BERITA+: Chingay edisi SG60 lebih gah dengan kereta berhias terbanyak, persembahan menarik

Antara 23 kereta berhias pemecah rekod dapat penonton saksikan dalam Chingay 2025 pada 7 dan 8 Februari di F1 Pit Building. Foto: Mediacorp
SINGAPURA: Persembahan lebih gah dijanjikan bagi Chingay tahun ini dengan satu usaha memecahkan rekod paparan kereta berhias terbanyak iaitu 23 kereta berhias.
Chingay edisi SG60 akan dijayakan pada 7 dan 8 Februari 2025 dengan tema 'Joy'.
Lebih bermakna lagi, Chingay juga akan dicalonkan sebagai Warisan Budaya Tidak Ternilai UNESCO pada Mac ini.
BERITA+ mengintai di sebalik tabir dan persiapan bagi perarakan terbesar di sini iaitu Chingay!
PAPAR REKOD BAHARU 23 KERETA BERHIAS
Daripada sebuah perarakan meraikan Tahun Baharu Cina yang diadakan pertama kali pada 1973, ia berubah menjadi perayaan berbilang budaya!
Bagi menjayakan pada skala itu, persiapannya memakan masa sekurang-kurangnya enam bulan oleh para seniman seperti Salihin 'Fish' Jaafar.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Fish Jaafar merupakan seorang seniman mural.
Setelah lapan tahun terlibat dalam menghasilkan kereta-kereta berhias Chingay, tahun ini beliau menghasilkan yang terbesar di peringkat daerah, sepanjang 12 meter.
"Ramai orang yang terlibat, logistik besar diperlukan untuk mempamerkan pada satu hujung minggu utama sahaja. Dahulu saya perlu hasilkan semuanya sendiri. Sekarang kami dapat melibatkan masyarakat juga, sejak 2021. Tahun ini temanya Tidbit Galaxy dan Kopisaurus Ride. Jadi saya ajar mereka melukis snek-snek dan ukiran stirofoam. Semua snek ini kita makan sewaktu kita membesar, yang mungkin anak-anak zaman ini tidak dapat menikmati sekarang," dedah Fish Jaafar kepada wartawan Roslinda Rahmat.
Usahanya selaras dengan komitmen Chingay 2025 untuk melibatkan masyarakat dan mendorong penyertaan untuk mencipta bersama perarakan rakyat ini.
Tiga tahun sejak pertama kali diperkenalkan, kereta-kereta berhias ciptaan bersama masyarakat pada tahun ini dihasilkan dengan kerjasama PAssionArts.
Hampir 3,400 penduduk dari estet kejiranan, pertubuhan akar umbi dan rakan masyarakat berhasil mencipta 14 Kereta Berhias peringkat daerah.

"Berbeza daripada membuat karya biasa seperti lukisan dan mural-mural saya, menghasilkan sebuah kereta berhias untuk Chingay amat menarik kerana melibatkan banyak elemen seperti pengetahuan kejuruteraan, kerja kayu, fabrikasi, kerja struktur dan perancangan. Setiap tahun terdapat tema yang berbeza untuk ditampilkan - jadi saya rasa menyegarkan untuk mencuba medium seni baharu. Contohnya, tahun lepas saya bekerja dengan bongkah-bongkah Lego dan tahun sebelumnya, seramik. Tahun ini, saya bekerja dengan stirofoam biru," kongsi Fish lagi.
Sejumlah rekod 23 kereta berhias akan dibawa berarak dalam Chingay tahun ini yang bertemakan 'Joy'.
Yang membawa keceriaan buat warga Singapura adalah makanannya dan Fish Jaafar cuba menggali ilham daripada pengalamannya sendiri.
"Tema yang saya dapat untuk masyarakat adalah ‘Kopitiam’. Ia istimewa kepada saya kerana ibu bapa saya mengusahakan kedai kopi. Kita tahu Milo Dinosaur itu sebagai minuman yang dihidangkan dalam gelas tinggi. Jadi saya bayangkan kereta berhias bernama Kopisaurus Ride itu berbentuk kereta Jeep seperti dalam filem Jurassic Park, manakala pemandunya adalah beberapa ekor dinosaur yang sedang menghantar minuman," tambah Fish.

CHINGAY DICALONKAN SEBAGAI WARISAN BUDAYA TIDAK TERNILAI UNESCO
Lebih bermakna bagi mereka, Singapura dan Malaysia akan menyerahkan pencalonan untuk Chingay diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ternilai UNESCO pada Mac 2025.
Ini kerana pelbagai kaum dan masyarakat berganding bahu untuk menjayakan Chingay termasuk Kontinjen Melayu dari Persatuan Rakyat yang juga ghairah untuk berkongsi dan menonjolkan budaya serta warisan masing-masing.

"Saya ingat, ia bermula daripada tahun 1973 dan dipelopori oleh arwah Jamil Sulong. Perubahannya ketara sangat dalam segi kostumnya, rekaannya, koreografinya. Ada bangsa-bangsa asing yang terlibat, sebenarnya. Kontinjen Melayu ini - kita sudah menang banyak anugerah sebenarnya. Jadi saya fikir ramai orang luar negeri yang agak hendak tahu. Kita ada peserta Cina dari China, kita ada Cina Singapura, kita pun ada orang India. Jadi pelbagai budaya. Amat unik dan mereka tidak pandai berbahasa kita tetapi mereka cuba amalkan kesenian Melayu kita," ujar Ketua Kontinjen MESRA, Sabaria Umar.
SHAZZA PENYANYI BERSAMA LAGU TEMA CHINGAY 2025
Seorang lagi yang tidak sabar untuk beraksi nanti ialah penyanyi muda yang meningkat naik namanya, Shazza.
Beliau diberi kepercayaan menyanyikan lagu tema Chingay 2025, berjudul 'Joy'.
Menggabungkan muzik pop, jazz dan rap untuk mencipta bunyi dinamik yang memberi kesan kepada audiens, ia menceritakan bagaimana untuk menimbulkan keceriaan dalam masa-masa sukar, lantas mengingatkan bahawa kita lebih kuat apabila bersatu.

"Setiap kali saya menyanyikan lagu ini, perasaan saya terutamanya memanglah kemeriahan sebab saya rasa lirik, irama, melodi untuk lagu ini semua menjelmakan perasaan kegembiraan. Amat susah untuk mengelakkan daripada ikut menyanyi sama. Ini kali pertama saya terlibat dalam Chingay dan sebagai seorang artis yang menghargai bagaimana saya dapat mewakili lebih daripada satu masyarakat dan budaya di Singapura, ini merupakan sesuatu peluang yang amat istimewa. Saya tidak akan dapat melupakan pertama kali saya naik ke atas pentas dan dapat melihat semua hiasan, semua kereta berhias yang disediakan dan semua orang yang datang," luah Shazza.
Sesuai dengan tema, penampilannya juga lebih ceria dengan warna-warna terang.
"Selain daripada itu, pakaian saya akan menarik perhatian juga, sebab warnanya amat terang dan meriah. Mengikut tema makanan yang penonton akan lihat sepanjang perarakan tahun ini, pakaian saya akan berwarna merah jambu dan kuning, seperti air lemonad raspberi. Raspberi itu memang satu minuman yang saya rasa amat segar," tambah Shazza.
Beliau merupakan antara 4,000 peserta yang bakal menjayakan Chingay tahun ini.
Sempena sambutan SG60 juga, persembahan-persembahan lain termasuk Tarian Naga, Tarian Singa dan aksi akrobatik di atas galah dan pejalan berkaki kayu akan dipentaskan.
Juga dipaparkan PAssionArts Street di lokasi perarakan, yang mempamerkan seni pemasangan yang direka bersama oleh penduduk dan seniman-seniman masyarakat seperti Fish Jaafar.
Chingay juga akan dibawa menjelajah ke lapan estet kejiranan untuk lebih dekat lagi dengan para penduduk menerusi inisiatif Chingay@Heartlands sehingga 2 Mac ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.