Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Bagaimana setiap jemaah dapat jimatkan 50 liter air untuk berwuduk setiap hari

Jimatkan Air: Tahukah anda, ada cara untuk jimatkan hingga 10 liter air setiap kali anda ambil wuduk. Jadi kalau 5 waktu, boleh jimatkan 50 liter air sehari. Inilah yang diterapkan Masjid Mujahidin dan Masjid Sultan...

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tahukah anda setiap kali anda mengambil wuduk, anda secara purata menggunakan 10.5 liter air? Bermakna, jumlah air yang digunakan boleh melepasi lebih 50 liter untuk lima waktu solat dalam masa sehari sahaja.

Menyedari akan pentingnya menjimatkan penggunaan air terutamanya di masjid di mana ramai jemaah berkunjung, Masjid Mujahidin mengambil langkah untuk mengurangkan pembaziran air dengan cara yang cukup praktikal - iaitu memasang alat menjimatkan air di paip-paip mengambil wuduk di sekitar masjid.

Menurut Eksekutif Perhubungan Masjid Mujahidin, Mohd Jamaluddin Abdul Rahman, usaha tersebut bukan sahaja mengurangkan bil air masjid tetapi juga demi memberikan kesedaran bahawa berjimat air adalah sesuatu yang digalakkan dalam Islam.

"Masjid Mujahidin mengambil langkah untuk memasang paip menjimat air kerana kami juga telah mengadakan satu inisiatif iaitu #greenummah. Iaitu untuk menggalakkan masyarakat Muslim Singapura kami menjimat air antaranya menjimat air semasa mengambil wuduk sebagaimana yang digalakkan oleh Rasulullah," jelas Encik Jamaluddin.

HINGGA 15,000 LITER AIR BOLEH DIJIMAT DALAM 1 SOLAT JUMAAT

Hasilnya cukup mengujakan. Sejak menggunakan alat penjimatan air itu pada 2018, pihak masjid melihat penjimatan ketara sebanyak 50% daripada bil airnya setiap bulan.

Bagaimana alt-alat penjimatan air itu berfungsi? Ia menyekat pengeluaran air sebanyak 500 mililiter setiap 45 saat, iaitu purata masa yang diperlukan untuk mengambil wuduk.

Hasilnya, dengan alat tersebut, setiap jemaah atau pengguna dapat menjimatkan 10 liter air setiap kali mereka mengambil wuduk.

Penjimatan tersebut begitu ketara sekali lebih-lebih lagi semasa tempoh sebelum pandemik, di mana sekitar 1,500 jemaah datang menunaikan solat Jumaat di masjid Mujahidin setiap minggu. Ini bermakna dalam satu waktu solat sahaja, 15,000 liter air dapat dijimatkan!

Malah inisiatif menjimatkan air ada mendatangkan 'kesan tempias' yang positif kepada para jemaah.

Menurut Masjid Mujahidin, selepas mengetahui bahawa masjid itu mampu menjimatkan banyak air, para jemaah juga mengambil tindakan untuk memasang alat-alat penjimatan yang sama di rumah masing-masing.

"Kakitangan masjid juga mengamalkan cara-cara untuk menjimatkan air di rumah," kongsi Encik Jamaluddin.

MASJID SULTAN JIMAT 40% BIL AIR

BERITAmediacorp difahamkan sebilangan masjid lain di Singapura turut memasang alat penjimatan air sebegini, termasuk Masjid Sultan.

Sebelum pandemik, masjid bersejarah yang dianggap sebagai 'masjid negara' Singapura itu menerima lebih 35,000 jemaah setiap bulan.

Hasil pemasangan alat-alat penjimatan air, ia berjaya mengurangkan sehingga 40% bil airnya.

PANEL SURIA MASJID SULTAN KURANGKAN BIL ELEKTRIK 30%

Malah Masjid Sultan juga mengorak langkah pertama untuk menjadi satu-satunya masjid di Singapura yang memasang panel suria di bumbungnya bagi menjana tenaga elektrik secara hijau pada 2017.

Hasil yang dinikmati masjid itu cukup baik - penjimatan sekitar 30% daripada bil elektriknya.

"Pihak masjid setiap bulan kami telah dapat menjimatkan perbelanjaan sebanyak S$450 hingga S$500 sebulan dengan menggunakan panel suria yang telah kami sediakan ini," dedah Ketua Pengurusan Prasarana Masjid Sultan, Encik Mohd Rosley Abdul Samad.

Pihak masjid melaburkan $60,000 untuk memasang 96 panel suria di bumbung masjid.
Walaupun ia akan mengambil masa 10 tahun untuk meraih kembali penjimatan daripada kos yang dilaburkannya, masjid Sultan percaya manfaatnya melebihi penjimatan kos sahaja.

Iaitu, ini suatu peluang menyumbang kepada usaha menjadi lebih mesra alam, menerusi penjanaan kuasa elektrik secara 'hijau' atau tidak mencemar alam.

Selain itu, ia juga mencatat banyak penjimatan dalam kos penyenggaraan kerana panel-panel suria itu hanya perlu dilap setahun sekali sahaja.

Namun demikian, usaha dari pihak masjid sahaja tidak mencukupi tanpa kesedaran dan kerjasama dari kalangan para jemaah.

Maka itu kedua-dua masjid giat mempamerkan poster dan pelekat di sekitar masjid bagi mengingatkan para jemaah agar sama-sama memainkan peranan untuk memelihara alam sekitar.  


Jangan terlepas ikuti laporan-laporan khas lain Cinta Bumi yang mengupas isu-isu iklim dan alam sekitar.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan