Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Cheongsam dengan sentuhan klasik dan moden

Anggaran Waktu Membaca:
BERITA+: Cheongsam dengan sentuhan klasik dan moden

Pengasas PaoPao Label, Cik Run Run Teng (kiri) dan anak pemilik Toko Aljunied, Cik Zahra Aljunied (kanan). (Gambar-gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

SINGAPURA: Bagi masyarakat Cina, mengenakan pakaian baharu dan yang berwarna terang semasa Tahun Baharu Cina melambangkan permulaan yang baharu dan dikatakan membawa tuah.

Walau bagaimanapun, tidak ramai wanita memakai pakaian tradisional seperti cheongsam.

Dalam BERITA+ kali ini, wartawan Nazirah Jamzuri melihat usaha untuk memberi sentuhan moden kepada pakaian tersebut.

CHEONGSAM DIBERIKAN NAFAS BAHARU UNTUK GAYA HIDUP MODEN

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Cheongsam pernah menjadi pakaian pilihan ramai wanita Cina di China, Hong Kong dan Singapura antara lewat 1920-an hingga 1960-an.

Namun, trend tersebut pudar kerana gaya potongannya yang ketat dan kurang praktikal untuk kehidupan seharian.

Label pakaian Cik Run Run Teng, pengasas PaoPao Label, yang dilancarkan kira-kira empat tahun lalu, direka untuk gaya hidup moden.

CHEONGSAM DENGAN ESTETIK MODEN

Gambar: Run Run Teng

Rupa bentuk cheongsam tradisional rekaannya diberi sentuhan baharu dengan estetik moden agar 'chic' dan 'edgy'.

"Kepakaran kami adalah fesyen 'oriental' moden. Oleh itu, kami mengambil pengaruh dari Korea, Jepun dan juga Cina untuk digabungkan ke dalam rekaan kami. Kami gabungkan struktur maskulin ini dengan ciri-ciri feminin cheongsam untuk memberikan sentuhan moden itu," kongsi Cik Teng kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

Menurut Cik Teng, inspirasi untuk memulakan PaoPao Label bermula pada 2013 apabila beliau melihat seorang pemilik Galeri yang menggayakan sepasang Cheongsam sutera dengan kombinasi warna yang menawan.

"Saya terpegun melihat bagaimana cheongsam boleh digayakan sebegitu. Saya mendapat ilham untuk mencari cheongsam untuk dipakai semasa Tahun Baharu Cina tetapi saya gagal mencari sesuatu yang moden," kata Cik Teng yang meninggalkan kerjaya pengiklanan pada 2019, untuk menceburi bidang fesyen.

Koleksi cheongsam rekaannya masih mengekalkan ciri-ciri klasik.

Ia termasuk kolar mandarin, butang jade dan dres mengikut ukuran badan dengan belah tepi.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

"Cheongsam tradisional biasanya dihasilkan menggunakan brokat dan sutra dan mengikut ukuran badan. Jadi untuk PaoPao, apa yang kita sudah lakukan ialah meneroka fabrik-fabrik berlainan seperti 'tencel' dan 'rayon' dan juga pada siluet yang berbeza.

"Jadi ia masih mengikut ukuran badan tetapi elemen yang menarik pada bahagian bahu dan ia lebih longgar dengan skirt peplum," jelas Cik Teng.

SESUAI DIPAKAI PADA BILA-BILA MASA

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Dalam pada itu, Cik Teng sentiasa menerapkan elemen-elemen baharu agar koleksi pakaiannya boleh dipakai pada bila-bila masa.

"Kita sebenarnya ada memikirkan tentang pemakaiannya di luar Tahun Baharu Cina. Bagaimana kita galakkan orang untuk memakainya secara kerap? Jadi antara rekaan (saya) adalah bahu yang lebih berstruktur dengan sebenarnya mantel yang boleh ditanggalkan dan boleh gayakan di acara-acara biasa.

"Saya sentiasa meneroka elemen-elemen baharu seperti logam dan aksen kulit untuk koleksi baharu saya kerana saya ingin gabungkan semua elemen-elemen mengejutkan. Ini untuk memperkasa wanita untuk bergaya setiap hari. Bagaimana ia menepati gaya hidup mereka pada hari ini dan boleh dipakai untuk bekerja dan juga ketika pergi bercuti," tambah Cik Teng.

Hanya satu koleksi dilancarkan untuk setiap musim perayaan dan dalam jumlah yang terhad.

CHEONGSAM WARNA MONOKROMATIK

Gambar: Run Run Teng

Cik Teng sering ditanya tentang cheongsam dalam warna monokromatik (hitam dan putih) dalam koleksinya.

Warna-warna itu dianggap sebagai warna yang tidak membawa tuah.

"Soalan-soalan yang saya kadangkala terima ialah tentang pemilihan warna koleksi baharu saya iaitu monokromatik hitam dan putih. Tetapi itu merupakan satu percubaan untuk saya menjadikan cheongsam itu lebih senang digayakan untuk acara-acara biasa juga," ujar Cik Teng.

Dengan lebih banyak jenama-jenama yang mengeluarkan versi-versi cheongsam yang lebih moden dan santai, beliau menyaksikan permintaan positif dalam kalangan generasi muda.

CHEONGSAM BERCORAK BATIK DAPAT PERMINTAAN

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Tidak kurang popular adalah Cheongsam dengan corak batik.

Toko Aljunied memenuhi tempahan bagi Cheongsam batik sejak tahun 1980-an lagi.

"Kita bermula dengan mengambil upah membuat sulam di Cheongsam untuk pelanggan-pelanggan dari masyarakat Cina kami. Bermula dari tahun 1980-an. Masa itu di cawangan kami yang di Lucky Plaza. Kemudian kami juga masa itu ada menjual pakaian-pakaian busana lain daripada kain batik," kongsi Cik Zahra Aljunied, anak pemilik Toko Aljunied kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

"Pelanggan kami meminta untuk kami menjahit cheongsam untuk mereka dari kain batik, jadi dari situlah bermulanya kami membuat cheongsam daripada batik. Kebanyakan pelanggan meminta kami menjahit cheongsam yang tradisional dengan butang-butang Cina dan juga mempunyai hiasan ‘kun’ daripada kain sutera," tambahnya.

LEBIH 30 HELAI CHEONGSAM BATIK DALAM KOLEKSI

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Kebangkitan minat dalam pakaian cheongsam terus mendorong permintaan daripada pelanggan seperti Cik Annie Lee, 69 tahun.

Beliau mempunyai lebih 30 pasang cheongsam batik dalam koleksinya.

"Saya mengumpul (Cheongsam) sejak sewaktu muda. Minat saya adalah pada batik jadi saya berfikir kenapa tidak saya membuat batik saya menjadi Cheongsam dan lihat penampilan saya. Saya sangat menyukainya," kongsi Cik Lee.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Menurutnya, selain rekaan yang cantik dan selesa, cheongsam sesuai dipakai untuk pelbagai acara.

"Cheongsam selesa untuk dipakai buat apa-apa acara termasuk acara teh petang, makan malam. Dan saya rasa ia kelihatan cantik sebab kainnya batik. Ibu saya juga suka memakai dan menjahit batik untuk kita. Jadi seluruh keluarga saya juga suka dengan kain batik dan saya rasa ini kerana kami mendapat inspirasi daripada ibu saya," ujar Cik Lee.

Beliau berharap lebih ramai generasi muda akan terbuka untuk mengenakan dan menggayakan cheongsam.

TOKO ALJUNIED TERIMA PELANGGAN BUKAN CINA JUGA YANG INGIN GAYAKAN BUSANA CHEONGSAM

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Menurut Cik Zahra, beberapa jenis kain batik digunakan untuk menghasilkan Cheongsam di Toko Aljunied.

"Untuk membuat cheongsam, kami menggunakan batik sarung, batik lepas, ataupun kain batik dengan corak yang berela-ela yang dijual di sini. Kalau batik sarung, ia berukuran dua ela dan ia mempunyai kepala, selalunya dengan corak yang gelap dan terang," kongsi Cik Zahra.

"Satu lagi adalah batik lepas. Batik lepas berukuran dua setengah ela jadi batik lepas mempunyai corak yang serata. Ia tidak ada mempunyai kepala seperti batik sarung," tambahnya.

Selain pelanggan Cina, Toko Aljunied turut menerima tempahan dari pelanggan dari kaum lain yang ingin mengenakan busana ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan