Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: 'Beef Short Ribs', set bento kian jadi pilihan untuk rumah terbuka Syawal ini

Anggaran Waktu Membaca:
BERITA+: 'Beef Short Ribs', set bento kian jadi pilihan untuk rumah terbuka Syawal ini

'Beef Short Ribs', set bento kian jadi pilihan untuk rumah terbuka Syawal ini. (Gambar-gambar: Cherry & Oak, Eatz Catering/Facebook)

BERITAmediacorp: Bukan rendang mahupun sayur lodeh tapi 'smoked beef ribs' atau tulang rusuk daging yang disalai serta salad Karedok.

Itulah jenis hidangan dan makanan yang lebih unik dan bukan konvensional buat sambutan bulan Syawal yang kian mendapat sambutan untuk tempahan rumah terbuka.

Antara syarikat yang menawarkan kepelbagaian itu termasuk restoran Cherry & Oak yang menyediakan pakej promosi buat Hari Raya, dengan daging-daging seperti 'Angus Beef Shank' dan 'Short Beef Ribs' atau daging tulang rusuk, disertakan dalam menunya.

 

Gambar: Cherry & Oak

Kali ini, ia menawarkan tiga jenis pakej Hari Raya yang berharga antara S$158 hingga S$347.

"Alhamdulillah, tempahan buat Dulang Raya ini, kita menerima akhir bulan Ramadan dan juga untuk bulan Syawal minggu pertama dan minggu kedua. Saya percaya (ia) khusus untuk rumah terbuka buat pelanggan-pelanggan kami," kongsi pemilik restoran, Hairul Hidayat Isa kepada BERITAmediacorp.

"Kita memberi dua pilihan - satu pilihan kita akan memotongkan (daging) untuk mereka dan lagi satu pilihan, mereka dapat potong sendiri kerana potongan sendiri di atas meja itu adalah satu-satunya pengalaman yang mereka boleh menunjukkan pada tetamu-tetamu mereka," tambah beliau.

 

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri

Pengalaman ala "fine dining" bagi rumah terbuka dan keinginan untuk ubah selera pada Syawal ini menjadikan hidangan seperti ini kian mendapat permintaan ramai.

Setakat ini, mereka sudah menerima lebih 100 pesanan buat pakej promosi Hari Raya ini.

GABUNGAN MODEN DAN TRADISIONAL

Selain daripada daging-daging yang empuk yang disalai dengan teliti, restoran itu juga menggabungkan elemen moden dan tradisional.

Misalnya, para pelanggan boleh menikmati hidangan tradisional seperti lemang bakar dan ayam masak merah.

Ada juga Salad Karedok yang berasal dari Jawa Barat Indonesia bagi beri kelainan kepada lauk-pauk yang lazim dihidangkan pada Hari Raya.

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri

"Kami membuat satu kelainan dan keunikan dengan cara-cara yang baru seperti kuah kacang kami yang istimewa dan kami masih mengekalkan rasa Karedok yang asli," kongsi Sous-Cef Nor Izam Shah, yang sudah lebih setahun bekerja di Cherry & Oak.

Ini juga bagi memenuhi cita rasa pelanggan pelbagai lapisan usia.

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri

"Kebanyakan pelanggan kami dalam lingkungan usia 35 hingga 45 tahun kerana ini adalah makanan kegemaran mereka," menurut Encik Hairul.

"Ia lain daripada yang biasa, yang mereka ada untuk rumah perjumpaan. Jadi ia khusus untuk teman-teman mereka dan ahli keluarga, sesuatu yang tidak sama seperti hari-hari biasa yang mereka kunjungi ke rumah terbuka jemputan teman-teman yang lain," tambahnya lagi.

BELAJAR DARIPADA COVID, RAMAI TEMPAH SET BENTO

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri

Namun dalam mencari kelainan, ada juga yang tidak mahu jauh tersasar daripada hidangan khas Lebaran.

Oleh yang demikian, syarikat Eatz Catering menawarkan hidangan ala Indonesia seperti Nasi Tumpeng.

"Nasi Tumpeng adalah satu sajian khas kami yang sesuai untuk 10 hingga 15 orang dan Nasi Tumpeng ini juga mengandungi lauk-lauk yang ada kaitan dengan Hari raya seperti dalamnya ada serunding, ada sambal goreng, juga ada rendang ayam dan lain-lainnya. Jadi Nasi Tumpeng dia macam semua dalam satu," jelas Pengurus Pembangunan Perniagaan Eatz Catering, Mohammad Kalil Morsaid.

Selain selera Hari Raya yang kian berubah, cara jamuan dihidangkan di majlis rumah terbuka juga berlainan kini bagi sesetengah tuan rumah.

Bukan lagi ala bufet tapi set bento menjadi pilihan.

Syarikat Eatz Catering menyaksikan permintaan untuk set bento pada Hari Raya ini meningkat 40 peratus berbanding tahun lalu.
 

"Memandangkan masyarakat kami dan pelanggan kami masih bimbang dengan COVID, mereka lebih selesa dengan adanya set bento sebab mereka dapat makan set bento ini sendiri," kongsi Encik Kalil.

"(Ini) daripada bufet, di mana mereka harus berkumpul dengan orang ramai sewaktu mengambil makanan. Jadi untuk mengelakkan penularan COVID, mereka lebih suka dengan adanya set bento. Kita pun ada pelanggan yang sudah tempah bufet tapi bertukar memilih bento kerana mereka masih bimbang tentang penularan COVID ini, " tambah beliau.

Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri
Meskipun dalam bentuk bento, para tetamu masih dapat menikmati sajian-sajian Hari Raya dalam pelbagai jenis variasi dan saiz.

Misalnya, salah satu set bento klasik Raya mengandungi hidangan seperti sate ayam, lontong dan kuah kacang, serta nasi goreng kampung termasuk pencuci mulut dan air kotak.

Set bento mahupun hidangan yang lebih 'trendy', cita rasa masyarakat kian lebih pelbagai, dengan ada yang menitikberatkan keselamatan.

Ini selain keinginan untuk menawarkan kelainan dan keunikan dalam hidangan kepada para tetamu pada musim perayaan.
Gambar: Eatz Catering/Facebook
Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan