BERITA+: Bina rangkaian kenalan & keyakinan berinteraksi menerusi permainan fizikal
BERITAmediacorp: Selepas sehari bersekolah, kedai permainan 'Toys Terminal' di Northpoint City menjadi persinggahan Izzul Haziq Murad, 25 tahun, untuk melapangkan fikiran.
Hampir dua kali seminggu, mahasiswa tahun ketiga jurusan Pengajian Sains Politik di Universiti Nasional Singapura (NUS) itu beradu kemahirannya menerusi permainan kad popular, 'Pokémon'.
"Dulu saya selalu menonton 'Pokémon' di televisyen. Jadi 'Pokémon' ada banyak jenis permainan. Ada permainan video dan permainan kad. Jadi saya pilih untuk bermain permainan kad. Apabila kita bermain permainan, kita tidak risau sangat tentang perkara lain," kata Haziq yang mula bermain permainan kad itu sejak lapan bulan lalu.

Bagi Haziq, permainan yang berusia hampir 20 tahun itu bukan sekadar satu permainan tapi satu peluang melebarkan rangkaian kenalan dengan minat yang serupa.
Antaranya ialah Mohd Taufiq Mohd Alwi, 26 tahun, yang sudah bergiat dalam dunia permainan kad lebih 12 tahun.
Di samping mencabar ketangkasan mindanya, permainan sebegitu dipilih Taufiq kerana ada elemen interaksi yang nyata, tidak seperti permainan komputer ataupun online.

"Permainan kad ini selalu menggunakan akal. Perlu fikirkan macam mana hendak menang. Seperti bermain permainan catur. Saya dapat membuat lebih ramai kawan, dapat berkawan orang bukan Melayu, orang Cina. Dapat berjumpa dan berkawan dengan orang-orang dari luar negara," kata Taufiq yang bertugas sebagai barista.
SEKITARAN KONDUSIF UNTUK PARA PEMAIN BERINTERAKSI
Sejak dibuka dua tahun lalu, 'Toys Terminal' sibuk dikunjungi sekitar 20 pemain tetap yang bermain secara percuma setiap hari.
Mereka terdiri daripada golongan pelajar hinggalah profesional berusia antara 6 hingga 50 tahun.

Selain menjual beraneka jenis kad permainan termasuk 'Digimon', 'One Piece' dan 'Dragonball' ia turut menjual kad-kad koleksi terhad untuk dikumpul yang boleh mencecah ribuan dolar setiap satu.
Di samping itu, ia juga menyediakan sekitaran yang kondusif bagi para pemain dengan menyediakan kerusi meja dan kemudahan lain.
Mereka juga boleh bermain di situ secara percuma, tanpa ada had masa.

(Gambar: Syawal Yusoff)
Menurut pengasasnya Encik Mike Queck, minat terhadap permainan kad juga semakin popular di kalangan pemain masyarakat Melayu.
"Bagi setiap 10 pemain, semestinya ada seorang pemain Melayu. Kami ingin orang ramai untuk berasa seronok di sini. Rasa lebih selesa dan bergaul dengan kumpulan yang baik-baik. Bermain kad Pokémon sebenarnya perlu banyak buat keputusan. Bukan itu sahaja, tapi juga berinteraksi dengan pesaing dan dengan orang di sekeliling," kata Encik Queck, yang turut mendorong para pemain untuk bermain di peringkat antarabangsa.
Bagi menarik minat lebih ramai pemain, kedai itu turut menawarkan sesi-sesi percuma untuk orang ramai mempelajari tentang permainan-permainan yang ditawarkan.
"Pada hari masyarakat yang diadakan setiap hari Rabu, kami memberi peluang kepada orang ramai pelbagai usia yang berminat untuk bermain atau belajar, kami akan berada di sini untuk mengajar dan membimbing mereka cara-cara bermain atau bermain dengan lebih baik," tambah Encik Queck.
PERMAINAN BOLEH BERLARUTAN HINGGA BERTAHUN LAMANYA
Selain permainan kad, permainan berpapan dan 'role play' juga menjadi pilihan ramai untuk berinteraksi.
Kedai 'Venture's Fort' di Tai Seng misalnya dikunjungi lebih 60 pemain yang datang hampir setiap hari.
"Ada pelbagai jenis orang yang datang ke sini. Mereka termasuk golongan profesional yang bertugas di hotel, pakar psikologi dan juruterbang," kata Encik Richard Loh, seorang Ketua Permainan.

Dengan bayaran antara S$8 hingga S$10, orang ramai boleh menikmati lebih 100 jenis permainan yang ditawarkan.
Antaranya ialah permainan berunsur pengembaraan fantasi, 'Dungeons and Dragons' (D&D) yang mula diperkenalkan sejak 1970an.
Berdasarkan jalan cerita yang diolah seorang ketua permainan atau 'Dungeon Master', para pemain perlu bekerjasama sebagai satu pasukan untuk menyelesaikan misi-misi serta cabaran yang diberikan.

Semestinya, daya imaginasi dan kreativiti juga diperlukan sepanjang permainan.
D&D BANTU TINGKATKAN KEYAKINAN DIRI
Disebabkan format permainan yang lebih rumit itu, permainan itu boleh berlarutan sehingga bertahun-tahun lamanya.

(Gambar: James Nase)
"Permainan berpapan atau 'role play', mereka lebih cenderung kepada permainan berkempen maksudnya ia tidak boleh diselesaikan dalam masa sehari. Misalnya jika anda bermain permainan kad, selepas satu pusingan bermain, anda boleh berhenti dan menamatkannya.
"Namun permainan berpapan atau 'role play' tidak begitu kerana terdapat penceritaan di sebaliknya," jelas Encik Loh, yang berpengalaman lebih 30 tahun dalam D&D.

(Gambar: Syawal Yusoff)
Namun menurut 'Venture's Fort', itulah antara faktor yang menjadikan para pemain lebih akrab.
Kadang kala pasukan yang dibentuk itu terdiri daripada mereka yang belum kenal dan baru kali pertama berjumpa.
"Melalui pengembaraan yang mereka lalui, pengalaman yang mereka lalui, mereka mula akrab, mereka dapat saling mengenali dengan lebih baik. Kami mempunyai ramai pemain yang bersifat introvert. Apabila mereka sudah mengenali rakan-rakan sepasukan yang lain, mereka akan berasa lebih terbuka secara perlahan-lahan," tambahnya.

Itulah yang dapat dirasakan sendiri salah seorang peminat permainan D&D, Muhammad Ashraf Minhaj, 31 tahun.
Meskipun pernah mendengar tentang permainan tersebut sejak di sekolah rendah lagi, minat itu kembali terjalin semasa menuntut di New Zealand.
"Saya mendengar ada kumpulan D&D di situ jadi saya pun sertainya dan pada 2019, saya mula berasa seronok memainkannya. Disebabkan COVID-19, saya terpaksa pulang ke Singapura. Di Singapura, saya masih mencari kumpulan D&D kerana saya masih meminatinya dan saya masih mahu rasakan perpaduan sesebuah kumpulan," kata Ashraf, anak sulung daripada tiga beradik.

Sebenarnya, permainan tersebut boleh dimainkan secara online juga.
Namun, Ashraf lebih menghargai pengalaman berbeza yang dialami ketika bermain secara fizikal.
"Semasa sesi 'Live', anda boleh melihat reaksi para pemain yang lain, anda dapat lihat bagaimana kelakuan mereka dan secara tidak langsung anda boleh mentafsir, menganalisa dan membuat penyesuaian yang sepatutnya," ujarnya.
Selepas lebih empat tahun bermain di 'Venture's Fort', Pembantu Penyelidik di NUS kini berasa lebih selesa dan yakin untuk berkomunikasi di luar mahupun di tempat kerja.
"Saya akur saya seorang yang berasa cemas ketika bergaul. Jadi ini seperti sebuah ruang di mana saya boleh bebas berinteraksi dengan orang lain, menguji diri saya, mencabar diri saya dalam satu cara di mana saya tahu di mana kekuatan atau kelemahan saya," tambahnya.

Beliau yang datang bermain hampir seminggu sekali juga berjaya meraih beberapa kenalan baru yang kini menjadi antara teman rapatnya.
"Kadang-kadang kami keluar bukan sahaja untuk sesi D&D. Kami berjumpa di luar untuk makan tengah hari, makan malam atau bermain permainan berpapan yang lain. Jadi ini sesuatu yang jarang dilihat kerana kita sering sibuk dengan hal dan pekerjaan masing-masing. Jadi ini seperti sebuah persahabatan, kemesraan yang hilang," kata Ashraf.
Ashraf berharap beliau dapat mencuba memegang peranan sebagai 'Dungeon Master' pula satu hari nanti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.