIN JANA PENDAPATAN

Setelah mengupaya dirinya menerusi HBB, kini Cik Aneesa mengupaya pula 24 HBB lain di merata Singapura. Mereka ini menjual semula produk-produk Kidz Paradize untuk menjana pendapatan. Cik Aneesa juga mempunyai 6 stokis. 

Bilangan HBB dan stokis ini sahaja sudah cukup untuk menggambarkan seberapa besar permintaan bagi produk yang Cik Aneesa hasilkan sendiri.

"Saya lakukan ini untuk anak-anak saya. Bila saya mula-mula baru berniaga, saya dapat S$300 sebulan dan saya gembira kerana ia dapat digunakan untuk bayar yuran tuisyen anak saya.

Anak-anak Cik Aneesa. (Gambar: Aneesa Mahamud/Facebook)

"Jadi sekarang melalui perniagaan saya, saya pula dapat membantu ibu-ibu lain yang menjadi stokis saya. Mereka jana pendapatan dengan menjual produk saya. Bila saya menyaksikan perkara ini, saya memberitahu diri saya bahawa saya ingin terus kembangkan lagi perniagaan dan membantu lebih ramai ibu di luar sana," luah Cik Aneesa.

Orang ramai kini juga boleh membeli produk-produk beliau di mesin layan diri Kidz Paradize di Bugis Junction dan White Sands. Pada peringkat antarabangsa pula, Cik Aneesa sudah mempunyai pembeli dari sejauh Australia, Timur Tengah, Filipina dan Malaysia.

"Matlamat saya sekarang adalah untuk menjadikan Kidz Paradize sebuah jenama antarabangsa. Ia akan dapat membuat saya berasa bangga kerana sebagai seorang suri rumah, saya dapat mencapai sesuatu seperti ini," kata Cik Aneesa yang berazam untuk terus mempertingkat dirinya dan baru tahun lalu lulus Diploma Lanjut dalam bidang pengurusan runcit. Diploma itu beliau berjaya genggam pada usia 41 tahun! 

Yang pasti, sokongan keluarga, rakan-rakan dan para pelanggan tempatan menjadi tunggak kejayaan suri rumah ini.

"Setiap insan mempunyai bakat tersendiri. Jadi kita cuma perlu duduk dan berfikir apa yang kita mampu lakukan. Manfaatkan keupayaan itu kalau ingin berniaga. Kita tak perlu harus menjadi seseorang yang bijak. Ia mengambil masa 10 tahun untuk saya menyedari apakah kebolehan saya," nasihat Cik Aneesa.



"Anda perlu kerja keras dan ada kesungguhan untuk ambil risiko. Tanpa itu, saya tidak rasa Kidz Paradize akan sampai ke tahap ini."

Cik Aneesa dan Kidz Paradize jelas merupakan satu bukti kukuh bahawa perniagaan HBB juga mampu menyerantau - jika ada kemahuan, kesungguhan usaha dan wawasan.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan