BERITA+: "Buka tutup, buka tutup" - reaksi netizen, pelitup tidak lagi diwajibkan di luar
Heboh di media sosial minggu ini, pastinya perubahan besar kepada sekatan COVID-19 di Singapura.
SINGAPURA: Heboh di media sosial minggu ini, pastinya perubahan besar kepada sekatan COVID-19 di Singapura.
Ternyata, perubahan itu mengundang pelbagai reaksi netizen, termasuk dari segi kewajiban memakai pelitup.
Buka tutup, buka tutup.
Gurauan yang dikongsi luas di media sosial menggambarkan senario yang mungkin dihadapi penduduk Singapura apabila peraturan bagi pemakaian pelitup dilonggarkan Selasa ini (29 Mac).
Meski menyambut baik perkembangan itu, warga net nampaknya rata-rata masih bersikap berhati-hati.
"Sebaik-baiknya pakai pelitup terus untuk keselamatan diri sendiri"
"Mencegah itu lebih baik daripada mengubati," tulis salah seorang pengguna Facebook.
Tinjauan ringkas ke atas pengikut BERITA di Instagram malah menunjukkan hampir 75 peratus akan terus memakai pelitup di luar meski diberi kelonggaran.
Namun berita yang lebih dinanti-nantikan tentunya pembukaan sempadan darat antara Singapura dan Johor.
Ramai netizen mengucapkan rasa syukur, dengan ada yang mengingatkan agar keutamaan diberi kepada warga Malaysia yang sudah sekian lama terpisah daripada keluarga mereka.
Menteri Kesihatan Malaysia Khairy Jamaluddin menyambut baik perkembangan itu. Dalam satu rakaman video TikTok bersama rakan sejawatannya dari Singapura Encik Ong Ye Kung, yang sedang melawat negara itu, Encik Khairy mengajak rakyat kedua-dua negara untuk sekali lagi menikmati makanan satu sama lain.
"Dan kita boleh selesaikan perdebatan - makanan mana lebih sedap? Singapura atau Malaysia?" seloroh Encik Khairy.
"Kita adalah zon epidemiologi yang sama. Juga zon penjaja yang sama, jawab Encik Ong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.