Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Artis Hip Hop SG cuba lestarikan budaya dan bahasa ibunda menerusi lagu

Anggaran Waktu Membaca:

BERITA Mediacorp: Lagu-lagu Hip Hop dan rap sering "dituduh' mencemarkan bahasa ibunda kerana banyak menggunakan bahasa pasar.

Namun, kemunculan kumpulan seperti Ahli Fiqir dan Triple Noize sekitar 20 tahun lalu menunjukkan bait-bait lirik lagu dengan penggunaan bahasa yang baik dan betul dapat membantu memartabatkan bahasa Melayu.

Kini, muncul barisan pemuzik muda seperti Qis Maraj dan Abang Sapau yang ingin menyemai semangat cinta pada bahasa melalui lirik yang mereka persembahkan.

SEMAI SEMANGAT CINTA PADA BUDAYA MELAYU DAN BAHASA IBUNDA MENERUSI LIRIK LAGU

Tiga tahun lalu, Qis Maraj mula mencipta nama sebagai penyanyi Hip Hop dan Rap di dalam industri muzik Melayu tempatan.
'
Namun beliau bukan sekadar penghibur, beliau juga seorang penggubah lagu dan mahir dalam penulisan lirik lagu.

Qis berkata: "Saya harus membuat kajian lebih mendalam mengenai perkataan-perkataan. Saya mula dengan kamus. Saya akan membelek kepada sebarang muka surat, cari satu perkataan dan fahami maknanya dan membuat perkataan itu dalam satu ayat. Dari situ, saya melatih untuk menulis."

Sejauh ini, Qis sudah menghasilkan lebih 10 buah lagu.

'

Meskipun berjiwa Hip Hop, lagu-lagunya tersirat elemen-elemen bahasa dan budaya Melayu.

"Dalam lagu berjudul 'Fatalis' misalnya, kalau mereka dengar betul-betul, ada bunyi instrumen tradisional seperti gamelan. Dalam penulisan juga, saya juga pastikan kata rima semua sempurna. Dan ada juga beberapa lagu tulisan saya yang saya terapkan penggunaan peribahasa," jelas Qis.

LAGU-LAGU PAPARKAN ISU SOSIAL DEKAT DI HATI GOLONGAN BELIA DAN REMAJA

Lirik-lirik lagu yang dicipta banyak memaparkan isu-isu sosial semasa yang berkaitan dengan kehidupan yang dekat di hati golongan remaja dan belia.

Melalui penceritaan dan bahasa juga, Qis memperjuangkan muzik dan budaya Hip Hop yang dipandang sinis oleh sebilangan orang.

'

Qis berkata: "Ramai orang ingat Rap ini ganas, pasal duit, perempuan, dadah, alkohol, perkara tidak penting dalam kehidupan."

"Saya elakkan mengguna elemen dadah, minum arak dalam lagu saya. Kerana ia bukan satu perkara yang saya ingin tunjukkan kepada anak-anak muda. Saya hanya ingin mereka dapat meluahkan perasaan diri dalam lagu dengan cara yang baik," tambah Qis lagi.

PENYANYI HIP HOP WANITA PERINTIS RAP BAHASA MELAYU JADI INSPIRASI KEPADA ARTIS MUDA

Sebagai artis muda, Qis banyak mengambil inspirasi daripada artis-artis Hip Hop yang lebih berpengalaman seperti Mawar Berduri daripada kumpulan Ahli Fiqir.

'

Nama Mawar Berduri pernah mekar dalam industri muzik tempatan dan di seberang tambak pada pertengahan tahun 2000 sebagai salah seorang penyanyi perintis rap dalam bahasa Melayu.

Antara lagu-lagu yang dipopularkan kumpulan Ahil Fiqir termasuk Angguk-angguk Geleng-geleng, 2X5 dan Samseng.

'

"Kalau di Jepun, ada Rap bahasa Jepun. Jadi kenapa tidak kita rap dalam bahasa kita? Secara tidak langsung, kami memang minat rap sebab Hip Hop sedang meletup pada waktu itu. Kita ada formula untuk rap dalam bahasa Melayu, gunakan elemen muzik Melayu untuk digunakan dalam muzik kami sambil itu memartabatkan Hip Hop dengan menyelitkan bahasa Melayu yang indah."

Lebih 20 tahun selepas bertapak dalam industri muzik Hip Hop, Mawar Berduri melahirkan rasa bangga dengan pencapaian industri itu sejauh ini.

'

Mawar Berduri berkata: " Sekarang artis-artis Hip Hop sudah membiak, baik sekali. Muzik Hip Hop Melayu sendiri berleluasa."

Menurutnya, seperti juga muzik, penulisan lirik dan penggunaan bahasa dalam lagu-lagu Hip Hop Melayu turut berubah mengikut peredaran masa.

"Kalau dulu, kita banyak gunakan bahasa indah, mereka sekarang ada permainan kata dalam lagu-lagu. Sekarang mereka gunakan bahasa lebih santai, senang didengar, bahasa pasar. Kalau kita gunakan bahasa yang payah, kalau konteks lagu orang tidak faham pun, tidak boleh juga," ujar beliau.

Namun, beliau berpendapat bahawa penggunaan bahasa yang baik di dalam penulisan lirik lagu harus tetap dijaga.

"Cara penyampaian sudah berbeza. Ia sesuatu perubahan baik asalkan kita menjaga tatasusila apabila berkarya supaya apa yang kita ingin sampaikan kita dapat diterima dan sesuai dengan budaya kita," jelas beliau.

BERHIBUR SAMBIL MENGAJAR DAN BELAJAR

Menurut Mawar Berduri, lagu-lagu yang dihasilkan beliau dan rakan-rakan seperjuangan menitikberatkan lirik, jalan cerita dalam lagu yang ingin disampaikan.

Beliau menjelaskan bahawa ia secara tidak langsung akan membuat para pendengar berfikir.

"Lagu-lagu kami kadangkala akan ada perkataan yang orang mungkin tidak tahu. Mereka akan membuka kamus dan memahami makna perkataan. Secara tidak langsung, kita belajar sambil berhibur dengan para pendengar," ujar Mawar Berduri.

Bagi Qis dan Mawar Berduri, mereka berharap karya-karya mereka bukan sekadar untuk hiburan.

Selain menyampaikan buah fikiran dan pengajaran kepada masyarakat, mereka turut berharap untuk menarik minat para pendengar untuk menghargai seni kata lagu dan berminat untuk menulis dan berbicara dalam bahasa Melayu.

Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan