BERITA+: 'Bukhoor' dan 'oud' kian mendapat perhatian, SG jadi antara hab kayu gaharu dunia
Tidak ramai yang menyedari bahawa kayu itu sebenarnya ialah kayu gaharu, atau juga dikenali sebagai 'Oud', iaitu sejenis kayu bernilai tinggi yang menjadi buruan pencinta haruman di seluruh dunia.
Keistimewaan dan aromanya yang unik menjadikan kayu gaharu amat berharga, malah nilainya dikatakan mampu mengatasi harga emas.
Keunikan kayu berharga ini antara faktor yang mendorong Mohamed Fareeq Abdul Samad untuk mendalami tentangnya dan membuka sebuah kedai menjual kayu berharga itu untuk berkongsi kecintaannya terhadap kayu gaharu kepada umum.
NILAI STOK KAYU GAHARU DI KILANG CECAH $40 JUTA
Sejak itu juga, Encik Fareeq mendapati industri kayu gaharu merupakan sebuah industri yang "sangat besar nilainya".
"Pasaran minyak gaharu dan kayu gaharu ini sebenarnya sangat besar. Kalau bercakap secara terus terang tentang industri di Singapura, stok yang disimpan di kilang-kilang sahaja boleh mencecah nilai puluhan juta dolar — ada yang bernilai S$20 juta, S$30 juta, malah S$40 juta. Nilai industri ini memang sangat besar," kata Encik Fareeq.
"Aset dalam industri kayu gaharu juga unik. Ia bukan macam barang biasa yang boleh dibawa ke pajak gadai untuk dicagarkan. Kadang-kadang nilai hasil kayu gaharu itu sendiri lebih mahal daripada emas. Memang ada orang yang menyimpan kayu gaharu yang nilainya melebihi emas. Sebab itu industri ini mempunyai nilai yang sangat besar, terlalu besar sebenarnya," tambahnya lagi.
Setiap urusan jual beli kayu gaharu dengan pembekal boleh melibatkan bayaran antara S$10,000 hingga S$40,000.
"Pada asasnya, pokok gaharu ini mengambil masa yang lama untuk membesar. Walaupun ditanam dalam jumlah yang banyak, tidak semestinya setiap pokok akan menghasilkan oud. Oud sebenarnya ialah resin yang terbentuk di bahagian dalam pokok tersebut," kata Encik Fareeq.
"Dalam keadaan semula jadi, pokok gaharu biasanya akan mengalami jangkitan apabila terkena luka — contohnya apabila dilanggar binatang atau terkena ribut petir. Apabila pokok itu terluka, ia mempunyai mekanisme pertahanan diri dan akan mula menghasilkan resin di bahagian dalamnya. Resin inilah yang dipanggil oud," tambahnya lagi.
Menurutnya lagi, bukan semua pokok gaharu akan menghasilkan oud. Ada pokok yang sudah berusia sehingga 30 tahun sekalipun, apabila ditebang, tetap tidak mempunyai oud di dalamnya.
Semuanya bergantung kepada keadaan dan tindak balas semula jadi pokok tersebut. Disebabkan itu, oud mempunyai nilai yang tinggi kerana setiap pokok memberikan hasil yang berbeza.
SINGAPURA ANTARA HAB KAYU GAHARU ANTARABANGSA
Pokok kayu gaharu banyak ditanam di rantau Asia Tenggara dan India. Malah Indonesia dan Vietnam merupakan antara pengeluar kayu gaharu yang terbesar di dunia.
"Anda bercakap tentang negara seperti Kemboja, Laos, Vietnam, Thailand, Malaysia dan Indonesia. Di sinilah banyak oud dan banyak ladang oud boleh ditemui," jelas pemilik Royal Fragrances, Shaik Abdullah.
Menurutnya Encik Fareeq pula, antara jenis kayu gaharu yang paling mendapat permintaan dan dianggap terbaik ialah gaharu dari Kemboja yang berkualiti tinggi.
Walaupun tidak menghasilkan kayu gaharu sendiri, Singapura sebagai hab perdagangan di rantau ini kekal menjadi tumpuan bagi pencinta kayu gaharu.
Menurut laporan PR Newswire pada 2015, Singapura merupakan antara pusat import dan eksport terbesar Asia dengan perdagangan dianggarkan bernilai AS$1.2 bilion setahun.
"Singapura masih merupakan salah satu hab utama untuk pembelian oud, khususnya bagi kayu gaharu asli. Sebab itu juga, oud yang dijual di sini banyak dipasarkan kepada pelancong Arab yang datang ke Singapura," kata Encik Abdullah.
Ada juga ke sini untuk mendapatkan bekalan secara borong sebelum dibawa pulang ke negara masing-masing.
"Apabila mereka datang ke sini, mereka memang tahu bahawa Singapura ialah salah satu pusat utama perdagangan oud. Disebabkan itu, mereka sering datang mencari oud di sini, dan di situlah peranan kami untuk memenuhi permintaan mereka," tambahnya lagi.
Selain dari Timur Tengah, mereka juga ada pelanggan yang datang dari sejauh Jepun dan Eropah.
"Singapura masih lagi menjadi salah satu hab utama untuk perdagangan kayu gaharu. Jika kita pergi ke kawasan Kaki Bukit hari ini, masih terdapat syarikat-syarikat besar yang menjalankan perniagaan borong kayu gaharu di gudang-gudang sekitar kawasan tersebut," kata Encik Fareeq.
"Kebanyakan pembeli datang dari Timur Tengah. Mereka datang ke Singapura untuk membeli dalam kuantiti besar secara borong. Sekali pembelian boleh mencecah dari setengah juta hingga S$2 juta untuk membeli stok kayu gaharu yang kemudian dibawa pulang untuk dijual semula," tambahnya lagi.
Antara jenama besar dari Timur Tengah yang mendapatkan bekalan kayu gaharu dari Singapura termasuk Haramain dan Ajmal.
Menurut Encik Fareeq lagi, sebelum pandemik COVID-19, pasaran kayu gaharu berkembang dengan sangat pesat.
"Permintaan ketika itu sangat tinggi. Selepas COVID-19, pasaran menjadi sedikit perlahan dan tidak lagi serancak seperti dahulu," kata beliau.
"Namun industri ini masih tetap berjalan. Sehingga hari ini, masih ada penjual-penjual besar di Kaki Bukit yang menjalankan urusan borong kayu gaharu," katanya lagi.
CHINA SEMAKIN BERI SAINGAN KEPADA KAYU GAHARU ASIA TENGGARA
Walaupun kayu gaharu sering dikaitkan dengan budaya Timur Tengah, hakikatnya sumber utama kayu tersebut datang dari rantau Asia.
"Satu lagi sumber yang agak unik dan semakin dikenali ialah China, yang menghasilkan oud berkualiti tinggi. Kayu gaharu dari Filipina pula agak jarang ditemui dan tidak begitu banyak di pasaran," kata Encik Fareeq.
GAHARU DAN BUKHOOR, SAMA ATAU BERBEZA?
Menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha ini, permintaan bagi kayu gaharu dan 'bukhoor' meningkat sehingga 100 peratus dengan ramai yang mahu mewangikan rumah bagi menerima tamu undangan.
Namun, di sebalik populariti kayu gaharu, masih ramai yang keliru antara gaharu dan 'bukhoor'.
Encik Fareeq menjelaskan bahawa kayu gaharu dan bukhoor merupakan dua produk yang berbeza.
Bukhoor pula merupakan alternatif yang lebih murah kerana ia biasanya dihasilkan daripada kayu gaharu gred rendah atau sisa kayu selepas proses penyulingan minyak gaharu dilakukan.
Bahan-bahan ini kemudian diproses semula dan diperap dengan wangian untuk dijadikan bukhoor, menjadikan kos penghasilannya lebih rendah berbanding kayu gaharu mentah berkualiti tinggi.
Perubahan gaya hidup dan pengaruh media sosial pula menyebabkan bukhoor semakin mendapat tempat dalam kalangan generasi muda.
"Semakin ramai golongan muda mula meminatinya, terutamanya disebabkan pengaruh media sosial. Selain itu, semakin ramai juga yang menunaikan umrah dan haji. Apabila mereka berkunjung ke negara-negara Arab, mereka melihat budaya penggunaan 'bukhoor' dan ingin membawa serta mengamalkan budaya tersebut di rantau kita juga," kata Encik Abdullah.
"Sebab itu kini penggunaan bukhoor semakin berkembang. Jika dahulu orang lebih mengenali bukhoor dalam bentuk cip kayu sahaja, sekarang terdapat pelbagai jenis seperti bentuk syiling, lidi panjang dan pendek. Cara penggunaannya juga semakin pelbagai. Secara tradisional, bukhoor dibakar menggunakan arang, namun kini terdapat juga bukhoor dalam bentuk stik dan kon yang lebih mudah digunakan," tambahnya lagi.
Dengan pelbagai kegunaannya bagi wangian dan produk kesejahteraan, pasaran kayu gaharu berpotensi berkembang.
Menurut para juruanalisis daripada Precedence Reseach, pasaran kayu gaharu dijangka berkembang seganda kepada AS$90.56 bilion dalam masa sedekad berbanding AS$44.29 bilion tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.