Skip to main content

Singapura

BERITA+: Calisthenics bagus untuk kuatkan otot; risiko cedera lebih tinggi bagi versi gaya bebas

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 03 Mar 2024 09:06PM Dikemas Kini : 04 Mar 2024 09:17AM
SINGAPURA: Aksi-aksi seperti melompat melepasi palang, memusing badan atau menghayunkan tubuh pada palang lintang.

Setiap pergerakan seakan-akan melawan graviti.

Itulah yang biasanya dilakukan para penggiat 'Freestyle Street Workout' atau senaman jalanan bebas yang semakin popular dalam kalangan golongan muda.

Wartawan Nulhelmy Hakim bertemu dengan beberapa penggiat sukan yang banyak memanfaatkan pergerakan tubuh sendiri itu.

Antaranya, Dylan Lieo Eng Kai, 23 tahun.

"Saya bermula tanpa boleh membuat sebarang jenis gaya. Saya waktu itu hanya dapat membuat 'Pull up' sahaja, tetapi itu kemahiran sebegitu juga penting untuk melakukan gaya bebas," kata Dylan kepada Nurhelmy Hakim.

"Apabila orang fikir tentang Calisthenics, mereka fikir tentang 'Muscle Up' atau 'handstand', tetapi ini gaya bebas. Ia jarang dilakukan di Singapura kerana tekniknya lebih sukar. Calisthenics gaya bebas ini seperti larian pecut, satu kegiatan yang memerlukan banyak letusan tenaga," tambah pekerja industri farmaseutikal itu.

Dylan melakukan Calisthenics jenis dinamik itu sejak lima tahun lalu dan berlatih empat kali seminggu untuk memperbaiki pergerakannya dalam usaha mendapatkan teknik yang betul.

Gaya bebas bukan sahaja mencabar dari segi fizikal tetapi juga menguji daya minda dan kreativiti para penggiat sukan itu.

Dylan berkata: "Kegiatan ini memerlukan kreativit. Apabila kita mempelajari pergerakan asas, dan cuba untuk mencantumkan dua pergerakan. Kita boleh mencantumkan putaran atau lambungan untuk membuat satu pergerakan yang baharu, atau sesuatu yang kita tidak pernah lihat."

Beliau berkata beliau sering merujuk dan mempelajari kemahiran atau pergerakan baharu daripada video-video di media sosial yang dimuat naik atlit-atlit luar negara.
Related article image
Menurut Dylan, kegiatan 'Freestyle Street Workout' lebih popular dan dipraktikkan secara serius di luar negara manakala para penggiat di Singapura menganggapnya sebagai hobi.

Mentelah lagi, selain di gimnasium, tiada tempat khusus untuk para penggiat Calisthenics gaya bebas untuk berlatih.

Menurut Dylan, beliau dan rakan-rakannya berlatih di sudut-sudut kecergasan awam.

Mereka harus lebih berhati-hati apabila melakukan aksi nekad mereka.

"Ada yang berkata bahawa sukan ini sangat berbahaya dan merosakkan harta benda awam. Misalnya saya, saya agak berat jadi apabila saya membuat aksi seperti membuat putaran, ia boleh melonggarkan palang lintang. Satu lagi keprihatinan adalah kehadiran ramai kanak-kanak yang bermain di situ. Kita perlu elak daripada melanggar mereka," kata Dylan.

Beliau mengakui risiko mengalami kecederaan juga tinggi sekiranya aksi lebih rumit tidak dilakukan dengan betul.

"Apabila kita membuat satu pergerakan itu berulang kali, ia akan memenatkan otot-otot kita. Kalau kita tidak mempunyai daya tahan badan yang mencukupi, kita mungkin boleh terjatuh. Kalau kita tidak membuat pemanasan badan yang mencukupi, kita juga boleh cedera," ujar Dylan.

Menurut Dylan, beliau pernah gagal menangkap palang lintang.

Akibatnya, bahunya cedera dan mengambil sekitar dua bulan untuk sembuh.

Namun, beliau tidak patah semangat dan mahu terus melakukan kegiatan itu.

"Saya ingin cuba untuk melakukan pergerakan 'Planche' di palang lintang untuk sekurang-kurangnya 20 saat. Kalau saya dapat lakukannya, baharu saya rasa saya akan berhenti melakukan sukan ini," ujar Dylan.

PERMINTAAN TINGGI BAGI KELAS-KELAS DI AKADEMI CALISTHENICS SINGAPURA


Presiden Akademi Calisthenics Singapura Encik Muhammad Firdaus Fidrishah merupakan salah seorang perintis Calisthenics gaya bebas sejak 2012.

Namun, akademi itu tidak lagi menjalankan kelas-kelas bimbingan Freestyle.

Sebaliknya Calisthenics jenis statik seperti melakukan 'Muscle Up', iaitu sejenis senaman yang semakin popular sejak pandemik COVID-19 menjadi tumpuan.
Related article image
Encik Firdaus berkata: "Calisthenics, satunya, boleh dilakukan di mana-mana sahaja. Kedua, risiko kecederaan kurang berbanding senaman-senaman lain seperti angkat berat."

Akademi Encik Firdaus kini menjalankan 60 seminggu, berbanding 30 sekitar lima tahun lalu.

Jumlah peserta juga meningkat daripada 300 kepada sekitar 500 sekarang.

Sebahagian besar klien akademi yang terletak di kawasan pusat bandar (CBD) itu adalah golongan karyawan seperti doktor, peguam dan golongan pekerja dalam bidang teknologi.

Ia menjadi tarikan kerana ia membina kekuatan otot utama atau core muscle dan juga yang kurang mereka gunakan.

"Kita sudah menambah lebih kepada kelas-kelas asas, ramai orang yang ghairah, masih baharu lagi dalam sukan ini. Misalnya, 'Push Up' biasa dan 'Push Up' yang kami terapkan di mana bukan sahaja kita turun dan naik, tetapi kita akan tahan nafas, tahan di posisi pertengahan, menukar gerakan tangan. Kalau 'Pull Up', kita akan mengajar tentang cara memegang palang lintang, bukan sahaja naik turun. Kita juga akan ajar tentang tempo," jelas Encik Firdaus.

Bilangan penggiat Calisthenics semakin berkembang.

Ia sudahpun ditawarkan sebagai salah satu kegiatan ko-kurikular (CCA) di institut pengajian tinggi seperti Politeknik Republik (RP) dan Universiti Nasional Singapura (NUS).

Kumpulan di NUS misalnya mempunyai sekitar 60 penggiat berbanding hanya tiga orang sewaktu pandemik COVID-19,

Bahkan, menurut satu tinjauan SportSG, Calisthenics juga semakin popular dalam kalangan warga emas, dan menjadi senaman kedua paling kerap dilakukan selain berjalan atau berjalan pantas.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita