Skip to main content

Singapura

BERITA+: Baju Melayu antara lambang kecerdikan orang Melayu

Tidak lengkap rasanya sambutan Aidilfitri tanpa baju tradisional Melayu.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Tidak lengkap rasanya sambutan Aidilfitri tanpa baju tradisional Melayu.

Kaum Adam segak berbaju Melayu dengan bersamping manakala kaum hawa anggun mengenakan baju kurung.

Selaras dengan perubahan masa, busana yang dipakai kini beraneka gaya, menggabungkan unsur tradisional dengan sentuhan moden sehinggakan ada yang menjolok mata.

Wartawan Roslinda Rahmat menyorot asal-usul dan evolusi pakaian tradisional mendapati ia terkait rapat dengan kesantunan orang Melayu dan agama Islam.

Masyarakat Melayu boleh berbangga, apabila busana Melayu tidak menunjukkan tanda-tanda akan pupus.

Ia giat diperagakan bukan sahaja sewaktu lebaran, tetapi juga di majlis-majlis perkahwinan dan malah menjadi amalan segolongan pekerja tempatan untuk memakai baju kurung ke pejabat pada setiap hari Jumaat.

Setiap menjelang Lebaran, koleksi terbaharu baju tradisional membanjiri pasaran.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, busana raya melalui semacam evolusi.

Rekaan dan potongannya moden, ditambah dengan pelbagai elemen baharu.

Ada yang masih mengekalkan ciri-ciri tradisional, namun ada pula yang menampilkan rekaan berani dan di luar batas pemikiran.

Namun revolusi Baju Melayu bukanlah suatu fenomena baharu.

Baju Melayu yang bermula dengan setakat berkemban bagi wanita atau berseluar sahaja bagi orang lelaki, sudah jauh berubah pada hari ini.

Ini dikongsi Pensyarah, Bahasa & Budaya Asia di Institut Pendidikan Nasional (NIE), Dr Roszalina Rawi.

"Baju Melayu yang tertua adalah baju kurung. Sebelum penciptaannya, orang-orang Melayu sebenarnya memakai kain sarung yang dikembankan sahaja. Tetapi setelah kedatangan Islam pada kurun ke-13, barulah mula ada kesedaran untuk menutup aurat. Contohnya, daripada istana Cik Siti Wan Kembang yang mengenakan kain sarung yang sekarang ini tiga helai, iaitu berkemban, berkelubung dan kemudian menutup kepala pula kerana hendak menjaga aurat," kata Dr Roszalina.

Menurut Sejarah Melayu, Sultan Mansur Shah, penguasa Melaka yang keenam, melarang wanita Melayu berkemban, kerana tidak melambangkan identiti wanita Islam pada ketika itu.

"Sultan-sultan daripada istana pun menurunkan titah bahawa rakyat jelata sekarang tidak boleh sekadar berkemban, tetapi haruslah memakai satu pakaian luar seperti jubah dan sebagainya. Barulah timbul apa yang kita kenali sebagai Baju Kurung, baju yang mengurung manusia Melayu dengan kesopanan," jelas Dr Roszalina.
Sejarah permulaan baju Cekak Musang adalah di Teluk Belanga, Singapura sewaktu zaman pemerintahan Sultan Ibrahim ibni Abu Bakar pada tahun 1800.

Ia juga digelar Baju Wan sempena nama seorang penduduk Teluk Belanga iaitu Haji Wan Othman.

Demikian menurut Encik Anuar Saran, seorang Pereka Kostum, Juru Tatarias dan Konsultan Busana dengan hampir suku abad pengalaman.

"Ketika menghadap sultan, sultan amat tertarik dengan pakaian Baju Wan iaitu Baju Kurung Cekak Musang dengan butang emas dan permata. Jadi beliau mengisytiharkan Baju Kurung Cekak Musang sebagai pakaian anak-anak raja dan pakaian orang-orang di Istana Johor," kata Encik Anuar.

Nama ‘Teluk Belanga’ juga diambil sempena nama kawasan kediaman Temenggung Johor di kawasan yang kini dikenali sebagai Harbourfront.
"Waktu dahulu, baju Teluk Belanga dipakai oleh kedua-dua lelaki dan perempuan. Labuh baju kurung lelaki adalah pada paras pinggang dan berkocek dua di sebelah bawah baju. Tetapi Baju Kurung perempuan, labuhnya di paras lutut dan tidak berkocek. Namun, ketika zaman Sultan Ibrahim ibni Abu Bakar, baju kurung berubah. Baju Kurung perempuan ada kocek satu di atas dada sebelah kiri."

"Ciri-ciri yang mesti ada dalam baju kurung Melayu adalah Baju Kurung Teluk Belanga yang berbutangkan satu dan Baju Kurung Cekak Musang yang berbutang lima. Dan kemudian, ada yang berkolar Mandarin dan berbutang tiga." kata beliau.

Lima butang pada Baju Melayu melambangkan Rukun Islam.

Baju teluk belanga mempunyai satu butir kancing sahaja dan dipercayai dikaitkan dengan tauhid yang mempercayai bahawa Tuhan hanya satu.

BAJU KURUNG ANTARA LAMBANG INOVASI MELAYU

"Menurut peredaran masa, dengan perubahan cuaca dan sebagainya, manusia mencipta baju yang sesuai dengan kepanasan cuaca yang mereka lalui. Jadi contohnya, Baju Kurung Kedah. Lengannya dipendekkan, bajunya tidak mencecah paras lutut tetapi disingkatkan kerana mereka perlu memakai baju itu untuk bercucuk tanam. Tetapi ada juga baju yang kemudian ditebalkan sedikit bahagian atasnya supaya tidak perlu lagi berkemban, hanya pakai Baju Kurung atas dan kain. Jadi revolusi Baju Kurung ini adalah mengikut keperluan budaya masyarakat pada masa itu," jelas Dr Roszalina.

Menurut beliau dan Encik Anuar, rekaan baju Melayu tidak statik dan berubah mengikut keperluan serta kebijaksanaan.

DAYA KEMAMPANAN & ANTARA LAMBANG KECERDIKAN MELAYU

"Ciri-ciri khas baju kurung adalah pada bahagian cantuman badan iaitu kain tambahan. Ini mengambil bentuk Pesak yang bermula daripada bahagian ketiak dan panjang sampai labuhnya paras baju. Dan kekek pula dipotong segi empat, dicantumkan pada pesak. Dari situ, ia dicantumkan pula pada lengan. Tujuan pesak dan kekek adalah untuk melonggarkan dan menganginkan ketiak dan badan."
Dr Roszalina pula menarik perhatian kepada satu lambang kebijaksanaan dan sikap prihatin alam sekitar orang Melayu yang terpapar menerusi Baju Melayu.

"Dengan kemodenan, kita ada, kain-kain yang lebih sesuai dengan cuaca, kita ada bentuk baju yang lebih sesuai. Dan bila baju itu lebih longgar, lebih mudah untuk orang Melayu membuat kerja sehariannya.

"Bagi wanita pula, apabila baju itu ada kekek dan pesaknya, ia mengizinkannya untuk memakai baju itu buat tempoh yang lebih lama. Dari usia anak dara sampailah dia berkahwin, sampailah dia mengandung, dia boleh pakai Baju Kurung yang sama, sebab pesak itu boleh diubah suai mengikut bentuk badannya. Jadi ada pemikiran, kebijaksanaan Melayu untuk lebih mampan, lebih 'sustainable'. Bukan pakai baju itu sekali sahaja, tetapi Baju Kurung itu dipakai banyak kali sepanjang hidupnya. Sebab itulah ada kecerdikan orang Melayu itu dalam mencipta busana yang kita panggil Baju Kurung," kata beliau

Hari ini, identiti baju Melayu yang sopan tidak dapat lari daripada tuntutan perkembangan fesyen semasa.

Ada yang mempunyai rekaan yang pelik, ketat malah menjolok mata, sehingga dikritik memperlekehkan busana tradisional itu.

JANGAN SAMPAI KECAMAN BERLEBIHAN SAMPAI MEMATIKAN SEMANGAT BERKARYA PARA PEREKA FESYEN

Namun, Dr Roszalina mengingatkan masyarakat agar jangan cepat mengecam kreativiti para pereka.

"Yang mereka cipta itu kemungkinan besar bukan untuk pakaian seharian kita, tetapi suatu perlambangan identiti mereka sebagai seorang pereka fesyen. Kita izinkan mereka berkarya kreatif. Kita pilihlah baju yang sesuai untuk kita sendiri pakai. Banyak lagi baju-baju tradisional yang mungkin lebih sesuai dengan jati diri kita. Yang penting, apabila kita pakai Baju Melayu, kita mengambil sekali kesopanan itu.
"Kita tidak boleh menjadi seseorang yang memakai Baju Melayu, tetapi sifat kita jauh daripada sifat orang Melayu. Pakai Baju Melayu tetapi pergi jalan Raya, pergi ke rumah orang, mengumpat! Pergi ke rumah orang, banyak mengeji dan sebagainya, banyak kehendaknya, tidak hendak bercampur gaul. Itu tidak sesuai dengan pakaian kita sebagai orang Melayu. Jadi apabila sudah pakai baju Melayu, sikapnya hendak kena cantik macam orang Melayu," tambah beliau

Tidak salah untuk tampil moden, asalkan tidak hilang ciri-ciri kemelayuan.

"Bagi saya, seorang pereka klasik, saya ada batas-batas dalam rekaan saya. Dari keasliannya, kesopanan, cara teknikal potongan klasik saya. Saya tidak akan merancang pakaian yang menjolok mata. Contohnya, seperti baju dari kain renda atau 'lace' yang tidak ada 'lining' atau berlapis, kerana kita akan pakai pada Hari Raya. Kita perlu ada kesopanan dalam Hari Raya kerana kita akan pergi menghadap orang-orang tua."

PENGERTIAN MEMAKAI BUSANA TRADISIONAL SEWAKTU LEBARAN

Ini disetujui Dr Roszalina.

"Ketika Hari Raya, kita hendak menampakkan identiti kita sebagai orang Melayu yang hendak menampakkan keceriaan kita dan peradaban kita yang menghormati bulan Ramadan yang telah berlalu dan sekarang masa untuk kita merayakan kemenangan kita. Apabila kita datang ke rumah orang dengan berbaju Melayu, maksudnya kita datang dengan penuh kesopanan. Kita menghormati orang yang sedang kita kunjungi. Kita pandai berterima kasih kepada tuan rumah.

"Dan kita gembiralah melihat orang-orang muda sekarang masih lagi suka memakai Baju Melayu ketika Hari Raya."

Walaupun kian banyak fesyen baharu yang dikeluarkan saban tahun, Dr Roszalina dan Encik Anuar yakin, bahawa Baju Melayu akan terus relevan dan menjadi pilihan masyarakat Melayu.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita