Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Cikgu Abdolah Lamat mahu popularkan kembali lagu kanak-kanak, semai cinta terhadap bahasa Melayu

Sepanjang empat dekad, Cikgu Abdolah Lamat telah menghasilkan pelbagai jenis karya yang sarat dengan unsur kebudayaan dan cinta kepada negara.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sepanjang empat dekad, Cikgu Abdolah Lamat telah menghasilkan pelbagai jenis karya yang sarat dengan unsur kebudayaan dan cinta kepada negara.

Sebagai seorang pendidik, beliau sentiasa prihatin terhadap pemahaman bahasa Melayu, terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Sebagai anak didik kepada penggubah lagu tersohor, Allahyarham Zubir Said, Cikgu Abdolah tidak pernah melupakan pesanan gurunya itu setiap kali mencipta lagu.

"Pak Zubir adalah guru muzik saya masa zaman-zaman 70an dan 80an lagi sehinggalah saya dapat sesuatu daripada pendidikan beliau tentang muzik. Saya dapat mengambil peperiksaan untuk teori muzik sehingga gred 5. Dari situ saya dapat bahan-bahan ataupun tip-tip yang terbaik daripada Pak Zubir tentang bagaimana mencipta lagu kanak-kanak. Melalui Pak Zubir, saya juga dapat tahu tentang bagaimanakah kalau kita hendak buat lagu-lagu yang bercorak kenegaraan," kata Cikgu Abdolah kepada wartawan Syawal Yusoff.



HASILKAN BUKU KANAK-KANAK BERKAT ILMU DARI KOMPOSER TERSOHOR NEGARA, ALLAHYARHAM ZUBIR SAID

Antara gubahan Cikgu Abdolah yang menjadi siulan ramai ialah lagu tema Bulan Bahasa 'Bahasa Menjunjung Budaya' yang ditulis bersama Allahyarham Cikgu Muhammad Ariff Ahmad pada 1988.

Selain itu, beliau juga pernah menulis untuk buku-buku teks sekolah.

Impiannya untuk menghasilkan buku kanak-kanaknya sendiri menjadi kenyataan apabila beliau menerbitkan buku pertamanya pada 2019.

Berjudul 'Nyanyi dan Baca bersama Datuk dan Nenek', ia menggabungkan lagu-lagu serta cerita yang bertemakan budaya Melayu, kehidupan bermasyarakat dan nilai hormat-menghormati.

"Datuk dan nenek ini adalah duta bahasa. Merekalah yang akan menjaga Bahasa Melayu supaya tidak dilupakan. Saya gunakan ini supaya datuk dan nenek kita mainkan peranan juga dalam pendidikan," jelas Cikgu Abdolah, 77 tahun.

Melalui buku itu, datuk empat orang cucu itu mengajak kanak-kanak di peringkat sekolah rendah untuk belajar bahasa Melayu dengan cara yang menyeronokkan menerusi 10 buah lagu yang ditulisnya sendiri.



"Lagu kanak-kanak harus 'simple' ataupun mudah diingat, perkataan jangan terlalu susah dan kalau boleh cari perkataan-perkataan yang cepat diingat.

"Dalam pengalaman saya mengajar berpuluh-puluh tahun ini, apabila saya menggunakan lagu, kanak-kanak lebih ingat lagu dulu," ujarnya yang mula mengajar sejak 1965.

KARYANYA DAPAT SAMBUTAN BERBILANG KAUM; HASILKAN BUKU KEDUA PADA 2023

Baru-baru ini, buku dan lagu-lagu ciptaannya telah dirasmikan dalam acara Pesta Buku Melayu Singapura di Wisma Geylang Serai.

Beliau kini mengajar di Sekolah Rendah West Spring dan sering gunakan buku itu sebagai rujukan untuk murid-murid dalam kelas Bahasa Melayunya.

"Saya jadikan ia sebagai satu bahan bacaan tambahan untuk anak-anak, pelajar-pelajar yang susah hendak membaca dan menarik mereka supaya minat untuk membaca. Jadi, melalui lagu datang minat itu sebagai satu umpan.

"Jadi dengan sendirinya bila mereka itu ulang-ulang nyanyi, lagu itu sudah jadi macam sebati dengan dia dan dekat dengan mulut bibir," tambahnya.



Buku tersebut juga telah menarik minat ramai untuk mengadaptasi kandungannya ke dalam pelbagai bentuk.

Hasil kerjasama dengan Politeknik Republic, ia dianimasikan untuk memberikan pengalaman yang lebih interaktif kepada kanak-kanak.

Menariknya, semua pelajar yang terlibat dalam projek tahun akhir itu adalah bukan Melayu, daripada jurusan Diploma Penerbitan dan Rekaan Media.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Sambutan yang positif mendorong Cikgu Abdolah menerbitkan buku keduanya, 'Anak Emas', tahun lalu, yang mengetengahkan peribahasa Melayu.

Dalam wawancara bersama BERITA Mediacorp, Cikgu Abdolah juga sempat berkongsi bagaimana lagu-lagu dalam buku tersebut cukup pelbagai dan boleh disesuaikan mengikut rentak berbeza seperti dikir barat, syair, puisi dan sajak.

"Peribahasa berirama ini yang sebenarnya saya ambil bahan-bahannya daripada sukatan pelajaran untuk pelajar darjah 3 dan 4. Kalau kita mengajar peribahasa sekadar contoh ‘anak emas’, maknanya anak orang yang sangat disayangi, itu sahaja, pelajaran itu 'dry'," ujarnya.

USAHA UNTUK DWIBAHASAKAN KARYA

Cikgu Abdolah berharap karyanya dapat menjangkau lebih ramai golongan termasuk mereka yang bukan Melayu, agar keindahan bahasa dan budaya Melayu dapat dinikmati oleh semua.

"Kalau boleh saya pun berura-ura untuk ia dijadikan dwibahasa. Jadi maknanya ada bahasa Inggerisnya juga kerana dalam bahan-bahan saya ini saya lebih kepada berbilang bangsa. Dijadikan bahan untuk pelajar-pelajar atau orang-orang bangsa asing yang hendak belajar bahasa lebih mudah lagi, melalui lagu, bukan saja budak-budak, bermakna orang dewasa pun boleh juga," kata Cikgu Abdolah.

(Gambar: Cikgu Abdolah Lamat)

Sebagai penghargaan kepada guru muziknya, Cikgu Abdolah kini sedang menulis sebuah buku yang mengimbau kenangan manis serta mengumpulkan tip-tip berharga daripada Allahyarham Zubir Said.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan