Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+ BAZAR SELEBRITI: Curah kreativiti, kongsi rezeki sesama bakat kreatif

Anggaran Waktu Membaca:
BERITA+ BAZAR SELEBRITI: Curah kreativiti, kongsi rezeki sesama bakat kreatif

Bazar Ramadan anjuran Laloolalang seringkali sesak dengan pengunjung kerana kurasi teliti dan berkongsi rezeki dengan bakat kreatif lain serta lokasi yang ‘bukan biasa-biasa’. (Gambar: Roslinda Rahmat)

SINGAPURA: Menjelang Ramadan, pasangan selebriti Den Sabari dan Huda Ali meneruskan inisiatif mereka dalam menganjurkan bazar dengan konsep unik, memanfaatkan lokasi yang jarang digunakan bagi memberikan pengalaman berbeza kepada pengunjung.

BAZAR DI LOKASI UNIK, BERI PENGALAMAN BERBEZA

Berbeza daripada bazar biasa, bazar anjuran mereka, 'Flora Raya', akan diadakan di ruang bawah tanah gedung bunga Far East Flora di Clementi Road pada 22 hingga 23 Mac.

"Rumah tidak berseri kalau tidak ada bunga. Saya pasti hampir semua warga Singapura akan singgah membeli bunga setiap kali musim perayaan. Sebab itulah kami berkolaborasi dengan Far East Flora, yang akan mengadakan promosi dan gubahan istimewa sempena perayaan ini," kata Huda Ali, Pemilik-Bersama Laloolalang & Hud.

Satu lagi bazar, 'Raya Sejiran', akan berlangsung di Aliwal Arts Centre pada 15 hingga 16 Mac dengan tema 'Seputih Syawal'.

"Siapa yang datang ke bazar ini akan melihat dekorasi serba putih, dari tempat duduk hingga ruang lepak, sesuai dengan temanya," tambah Huda.
Huda Ali, kiri, selebriti penganjur bazar Laloolalang. (Gambar: Roslinda Rahmat)
DUKUNG VENDOR TEMPATAN DAN BADAN AMAL

Bazar anjuran pasangan itu bukan sekadar tempat membeli-belah, tetapi juga bertujuan memperkenalkan lokasi baharu kepada pengunjung serta memberi platform kepada peniaga tempatan.

"Kami ingin memberikan kelainan dengan memilih lokasi yang kurang digunakan tetapi mempunyai potensi besar untuk acara seperti ini. Apabila bazar diadakan di tempat yang tidak dijangka, ia memberi pengalaman baharu dan unik kepada pengunjung," jelas Den Sabari.

Sempena ulang tahun ke-10 Laloolalang, mereka turut memberi tumpuan kepada kebajikan dengan menyokong beberapa badan amal.

"Kami ada sekitar empat atau lima benefisiari yang akan turut serta. Ini adalah cara kami menyumbang semula kepada masyarakat," tambah Den.

Pengarah Urusan Kumpulan Far East Flora, Danny Cheok, tertarik dengan kejayaan Laloolalang sejak awal lagi.

"Saya pertama kali kenal Laloolalang apabila ke tempat kawan saya di mana mereka adakan bazar yang penuh dengan pengunjung. Saya terkejut, ‘Wah, bagaimana mereka tarik begitu ramai masyarakat Melayu?!’ Tempatnya jauh dari jalan raya utama, di Gillman Barracks. Huda seorang pelakon, tentunya menambah nilai, tetapi sikap profesional mereka itu lebih penting," katanya.

GANJARAN ISTIMEWA UNTUK PENGUNJUNG

Far East Flora turut membawa sesuatu yang eksklusif untuk pengunjung bazar.

"Kami ingin beri ganjaran kepada pengunjung, mesti buat sesuatu. Untuk bazar Ramadan mendatang, saya bawa masuk 'pussy willow' yang bunganya diwarnakan hijau. Belum pernah dilihat orang Melayu tetapi tahan lama. Dan tiada bunga yang berwarna hijau, bukan? Jadi kami akan bawa masuk khas untuk masyarakat Melayu," ujar Encik Cheok dengan penuh semangat.

KONGSI PELUANG SESAMA ARTIS BERNIAGA

Huda Ali terus menggalakkan rakan-rakannya dalam industri seni untuk turut serta dalam dunia keusahawanan.

"Kebanyakan artis Singapura ada bisnes mereka sendiri sama ada fesyen, makanan dan sebagainya. Seperti bakat tempatan kita, pengacara televisyen Shenty Fellyziana. Shenty sebenarnya baru sahaja melancarkan bisnesnya yang dinamakan Till Jannah," dedah Huda.

Jenama 'Till Jannah' yang diasaskan oleh Shenty membawa makna tersendiri bagi dirinya.

"Shenty tubuhkan 'Till Jannah' ini kerana cerita penghijrahan. Kita semua ada cerita penghijrahan. Tidak kiralah dari kita kosong sampailah kita berilmu, setiap muslimah itu banyak perjalanan kita. Apabila Huda sendiri menawarkan saya sertai acara ini, saya rasa sangat dekat dengan visi dan misi 'Till Jannah' untuk bersatu dengan usahawan lain, baik di Malaysia ataupun di Indonesia, untuk sama-sama memeriahkan lagi semangat Ramadan.

"Dan dengan adanya bazar seperti ini, Shenty dapat bertemu dan beramah-mesra tidak kiralah dengan peminat saya ataupun peminat fesyen dan kecantikan,"* ujar beliau.

Bazar itu turut disertai oleh jenama 'Elda', milik pelakon Izyan Mellina, yang menghargai konsep unik yang diketengahkan Laloolalang.
Pelakon Izyan Mellina, kanan, antara selebriti yang turut berniaga dalam bazar Ramadan Laloolalang. (Gambar: Roslinda Rahmat)
"Izyan sebenarnya suka sertai bazar oleh Laloolalang sebab ia selalu unik dan memberi suasana selesa. Dan Huda suka ambil peserta dari jenama tempatan. Sesuatu yang Izyan sangat-sangat hargai sebab kita harus sokong jenama Singapura, ya.

"Huda juga suka selitkan seni dan budaya mengikut tema. Kadang-kadang ada iringan nyanyian pun lagu-lagunya mesti mengikut tema. Jadi sungguh indah," kata Izyan.

GABUNGAN SENI DAN KEUSAHAWANAN

Selain mempromosikan jenama tempatan, bazar itu juga memberi ruang kepada kumpulan anak muda dari 'Seni Sini' yang memperjuangkan seni sebagai sebahagian daripada pengalaman Ramadan.

"Kami nak turunkan sumber, pengetahuan kepada generasi selanjutnya para seniman dan bakat kreatif. Seni, kita boleh perlahankan rentak, rileks, ambil masa untuk bernafas dan ambil peluang untuk jalin hubungan dengan orang lain,"* ujar Iffah Syafiqah Yusof dari 'Seni Sini'.

KAWASAN PERINDUSTRIAN DIUBAH JADI BAZAR RAMADAN YANG INDAH LAGI AKRAB

Kawasan perindustrian Paya Lebar, Oxley Bizhub, yang biasanya lengang pada malam hari dan hujung minggu, berubah wajah dengan kemeriahan bazar Ramadan 'CELEBRAYA' buat pertama kalinya.

Penganjurnya, juru hias dan tatarias terkenal, Fatimah Mohsin, berkongsi bagaimana ideanya tercetus.

"Saya berasal dari industri perkahwinan. Jadi masa yang saya dapat berehat adalah pada sebulan Ramadan. Tidak ada tempahan pengantin, tetapi takkan nak rileks sahaja, bukan? Pada tahun 2014, 2015, saya pun berjinak-jinak masuklah bazar-bazar daripada dulu dekat kawasan SingPost dan kemudian di City Plaza. Kami hendak ada bazar sendiri pasal kami boleh uruskan permintaan pelanggan kami yang pelbagai," kata Cik Fatimah.

Pemilihan lokasi di Oxley Bizhub mungkin mengejutkan, tetapi ia adalah keputusan yang strategik.

"Sebenarnya, dengan adanya media sosial, kita tidak perlu berada di tempat yang kita perlu bayar kos sewa yang terlalu tinggi, pasal memang di bazar Geylang ramai orang. Pengunjung mungkin ratusan ribu, tetapi gerai di sana pun beratus. Tumpuan saya adalah untuk memberi pelanggan rasa lebih selesa dan tidak perlu berasak-asak," jelas Cik Fatimah.
AC Mizal sebagai duta Ella Furniture, aktif membuat konten di media sosial, lantas turut membantu menarik orang ramai ke bazar CELEBRAYA yang selesa lagi estetik. (Gambar: Roslinda Rahmat)

Suasana di bazar itu bertambah meriah dengan kehadiran penyanyi dan pengacara terkenal Malaysia, AC Mizal, yang menjadi duta syarikat perabot 'Ella Furniture'.

"Setiap tahun saya dijemput untuk datang ke begitu banyak bazar Ramadan di Singapura dan saya merasa seronok. Sebab apa, penerimaan orang Singapura terhadap perniagaan orang Malaysia memang memberangsangkan dan kadang kala mengejutkan!

"Orang Singapura menghargai artis Malaysia. Ia sesuatu yang memang kita artis Malaysia selalu kata, 'Oh, Ramadan, kena pergi Singapura ini!' Sebab apa, penghargaan mereka itu besar. Bukan nak katakan penghargaan di Malaysia kurang tetapi di sini lebih besar. Jadi ia lebih baik untuk perniagaan kita. Memang saya berdoa setiap tahun agar dijemput datang ke Singapura sempena bulan Ramadan," seloroh AC Mizal.

Perancangan teliti Cik Fatimah berjaya mewujudkan suasana berbelanja yang selesa lagi estetik.

"Kita adalah penyeri rumah orang. Tiap-tiap tahun, kalau Prop-Up Store itu bunga-bunga, hiasan dalaman rumah yang menarik-menarik saya bawakan. Menerapkan konsep gaya hidup moden daripada sofa ke permaidani ke barangan perhiasan rumah semua ada. Kita juga akan adakan artis jalanan dan pada lewat Ramadan kita akan undang Amy Search," dedah Cik Fatimah.

Peniaga selebriti, Diyana Halik, turut berkongsi pengalamannya bersama 'CELEBRAYA'.

"Alhamdulillah, Diyana punya penjenamaan sudah bersama CELEBRAYA sejak awal saya mulakan perniagaan. Ia adalah bazar yang akrab, serta eksklusif," tambah seorang lagi peniaga selebriti, Diyana Halik.

"Ia budaya baik yang kita perlu teruskan setiap tahun sebab pada waktu Raya ini lah saya berpeluang untuk mengenali semua pelanggan saya sebab selalu beli di talian, bukan? Dan setengah-setengah itu, berubah dari pelanggan, menjadi sahabat pula," kata beliau

Kolaborasi antara Singapura dan Malaysia itu membuka potensi baru meluaskan perniagaan.

"InsyaAllah saya ada ura-ura untuk perluaskan konsep bazar ini ke Malaysia. Bazar gaya hidup kecil yang berkonsep kesopanan untuk bawa jenama Singapura ke luar. Jadi kolaborasi dnegan Ella Furniture ini membantu saya melebarkan sayap ke Malaysia. Sama juga bagi Ella Furniture yang membolehkan penduduk Singapura mengenali mereka," dedah Cik Fatimah kepada Roslinda Rahmat.

Usaha tokoh-tokoh seni-hiburan seperti 'LALOOLALANG' dan 'CELEBRAYA' berkongsi rezeki Ramadan ini diharap dapat meluaskan manfaat seni kreatif sambil kita nikmati budaya Bazar Ramadan yang disambut di Singapura dengan lebih bermakna.

Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan