Skip to main content

Singapura

BERITA+: Basikal tolak bukan sahaja untuk belajar imbang basikal, si cilik juga masuk perlumbaan basikal

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Basikal tanpa pengayuh atau lebih dikenali sebagai 'balance bike' atau 'push bike' kian mendapat perhatian di Singapura.

Bukan sekadar satu hobi, ada juga ibu bapa sanggup hantar anak mereka bertanding.

Wartawan Nazirah Jamzuri meneroka antara keistimewaan basikal tolak.

AJAR ANAK ASAS IMBANG BASIKAL

Basikal tanpa pengayuh atau lebih dikenali sebagai 'balance bike' atau 'push bike' kian mendapat perhatian di Singapura.

Digerakkan menggunakan kaki, basikal tolak kian menjadi pilihan sebilangan keluarga untuk mengajar anak kecil mereka asas mengimbang basikal.

Ini agar dapat mempersiapkan mereka sebelum ke fasa seterusnya iaitu menunggang basikal kayuh dua roda.

Gambar: Nur Fathiha Wan Mat Din

Dengan cara yang menarik untuk menunggang basikal itu iaitu berlari dan meluncur, ia kian menjadi kegemaran ramai termasuk Falisha Shafizan Haneez, empat tahun yang sudah setahun menceburi sukan itu dengan sokongan ibu bapanya.

"Kita mendapat tahu daripada jiran lama yang bertanya, anda tidak memasukkan anak anak ke dunia basikal tolak ke? Dari situ baharu kami mengkaji tentang basikal tolak," kongsi bapanya, Encik Shafizan Haneez Shafii kepada Wartawan Nazirah Jamzuri.

"Ia bermulanya dengan anak sulung saya, Farish yang bermula dalam usia setahun. Jadi ia turun temurun kepada adik-adiknya," tambahnya.

Beliau juga lebih selesa mendedahkan anak-anaknya kepada basikal tolak daripada basikal dengan roda latihan.

"Basikal ini untuk kita membuat persediaan untuk fasa seterusnya iaitu basikal dengan pengayuh jadi kalau mereka sudah mahir menunggang basikal imbang ini, mereka tidak perlu gunakan basikal dengan roda latihan," ujar beliau.

HANTAR ANAK-ANAK KE PERTANDINGAN BASIKAL TOLAK DI DALAM DAN LUAR NEGARA

Gambar: Nur Fathiha Wan Mat Din

Menurut Encik Haneez, beberapa langkah keselamatan perlu diambil untuk memastikan keselamatan si cilik termasuk topi keledar, sarung tangan, pelindung lutut dan siku.

Malah, daripada "suka-suka", beliau dan isteri mula menyertakan anak-anak mereka dalam pelbagai pertandingan di Singapura dan di seberang tambak.

"(Rasa) Puas bila dapat melihat anak saya bersaing dengan warga seberang tambak di Malaysia kerana anak-anak mereka semua mahir dalam dunia basikal tolak ini," kongsi Encik Haneez.

Pasangan itu juga sanggup meluangkan masa berlatih bersama rakan-rakan ibu bapa lain dalam kumpulan Aerokids sehingga ke malam hari.

Kumpulan itu, yang pada mulanya dianggotai oleh pasangan itu dan saudara-mara mereka, kini sudah berkembang untuk melibatkan juga rakan-rakan mereka.

"Saya rasa aktiviti ini memberikan saya peluang untuk meluangkan lebih banyak masa bersama anak saya ketika latihan bersama Aerokids dan juga di rumah, kami ketepikan sedikit masa selepas kerja sekolah untuk melatihnya," menurut Encik Muhammad Amir Said Alkatiri.

KESAN POSITIF KEPADA KANAK-KANAK

Pelbagai kesan positif juga dapat dilihat dalam anaknya setelah menceburi sukan ini.

"Banyak kesan positif yang saya dapat lihat iaitu perkembangan dari segi fizikal dan juga mental. Dia telah mempelajari banyak nilai-nilai yang positif yang boleh digunakan. Pada mulanya bila bertanding itu dia bertanding secara suka-suka, dan dia tidak ada mentaliti untuk menang," ujar Encik Muhammad.

"Dari situ, apabila ternampak teman-temannya menang pertandingan, dia rasa macam dia ingin berlatih dengan bersungguh-sungguh," tambahnya.

Bagi Cik Nur'ain Rahim pula, jika pada mulanya rasa "gerun" lihat anak-anaknya beraksi, namun kini beliau bangga melihat prestasi mereka.

"Pada mulanya, sebagai ibu bapa saya kadangkala rasa gerun tengok mereka jatuh tetapi lama-kelamaan saya bangga dan saya berpuas hati mereka dapat (pelajari) ketabahan diri dan keyakinan diri," kongsi Cik Nur'ain.

"Sukan ini salah satu sukan yang mengajar mereka tentang cara mengimbang dan juga yang pentingnya, mereka tidak ketagih dengan gajet-gajet sekarang," tambahnya.
Gambar: Nur Fathiha Wan Mat Din


Selain seronok, sukan itu juga dapat menggalak persaingan yang sihat dalam kalangan kanak-kanak.

"Saya suka main basikal tolak kerana boleh berlatih dengan kawan-kawan dan berlumba dengan kawan-kawan," kongsi anak Encik Haneez, Ahmad Fatrish Mishary, lapan tahun.

"Saya suka basikal tolak kerana saya boleh menang piala dan menang emas," kongsi seorang lagi penggemar sukan itu, Irsalina Nur Sabrina.

STRIDER SINGAPORE SAKSIKAN AHLI KUMPULANNYA MENINGKAT

Kiri: Encik Julian Loh


Malah, minat dan pertandingan itu berjaya mewujudkan sebuah komuniti, merangkumi ibu bapa dan datuk nenek si cilik.

Populariti sukan itu meningkat sejak diperkenalkan pada 2017 oleh syarikat Strider Singapore iaitu satu-satunya pengedar basikal imbang jenama Strider di negara ini.

"Apabila kami baharu sahaja membawa masuk Strider ke Singapura, kami adakan pertandingan pertama dan kami hanya mempunyai 30 kanak-kanak yang mengambil bahagian. Dan sepanjang tahun ini, ia sudah berkembang," kongsi pemilik Stider Singapore, Encik Julian Loh.

"Secara aktif, kami ada lebih 400 anggota, dan untuk pelumba aktif, kami ada lebih 100 pelumba buat masa ini," tambah beliau.

BASIKAL TOLAK SESUAI UNTUK KANAK-KANAK SEKECIL 16 BULAN

Menurut Encik Loh, basikal jenis itu lebih sesuai bagi si cilik kerana ia lebih ringan buat mereka.

Ia sesuai bagi kanak-kanak sekecil usia 16 bulan.

"Jika anda ingin anak anda mula pada usia empat tahun ke bawah, mereka tidak akan ada tenaga dan kaki mereka juga tidak ada kekuatan untuk mengayuh kerana basikal dengan roda latihan beratnya sekitar 10kg atau lebih. Manakala basikal kita bermula dari 2.5 kg," jelas Encik Loh.

Malah, untuk anak-anaknya sendiri, mereka sudah dapat mengayuh basikal pada usia tiga tahun tanpa roda latihan dan ini antaranya menjadi kelebihan basikal tolak atau imbang.

Basikal tolak itu misalnya dapat mengajar kanak-kanak cara untuk belok dan berpusing, di samping menjadi aktiviti yang menyeronokkan untuk keluarga.

"Salah satu kebaikan tentang basikal ini ialah pemegangnya ini boleh bergerak 360 darjah. Ada basikal imbang di luar sana yang ada brek. Kita tidak menyokong brek ini kerana ia ada kabel. Jadi jika anak anda terjatuh, kabel itu akan tersangkut pada pemegangnya," kata Encik Loh.

Setelah lebih setahun tidak dapat berkumpul akibat pandemik, Strider Singapore kini cuba untuk membina semula masyarakat Strider dengan menganjurkan pelbagai acara dan pertandingan.
Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita