Berita baik bagi pembeli flat HDB - tempahan bagi baki flat boleh dibuat pada bila-bila masa
Para penduduk yang berhasrat untuk membeli baki flat dari Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), tidak lama lagi boleh berbuat demikian pada bila-bila masa. Mereka tidak lagi perlu menunggu tawaran penjualan yang diadakan dua kali setahun.
SINGAPURA: Para penduduk yang berhasrat untuk membeli baki flat dari Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), tidak lama lagi boleh berbuat demikian pada bila-bila masa. Mereka tidak lagi perlu menunggu tawaran penjualan yang diadakan dua kali setahun. Demikian menurut Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong pada Khamis (7 Feb).
Skim Tawaran Semula Baki Flat (ROF) yang diperkenalkan pada 2017, menyenaraikan semua flat yang tidak terjual selepas tawaran Penjualan Flat Baki (SBF) dijalankan.
Buat masa ini, ROF ditawarkan dua kali setahun. Mulai pertengahan tahun ini, para pembeli boleh memilih untuk menempah baki flat daripada senarai ROF pada bila-bila masa.
Menurut Encik Wong dalam satu catatan blog di laman Kementerian Pembangunan Negara, sekitar 120 flat ditawarkan di bawah tempahan terbuka pertama bagi flat-flat baki itu.
"Para pembeli flat boleh memohon secara online pada bila-bila masa mengikut 'siapa daftar dulu, didahulukan' dan membuat tempahan pada hari bekerja keesokannya. Cara ini akan mengurangnya masa menunggu untuk menempah sebuah flat dengan berkesan, iaitu hanya sehari," katanya.
Skim penjualan ROF bertujuan membantu para pembeli yang perlu segera mendapatkan rumah atau tidak begitu cerewet mengenai kawasan dan ciri-ciri flat tersebut. Di bawah ROF, para pemohon tidak perlu menyatakan jenis flat dan kawasan pilihan, serta boleh menempah sebarang unit yang ada berdasarkan kelayakan masing-masing.
Menurut Encik Wong, tawaran penjualan ROF sebelum ini popular di kalangan para pembeli, dengan 2,500 keluarga menempah sebuah flat di bawah skim tersebut. Hampir 66 peratus daripada mereka sudah menerima kunci rumah masing-masing.
"Dengan jumlah pilihan yang lebih banyak ditawarkan, saya berharap lebih mudah kini bagi para pembeli rumah untuk mendapatkan flat yang memenuhi keperluan, kegemaran, dan kemampuan masing-masing," kata Encik Wong lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.