Skip to main content

Singapura

BERITA+: Cara kreatif untuk rakam detik raya, video raya keluarga raih 33,000 tontonan

Anggaran Waktu Membaca:
BERITA+: Cara kreatif untuk rakam detik raya, video raya keluarga raih 33,000 tontonan

Video raya keluarga ini raih 33,000 tontonan.

SINGAPURA: Pada Hari Raya ini, ramai yang berkongsi gambar kenangan meluangkan masa bersama keluarga dan rakan taulan.

Namun dalam era media sosial ini, timbul pula pelbagai trend baharu cara untuk rakamkan detik-detik indah bersama keluarga tersayang.

VIDEO RAYA KELUARGA RAIH 33,000 TONTONAN DAN PUJIAN RAMAI

Sudah menjadi tradisi sejak 2014 bagi Muhammad Syafi'ie Jupri dengan sepupu-sepupunya untuk menghasilkan video Hari Raya bagi mengabadikan pengalaman menyambut lebaran bersama keluarga besar mereka.

Sebagai "album kenangan", mereka juga memuatnaikkan video-video itu ke platform media sosial.
Ada video mereka yang berjaya meraih lebih 33,000 tontonan dan mendapat pujian ramai.

Idea itu tercetus apabila mereka sendiri melihat trend di media sosial.

"Tujuannya hanya untuk berseronok. Untuk mencari sesuatu untuk dilakukan semasa Hari Raya. Ia adalah video yang kami cipta untuk melihat bagaimana kami membesar sebagai individu dan juga untuk melihat bagaimana kanak-kanak membesar sepanjang tahun dan kemudian satu hari nanti jika mereka cukup dewasa dan kami mahu mencipta idea mereka dan menurunkan tradisi ini kepada generasi seterusnya," kata Encik Syafi'ie kepada BERITAmediacorp.

Setiap tahun, mereka menjana idea baharu untuk hasilkan sesuatu yang berlainan - daripada muzik video, drama raya hinggalah ke video parodi.

Ada video-video itu dirakam dan dihasilkan sewaktu mereka sekeluarga berjalan raya.

Mereka sekeluarga tercuit hari setiap kali menonton kembali video-video yang dihasilkan.

Encik Syafi'ie akur bukan mudah untuk mengekalkan tradisi itu.

"Walaupun ada tahun yang kita rasa malas hendak menghasilkan video ini tetapi akan ada satu orang daripada keluarga kami yang beri motivasi untuk melakukannya dan kerana itu kami semua sokong untuk menjadikan ideanya menjadi kenyataan. Daripada tidak hendak buat, kami sudah berbual, sudah bincang apa video kami mahu lakukan tahun ini kemudian kami melaksanakannya," kongsi Encik Syafi'ie.

Secara tidak langsung, usaha menghasilkan video-video ini merapatkan lagi hubungan keluarga terutama sekali Encik Syafi'ie dengan sepupu-sepupunya yang jarang bertemu.
(Petikan gambar: YouTube/Demolishdecember)
"Menghasilkan video hanyalah usaha sampingan yang kami lakukan tetapi perkara utama adalah untuk bersama satu sama lain, bercakap antara satu sama lain kerana sesetengah daripada kami hanya berjumpa setahun sekali semasa Hari Raya. Oleh itu menghasilkan video ini setiap tahun kami cenderung untuk menjadi lebih rapat kerana kami seronok melakukannya," jelas Encik Syafi'ie.

Era media sosial ini juga membawa satu lagi trend untuk abadikan kenangan menyambut lebaran.

DAPATKAN KHIDMAT JURUGAMBAR PROFESIONAL BAGI SESI PENGGAMBARAN KELUARGA

Keluarga Encik Ridzuan Razali pula sanggup dapatkan khidmat jurugambar profesional untuk merakamkan gambar kenangan di Hari Raya untuk dikongsi di media sosial.

Mereka mula mendapatkan khidmat jurugambar profesional sejak tahun lalu dan mahu menjadikannya tradisi keluarga pada setiap Hari Raya.
"Sejujurnya memang setiap tahun memang kita rancang, ada niat memang hendak ambil gambar terutama sekali untuk Hari Raya, gambar sekeluarga. Memang kalau kami lihat media sosial kami pun teringin. Jadi memang ada inspirasi dari situ. Anak-anak saya pun teringin hendak ambil gambar yang dengan menggunakan jurugambar profesional," kata Encik Ridzuan.

Trend ini juga membuatkan jurugambar profesional seperti Cik Insyeera Mohd Khalid tak menang tangan menjelangnya Hari Raya.

Untuk dua hujung minggu terakhir Ramadan misalnya, Cik Insyeera menerima hingga 10 tempahan.

Secara keseluruhan, jumlah tempahan yang diterima Cik Insyeera tahun ini naik seganda berbanding tahun lalu.

"Saya rasa pada Covid itu (ramai) orang mahu mengambil gambar lebih dan mereka mahu merakam lebih banyak kenangan selepas pandemik. Saya rasa kerana dahulu orang pergi ke studio untuk mengambil gambar jadi sekarang ada jurugambar seperti saya membuat perkhidmatan datang ke rumah. Dari itu saya rasa keluarga pun lebih rasa senang kerana mereka tidak perlu keluar. Jadi mereka boleh duduk di rumah dan boleh dapat gambar mereka di rumah," jelas Cik Insyeera.
(Gambar: Instagram/Indyviduals.co)
Encik Ridzuan juga merasakan khidmat sebegitu lebih berbaloi berbanding pergi ke studio dan harganya juga berpatutan.

Beliau hanya perlu membelanjakan sekitar S$150 bagi khidmat profesional itu.

"Pada saya hasil gambar itu betul-betul berbaloi daripada kami pergi ke studio. Ramai yang komen 'studio mana ini?' dan sebagainya padahal kita ambil di rumah sendiri tetapi memandangkan mutunya begitu baik jadi orang pun ingatkan kami ambil di studio. Jadi ramai orang yang komen dan tanya," kongsi Encik Ridzuan.

Meskipun cara mengabadikan kenangan Aidilfitri kini sudah berbeza dengan peredaran masa, usaha merakamkan detik-detik indah menyambut Lebaran dengan apa pun jua cara sekalipun, mencerminkan semangat kekeluargaan yang masih ada lebih-lebih lagi pada musim perayaan sebegini.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita