Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+ ART SG: Art SG: Pentas untuk seniman tempatan bersinar di pentas global

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Singapura terus menyerlah sebagai pusat seni dan budaya global melalui edisi ketiga festival seni, Art SG, yang bermula pada Jumaat (17 Jan).

Lebih 100 peserta dari 30 negara akan mengambil bahagian dalam festival itu, selari dengan Minggu Seni Singapura.

Art SG akan mempamerkan karya seni tempatan dan antarabangsa, termasuk seni pemasangan berskala besar, seni persembahan di ruang awam (PLATFORM), seni perfileman, serta siri ceramah yang menampilkan tokoh pemikir dunia seni, hasil kerjasama dengan yayasan seni terkenal dari London.

Festival itu memberi peluang kepada para seniman untuk membina rangkaian dengan pelabur dan pengumpul seni, sekaligus membuka peluang untuk membawa karya dan nama mereka ke pentas antarabangsa.

Bagaimanakah dua pelukis tempatan, Khairulddin Wahab dan Hilmi Johandi, memanfaatkan Art SG untuk meluaskan nama mereka?

PAPAR KARYA SENI VISUAL, PERFILEMAN & SIRI CERAMAH DI GALERI EKSKLUSIF & RUANG AWAM

Khairulddin Wahab, 34 tahun, menghasilkan karya seni dengan penuh kesabaran dan ketelitian.

Setiap lapisan cat disapu perlahan-lahan, mencerminkan dedikasi dan kehalusan sentuhan seorang seniman.
Khairulddin Wahab (Gambar: Roslinda Rahmat)
Sebagai pemenang Anugerah Lukisan UOB 2018 dan lulusan cemerlang Maktab Seni LaSalle, Khairulddin kini menyiapkan seni pemasangan berskala besar, berukuran 5x5 meter, untuk festival Art SG.

Dikenali dengan gaya seni ala batik serta inspirasi daripada sejarah dan landskap Nusantara, Khairulddin terus mengekalkan identiti unik dalam setiap karyanya.

Karya terbaharunya, yang berbentuk tiga layar kapal, menggambarkan tradisi pembinaan dan pelayaran kapal masyarakat Melayu, menzahirkan penghargaan terhadap warisan budaya serantau.

"Karya dan lukisan saya lebih berdasarkan kajian dan minat saya dalam sejarah alam juga sejarah Asia Tenggara Sebagai contoh, lukisan-lukisan saya yang lepas bertajuk ‘Landscape’ dan ‘Thousand Plateau’ ialah karya tentang sejarah persekitaran di Asia Tenggara," jelas Khairulddin sewaktu ditemui wartawan Roslinda Rahmat di studionya di Pusat Seni Goodman.
Karya Khairulddin Wahab (Gambar: Roslinda Rahmat)
Sejak diperkenalkan pada 2023, Art SG telah menjadi platform utama seni kontemporari, menampilkan pameran di galeri-galeri eksklusif di seluruh negara serta pameran terbuka untuk orang ramai.

"Kami berbesar hati untuk menampilkan barisan teguh galeri-galeri seni tempatan yang mewakili kalangan seniman-seniman kontemporari ternama. Teruja untuk mempersembahkan karya seni pemasangan baharu yang dikomisyenkan untuk Art SG dari Khairulddin Wahab, yang dianggap bakat yang amat mengujakan dari Singapura dan telahpun mula dikenali oleh kurator-kurator antarabangsa. Jadi kami fikir ini masa yang tepat untuk mempamerkan persembahan utama Khairulddin dalam festival ini, yang menonjolkan gaya lukisannya yang ikonik," ujar Pengarah, Pesta Seni Art SG, Yang Shuyin.

Meskipun karya Khairulddin Wahab telah dipamerkan di galeri seni sejak permulaan Art SG, tahun ini menandakan kemunculan utamanya di ruang awam.

"Saya akan mempamerkan satu karya lukisan bertajuk 'The Lands Below The Winds', atau dalam bahasa Melayu, 'Negeri di Bawah Bayu'. Ia merupakan seni pemasanga besar yang terdiri daripada tiga kanvas lukisan yang digabungkan menjadi satu," jelas Khairulddin.

Pengarah Art SG, Yang Shuyin, turut berkongsi pandangannya:

"Apa yang mengghairahkan kami tentang Art SG adalah peluang untuk memaparkan bakat-bakat muda yang penuh semangat dari Singapura dan Asia Tenggara, di samping seniman dari landskap seni global, termasuk nama-nama besar. Ia adalah peluang baik bagi seniman muda untuk dipaparkan bersama rakan-rakan seangkatan mereka yang berbakat."

BATU LONCATAN KE PENTAS SENI LUKIS MEWAH SEJAGAT

Salah satu daya tarikan utama Art SG adalah penyertaannya yang luas, dengan 106 peserta dari 30 negara.

Ini menjadikan festival itu platform berharga bagi seniman untuk bertemu pengumpul dan pelabur seni.

Antara mereka yang memanfaatkan peluang ini ialah Hilmi Johandi, pelukis berusia 37 tahun yang fokus pada penggambaran masa lalu Singapura.
Hilmi Johandi (Gambar: Roslinda Rahmat)
Penerima pelbagai anugerah termasuk Biasiswa Pasca-siswazah NAC 2017, Biasiswa LaSalle, dan Goh Chok Tong Youth Promise Award, Hilmi telah menjadi sebahagian daripada Art SG sejak pelancarannya pada 2023.

"Hilmi Johandi sudahpun mengukir nama sebagai antara pelukis muda Singapura paling cemerlang. Beliau sudah dipaparkan dalam sejumlah pameran juga acara muzium. Beliau juga dikomisyenkan penaja utama kami, UBS, untuk mencipta-semula lokasi mereka di Fort Canning, memaparkan Dhoby Ghaut dari era bersejarah," ujar Shuyin.

Hilmi sendiri mengakui manfaat besar yang diperoleh daripada penyertaannya dalam Art SG.

"Pengalaman saya buat ART SG ini telah memanfaatkan pendedahan untuk lukisan dan karya seni saya. Tiga tahun lalu, penyertaan saya yang paling pertama sekali, saya dapat peluang untuk pamerkan gambar lukisan agak besar. Jadi, pendedahannya pun ada juga di galeri Ota Fine Arts di ART SG ini. Pengalaman saya itu agak bernilai sebagai seorang seniman Singapura yang mempamerkan karya di wadah antarabangsa begitu lalu diwakili sebuah galeri yang pamerkan seniman bebas, kongsi Hilmi.

Selain dikomisyenkan untuk menghasilkan siri lukisan bagi penaja utama, bank global UBS, Art SG membuka peluang besar buat Hilmi Johandi untuk menembusi pasaran seni di China, Indonesia, dan Jepun.

Platform itu juga telah melonjakkan nilai karyanya hingga mencecah puluhan ribu dolar setiap satu.

"Biasanya mengambil tempoh jangka yang panjang untuk dapatkan nilai itu. ART SG telah berikan peluang untuk pengumpul seni dari rantau ini atau khalayak antarabangsa untuk mendedahkan kita kepada karya seni itu, untuk beri peluang lebih luas,' kongsi Hilmi.

Cik Yang turut menekankan kepentingan memberi sorotan kepada bakat tempatan.

"Dalam setiap edisiART SG, kami selalu memberikan sorotan kepada para seniman dan penerbitan seni Singapura demi memaparkan kerancakan senario seni kontemporari kita, tetapi juga kekuatan sekolah-sekolah seni tempatan, pengamal seni dan bakat-bakat baharu," kongsi beliau sewaktu ditemui di Ota Fina Arts yang terletak di Gillman Barracks.

TENUNAN KAIN 60 METER SEMPENA SG60

Sempena ulang tahun ke-60 Singapura, sebuah karya seni tekstil hasil tenunan berdaya mampan akan dipamerkan di Studio Seni UBS.

Karya sepanjang 60 meter ini melibatkan usaha kolaborasi 80 pelajar dan sukarelawan.

Pameran akan berlangsung sempena festival Art SG, dari 17 hingga 19 Januari.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan