BERITA+ ART ON THE HILL : Usaha gabungan seniman berbilang seni untuk bimbing seniman muda
Itulah yang diusahakan oleh sekumpulan seniman tempatan menerusi pameran seni tahunan yang diberi nama 'Art on the Hill' di Mount Emily yang diadakan bersempena dengan Minggu Seni Singapura antara 19 hingga 28 Januari lalu.
KONTENA YANG MENYIMPAN JIWA BESAR 6 SENIMAN
Pameran diadakan di kontena-kontena dan bangunan di Mount Emily.
Setiap studio menawarkan gambaran unik tentang keseluruhan proses kreatif termasuk kaedah, motivasi dan inspirasi di sebalik karya-karya seni yang dihasilkan.
Contohnya dalam kontena sebelah tengah, hanya empat hasil seni tembikar di sebelah atas rak di sudut hujung adalah milik tuan punya kontena, yang merupakan Seniman & Guru Tembikar Seni Visual, Encik Ahmad Abu Bakar.

Seniman arca tembikar itu tidak lokek berkongsi ilmu.
"Minat yang serius, betul-betul bersemangat, disiplin dan mempunyai rasa 'lapar untuk berkarya'. Semua ciri ini perlu untuk menjadi seorang seniman yang profesional. Saya ini seorang seniman visual, di mana selalunya saya berkarya menggunakan tanah liat tetapi hasil karya saya lebih cenderung kepada seni pemasangan ataupun arca.
"Menjadi satu tanggungjawab untuk kita yang sudah berlabel agak 'senior', untuk memberi peluang dan contoh kepada mereka yang sedang bertapak."
Seniman Lukisan Arang & Elektronik, Adi Yadoni pula memaparkan seni berbilang media.

"Saya dilatih sebagai seniman, membuat kerja-kerja melukis. Tetapi setelah beberapa tahun, saya rasa bosan. Saya ambil kamera dan merakam video. Dan saya rasa itu adalah satu loncatan progresif, di mana media memainkan peranan penting untuk saya berhubung dengan peminat-peminat seni.
"Jadi saya rasa kita jangan terlalu tertakluk dengan satu genre saja. Teroka dan buatlah kesilapan. Kemudian, buat lagi."
Beliau juga mengerti pentingnya memberi peluang dan ruang untuk seniman-seniman baharu menonjolkan bakat.

"Sewaktu saya masih belajar, kita selalu ada masalah tentang tempat. Tempat untuk membuat lukisan, pameran dan sebagainya. Kita selalu ada perbincangan tentang galeri-galeri yang mahal. "Jadi apabila saya dan teman-teman yang lain mendapat tempat ini, salah satu daripada misi kami adalah membuka ruang untuk artis-artis muda. Mereka datang sini, mereka dapat inspirasi. "Mereka juga dapat cuba seperti membuat seramik - kotorkan tangan, atau menikmati 'art jamming'. Juga peluang untuk mempelajari proses seni membakar kaca. Mungkin juga dapat mencuba tinta Cina."
SENI YANG JARANG DIKETAHUI
Berkat sokongan Majlis Seni Kebangsaan dan Minggu Seni Singapura, rumah terbuka 'Art on the Hill' itu juga menawarkan pengalaman holistik dalam penghargaan dan penciptaan seni kaca yang jarang diketahui.

"Saya mula buat seni kaca lebih 20 tahun lalu setelah meraih ijazah dari United Kingdom. Ada kaca yang diwarnakan, kaca gereja, lalu ada acuan, cairkan, lapiskan. Boleh tambah warna, tekstur dan kerja grafik yang cantik. Saya fikir kita boleh bekerjasama bukan sahaja di kalangan seniman, mesti lebih daripada itu," kata seniman Kaca, Tan Sock Fong.
Gabungan seniman-seniman berbilang bangsa ini bukan sekadar menawarkan ruang ekspresi tetapi juga penyatuan budaya.
Seperti yang dilakukan seniman tinta Cina, Sunar Sugiyou.

"Sejarah tinta Cina sudah lama, dalam 5,000 tahun. Tetapi saya modenkan tradisi Cina, menggabungkan dengan gaya saya. Saya juga menggunakan tinta Cina yang orang Cina sendiri tidak pernah buat. Pada kain, pada batu, pada kayu. Dan apa-apa jua bahan saya boleh melakukan eksperimen. Dari situ, saya berkembang," kata beliau.
Peluang berharga bak menyaksikan muzium hidup di puncak Mount Emily diwujudkan demi merangsang minat dan penghayatan khalayak.
Kontena PietrArts yang terletak di hujung deretan tiga kontena di atas Upper Wilkie Road itu juga mahu memupuk dan memberi ruang kepada seniman untuk bereksperimen.
"PietrArts bermakna 'seni batu' dalam bahasa Inggeris. Kumpulan ini amat membantu. Saya kenal ramai seniman yang menggunakan wadah berbeza. Kami belajar daripada satu sama lain. Saya pengukir pasir di dalam dan luar negara, selama 25 tahun. Menggunakan desain ukiran pasir yang lalu, saya mereka ukiran batu yang lebih kekal. Dan saya harap ada yang menyukainya dan saya boleh membesarkan saiznya kepada empat atau lima meter tinggi," jelas seniman Ukiran Pasir dan Batu, JOOheng Tan.
Seorang lagi seniman muda yang memanfaatkan usaha berkongsi ilmu di Mount Emily ialah seniman lukisan minyak, Wong Jun Da.
Beliau sudah mula menerapkan bahan-bahan baharu dalam karyanya.
"Menggunakan wadah baharu seperti batu, apabila kita gabungkan kedua-dua wadah berbeza, hasilnya adalah kesan yang amat menarik."
Sememangnya inisiatif "Art on the Hill' bukan setakat paparan karya seni yang menyemarakkan imaginasi.
Acara interaktif itu memupuk semangat kemasyarakatan, merapatkan jurang antara pencipta seni dan penonton.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.