BERITA+: Bukan sekadar menjadi pencari nafkah keluarga, tetapi ayah yang sentiasa ada
Encik Muhammad Nurfahmy bersama anaknya, Muhammad Nurfattah (kiri), dan Encik Faris Khan bersama dua anaknya, Fareeha Khan dan Saahil Khan (kanan). (Gambar: Fatyn Abdul Samad)
This audio is generated by an AI tool.
SINGAPURA: Bagi kebanyakan bapa, kejayaan sering diukur melalui kemampuan menyediakan kehidupan yang selesa buat keluarga.
Namun bagi Encik Muhammad Nurfahmy Fareed dan Encik Faris Khan, erti kejayaan berubah apabila mereka berdepan cabaran yang tidak pernah dijangka.
BERKONGSI PERJUANGAN NURFATTAH DENGAN MASYARAKAT
Sebelum bergelar bapa, Encik Muhammad Nurfahmy Fareed pernah menggalas sehingga lapan pekerjaan dalam satu-satu masa, termasuk sebagai jurulatih kecergasan dan jurulatih silat.
Namun apabila isterinya hamil anak pertama mereka, beliau membuat keputusan untuk beralih ke sektor kewangan yang menawarkan waktu kerja lebih fleksibel serta peluang bekerja dari rumah.
Ketika itu, beliau tidak menyangka keputusan tersebut bakal menjadi begitu penting.
Semasa kandungan isterinya memasuki sekitar empat hingga lima bulan, pasangan itu menerima satu berita yang mengubah perjalanan hidup mereka.
Lebih menyukarkan keadaan, doktor ketika itu turut memaklumkan bahawa bayi tersebut mungkin tidak dapat bertahan sehingga cukup tempoh kehamilan.
"Pada masa itu, mereka menyarankan supaya kami menggugurkan kandungan tersebut. Sudah tentu kami berasa serba salah. Pada masa yang sama, doktor juga memberitahu bahawa Fattah mungkin tidak dapat bertahan sehingga cukup tempoh kehamilan. Jadi sepanjang tempoh itu, banyak perasaan yang kami lalui. Kami risau, takut dan tidak pasti apa yang bakal berlaku, tetapi kami memilih untuk terus berharap." kongsi Encik Fahmy.
Selepas sembilan bulan yang penuh ketidaktentuan, anaknya, Muhammad Nurfattah akhirnya dilahirkan.
Tahun pertama kehidupan Fattah dipenuhi dengan sesi terapi dan rawatan hospital.
Sebagai ketua keluarga, Encik Fahmy cuba memikul segala-galanya sendiri.
"Pada tahun pertama Fattah, saya cuba sedaya upaya untuk menanggung semuanya sendiri. Apa sahaja yang diperlukan, saya akan usahakan. Banyak perkara yang perlu kami lalui ketika itu, terutama sesi terapi dan rawatan hospital yang berterusan." kongsi Encik Fahmy.
Di media sosial, ramai mengenali Fattah menerusi akaun "Raising Fattah".
Apa yang bermula sebagai ruang untuk menyimpan kenangan buat anaknya kini berkembang menjadi sebuah komuniti yang mengikuti perkembangan Fattah dari semasa ke semasa.
Hari ini, akaun tersebut mempunyai lebih 40 ribu pengikut di Instagram dan 30 ribu lagi di TikTok, dengan salah satu videonya meraih lebih 2.5 juta tontonan.
Namun bagi Encik Fahmy, tujuan asal platform itu tidak pernah berubah.
Beliau mahu merakamkan perjalanan hidup anaknya agar dia dapat melihat sendiri sejauh mana dia telah melangkah.
"Pertama sekali saya mulakan Raising Fattah sebagai dokumentasi untuk Fattah. Saya juga mulakannya sebagai satu penghargaan kepada komuniti yang banyak membantu kami. Ia menjadi platform untuk saya berkongsi perkembangan Fattah dan apa yang kami lalui sebagai sebuah keluarga." kongsi Encik Fahmy.
Hari ini, Fattah yang berusia empat tahun masih menjalani terapi sekali seminggu dan mengikuti pembelajaran di rumah.
Encik Fahmy pula sentiasa berusaha untuk menghadiri sesi terapinya.
Menurut beliau, anaknya merupakan seorang kanak-kanak yang sangat ceria dan tidak mudah mengalah.
"Saya rasa Fattah seorang yang sangat ceria dan positif. Untuk aktiviti harian yang mungkin mudah bagi kanak-kanak lain tetapi sukar bagi Fattah, dia sentiasa mencari caranya sendiri untuk melakukan perkara itu dengan gembira dan positif. Itu kekuatannya. Keceriaan dia mudah menjangkiti orang di sekeliling. Saya sendiri rasa gembira setiap kali bersama dia."
Bagi Encik Faris Khan pula, ujian yang dihadapinya datang dalam bentuk yang berlainan.
Selepas lebih dua dekad bekerja dalam bidang kejuruteraan dan pengurusan projek, beliau kehilangan pekerjaan pada Julai tahun lalu.
Sebagai bapa kepada tiga anak, perkara pertama yang bermain di fikirannya ialah masa depan keluarga.
"Apabila saya mendapat tahu saya diberhentikan kerja, saya berasa sangat susah hati kerana memikirkan bagaimana saya hendak menanggung keluarga, membayar bil dan menyediakan keperluan harian. Setiap hari saya menghantar resume kepada pelbagai syarikat dan organisasi dengan harapan ada yang akan menghubungi saya." kongsi Encik Faris.
Dengan sokongan isteri, anak-anak dan bapa mentuanya, beliau membuka BRAD, sebuah kafe konsep bawa pulang yang menjual biskut dan gelato buatan sendiri.
Namun untuk merealisasikan impian itu, keluarganya terpaksa membuat pengorbanan besar.
Encik Faris berkata: "Kami berasa sedih dan susah hati kerana saya baru sahaja tinggal di rumah itu selama tiga tahun. Pada mulanya saya juga risau kerana takut tidak berjaya dalam perniagaan ini dan bimbang keluarga kami akan menghadapi kesusahan sekali lagi."
Walaupun sukar, beliau percaya keputusan itu perlu dibuat.
"Kalau saya tidak mengambil langkah ini, saya tidak akan tahu sama ada saya boleh berjaya ataupun tidak," ujar beliau.
Apabila Encik Faris mebuat keputusan untuk melaburkan simpanan keluarga untuk memulakan perniagaan baharu, anak-anaknya mengakui mereka turut berasa bimbang.
Namun mereka memilih untuk berdiri di belakang ayah mereka.
Bagi anak perempuannya, Fareeha, keputusan tersebut bukan sesuatu yang mudah, tetapi dia percaya ayahnya mempunyai sebab tersendiri untuk mengambil langkah berani itu.
Malah, dia melihat sendiri kesungguhan yang ditunjukkan bapanya sepanjang tempoh sukar selepas kehilangan pekerjaan.
Hari ini, Fareeha menjadi antara individu yang banyak meluangkan masa di kafe tersebut.
"Saya buka kedai dengan bapa saya dan saya juga tutup kedai bersama beliau. Jadi kami banyak meluangkan masa bersama. Saya dapat berjumpa dengan bapa saya setiap hari. Kami menjadi semakin rapat dan banyak kenangan indah yang tercipta di kedai ini." kongsi Fareeha.
Anak bongsunya, Saahil Khan, 16 tahun, pula berkata BRAD memberi peluang kepada mereka untuk bekerjasama sebagai sebuah keluarga.
"Kami selalu meluangkan masa bersama. Apabila bapa saya berada di kedai atau pulang dari kerja, kami akan berbincang tentang cabaran yang dihadapi serta perkara yang boleh diperbaiki untuk memajukan perniagaan ini."
Bagi Faris, sokongan anak-anak menjadi sumber kekuatan terbesar ketika beliau berdepan ketidaktentuan selepas diberhentikan kerja.
Beliau tidak pernah menyangka bahawa perniagaan yang bermula daripada minat terhadap pembuatan roti dan pencuci mulut akhirnya akan mengeratkan hubungan keluarganya.
"Anak-anak saya bukan jenis yang lepas tangan. Mereka bertungkus-lumus membantu saya dan memastikan saya tidak keseorangan dalam menjayakan BRAD. Mereka juga mahu melihat kafe ini berjaya."
Kafe BRAD yang dibuka pada Februari lalu semakin mendapat sambutan, dibantu oleh lokasinya yang berhampiran gelanggang badminton Fernvale.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.