Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+ CHILDAID: Kanak-kanak tonjol bakat dalam muzikal amal, sasar kumpul S$2 juta

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Meraikan kepelbagaian cabaran dan keupayaan serta memperkasa kanak-kanak untuk menyumbang bakat bagi membantu rakan sebaya yang kurang bernasib baik.

85 kanak-kanak dari pelbagai latar belakang dan kebolehan berlatih hampir setiap hari untuk menjayakan muzikal amal ChildAid tahun ini.

Usaha itu bertujuan mengumpul lebih S$2 juta untuk memberikan wang saku ke sekolah dan latihan seni kepada kanak-kanak yang memerlukan.

MEMPERKASA 85 KANAK-KANAK UNTUK BERBAKTI MELALUI BAKAT SENI

Nur Anisah Daaniys Muhd Sufian, 12 tahun, adalah antara kanak-kanak kurang upaya yang menyerlah bakat luar biasa mereka.

Dilahirkan tanpa penglihatan, Anisah memiliki suara yang merdu.
Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp
"Melalui muzikal ini, saya harap nyanyian saya dapat memberikan inspirasi dan semangat kepada orang lain, terutamanya mereka yang sedang menghadapi kesukaran," katanya.

Husna, seorang kanak-kanak dengan autisme, juga tidak kurang berbakat.

"Berlakon dan menyanyi membantu saya; ia seperti melarikan diri seketika dari realiti," katanya.

Meskipun berhadapan dengan pelbagai kekurangan dan cabaran, kanak-kanak ini menyedari bahawa mereka dianugerahkan bakat luar biasa dalam seni persembahan.

Bakat mereka bukan sekadar untuk menghibur, tetapi juga menjadi sumber inspirasi, berpotensi mengubah kehidupan kanak-kanak lain yang menghadapi rintangan, termasuk kemiskinan.

Bagi Amni Musfirah Abdul Rashid, yang pernah mengasah bakatnya melalui konsert ChildAid 16 tahun lalu, ini adalah peluang berharga untuk membimbing dan mengembangkan bakat generasi baharu dalam persembahan terkini.

"Pada tahun 2008, Amni menyertai ChildAid dan banyak belajar daripada Allahyarham Encik Iskandar Ismail, yang ketika itu merupakan pengarah kreatif dan muzik untuk ChildAid. Jadi apabila diundang kembali untuk mengambil peranan tersebut, Amni rasa seperti satu kitaran lengkap. Allahyarham banyak mengajar dan membantu Amni," katanya.
 
Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp
"Kita harus sedar bahawa seni, sama ada tarian, nyanyian, atau lakonan, mempunyai kuasa tersendiri. Bakat yang kita miliki perlu dikongsi dengan orang lain," tambah Amni, kini Pengarah Muzik dan Pengarah Kreatif ChildAid 2024.

20 TAHUN MENGASAH BAKAT SENIMAN CILIK

Amni turut menyumbangkan lagu ciptaan asli khas sempena ulang tahun ke-20 ChildAid.

Konsert amal tahun ini akan menampilkan semangat dan bakat 85 kanak-kanak menerusi muzikal bertajuk 'The Dream Emporium.'

Krish Natarajan adalah penulis dan pengarah persembahan ChildAid 2024.

Menurutnya, "Saya pastikan apa yang penonton saksikan adalah sesuatu yang magis. Pertunjukan ini berkisar tentang Felix, seorang watak yang memulakan hari pertamanya di Dream Emporium, sebuah kilang ajaib di langit di mana semua impian menjadi kenyataan. Kisah ini mengajar tentang memperjuangkan apa yang anda percayai. Pengalaman bekerja dengan kanak-kanak ini benar-benar luar biasa. Mereka sangat berbakat, dan saya yakin pertunjukan ini memaparkan sebahagian daripada bakat masa depan."
Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp
SETELAH MENERIMA, MENYUMBANG-SEMULA PULA

Bakat-bakat muda yang ditampilkan dalam ChildAid turut merangkumi penerima bantuan.

"Selepas menerima bantuan School Pocket Money Fund, saya dapat membantu rakan-rakan yang memerlukan melalui tarian dan nyanyian saya dalam muzikal ChildAid," kata Qistina Zainal Abidin, 12 tahun.

Bertubuh kecil, Qistina membawakan watak seorang pekerja emporium yang menghadapi konflik keluarga akibat pergaduhan ibu bapanya.

Dalam persembahan itu, Qistina menampilkan tarian campuran lagu etnik Melayu nyanyian Noraniza Idris bersama sebuah lagu India, mencerminkan perpaduan budaya.

Bagi sebahagian bakat cilik ini, pengalaman tersebut bukan sahaja menjadi terapi tetapi juga membina daya tahan diri mereka.

Husna Humaira Muhammad Hairie, 15 tahun, yang memainkan watak Mrs Wishy Washy, pemilik The Dream Emporium yang baik hati, berkongsi pengalamannya:

"Ini kali ketiga saya menyertai ChildAid. Saya dapat ramai kawan di sini, jadi saya sangat seronok dan selalu tidak sabar untuk hadir ke sesi latihan. Sebenarnya, berlakon dan menyanyi membantu saya mengekspresikan diri kerana dalam kehidupan biasa, saya sukar untuk bercakap dengan orang lain."

Pengarah Persembahan, Krish Natarajan menambah: "Kami mempunyai kanak-kanak dengan ADHD, autisme, dan masalah penglihatan. Saya rasa yang paling penting adalah memahami jangka perhatian mereka, cabaran yang mereka hadapi, dan jika kita dapat menyesuaikan keperluan mereka serta mendekati situasi itu dengan empati. Itulah yang paling utama."

Dengan kehadiran artis berbudi seperti Krish dan Amni, kesinambungan bakat kreatif yang berhati emas dapat terus dipelihara.

Nur Anisah Daaniys Muhammad Sufian, 12 tahun, berkongsi, "Ilmu yang saya pelajari dari Amni Musfirah adalah disiplin dan dedikasi dalam seni. Ya, saya bercita-cita untuk menjadi seperti Amni.

Selepas persembahan ini, rancangan saya adalah untuk mengembangkan bakat vokal saya dan meneroka lebih banyak genre muzik, termasuk teater."

Iva Haney Hamizun Shah, 14 tahun, yang memainkan watak Dream Girl atau Gadis Impian, turut berkongsi inspirasi.

"Saya belajar dari Amni Musfirah bahawa kita harus percaya pada diri sendiri dan sentiasa bersikap profesional. Cita-cita saya adalah menjadi seorang penghibur yang berbakti kepada masyarakat dan negara."

Dalam persembahan itu, Iva menyanyikan lagu Empire State of Mind sambil rancak menari.

MENGGILAP BAKAT SENI MELALUI USAHA AMAL

Muzikal ini menarik lebih 300 permohonan, dengan lebih 100 disenarai pendek untuk uji bakat.
Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp
Tahun ini, 85 peserta terpilih termasuk koir dari Sekolah Anglo-Chinese dan penari hip-hop dari O School.

Konsert ChildAid, sepanjang 90 minit, turut menampilkan elemen kecerdasan buatan (AI) dan akan berlangsung di Teater Esplanade pada 29 dan 30 November.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan