Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Apakah rahsia perkahwinan yang bahagia?

Perkahwinan ibarat ikatan untuk hidup berpasangan. Banyak penyesuaian yang perlu dibuat, ada kalanya pergeseran mungkin timbul dan memerlukan persefahaman. BERITAmediacorp bertemu dengan dua pasangan untuk mendapatkan rahsia kebahagiaan rumah tangga mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Perkahwinan ibarat ikatan untuk hidup berpasangan.

Banyak penyesuaian yang perlu dibuat, ada kalanya pergeseran mungkin timbul dan memerlukan persefahaman.

BERITAmediacorp bertemu dengan dua pasangan untuk mendapatkan rahsia kebahagiaan rumah tangga mereka.

MASING-MASING PILIHAN IBU BAPA

Encik Ahmat Pagi, 69 tahun dan Cik Hamidah M Noor, 65 tahun sudah hampir 50 tahun berkongsi hidup sebagai suami isteri.

Mereka dipadankan kedua orang tua, ketika masing-masing masih dalam lingkungan remaja.

"Saya dengan makcik ini dijodohkan oleh orang tua kita. Saya tak kenal dia, dia tak kenal saya. Kita tak membantah kehendak orang tua kita," kata Encik Ahmat.

Melayari kehidupan dan bahtera rumahtangga pada awalnya bukan semudah yang disangka.

"Saya mula belajar untuk menyayanginya enam tahun selepas perkahwinan kami. Selepas enam tahun baru saya rasa 'ya, saya telah pilih lelaki yang tepat'," kata Cik Hamidah.

''(Gambar: Syawal Yusoff)

Menurut pasangan itu, mereka tidak berpeluang untuk mengenali satu sama lain sebelum diijabkabulkan kerana hanya jumpa sekali sahaja di satu majlis keramaian.

"Yalah kita terus nikah dan sanding kan. Jadi kita berbual cuma rutin. Nak makan, nak minum itu saja," tambah Cik Hamidah,

Pastinya mengekalkan kasih sayang sesama suami isteri memerlukan kerjasama dan usaha yang berterusan.

"Gaduh itu tidak. Tapi bertekak, bertukar-tukar fikiran. Ada dia tak suka. Saya suka begini, dia tak suka saya begini. Sebelum kita melakukan sesuatu ini, kita akan berbincang dulu. Cara yang macam mana yang lebih baik. Ia mengambil masa," jelas Encik Ahmat.

(Gambar: Syawal Yusoff)

CINTA TIDAK KENAL USIA, TEMPOH PERKAHWINAN

Pasangan yang tidak dikurniakan cahaya mata itu bahagia tinggal di flat studio mereka.

Namun sayangnya, kehidupan berumahtangga tidak terlepas daripada ujian dan dugaan.

Encik Ahmat menderita sakit ginjal sejak 12 tahun yang lalu dan perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu.

Bekas pemandu teksi itu juga terpaksa berhenti kerjanya akibat penyakit itu.

Cik Hamidah pernah bertugas sebagai seorang pegawai perkhidmatan pelanggan juga berhenti kerja untuk menjaga suami tercinta.

Pada saat susah dan senang, Cik Hamidah memastikan segala keperluan rumahtangga dan perubatan suaminya terjaga.

Bagi mereka, usia atau tempoh perkahwinan tidak seharusnya menjadi penghalang untuk mempamerkan kasih sayang.

"Satu hari nanti apabila salah seorang daripada kita pergi, anda akan keseorangan. Kalau pada hari itu anda hendak curahkan kasih sayang, di mana? Sudah tiada lagi. Kemudian akan menyesal seumur hidup. Jadi selagi hidup, kita curahkan kasih sayang kita, tunjukkan cinta kita," ujar Cik Hamidah.


Ditanya apakah ciri-ciri satu sama lain yang menambat hati mereka, ini jawapan pasangan romantis itu.

"Saya suka apabila dia (Encik Ahmat) mengaji. Jadi kalau saya tidak boleh tidur, nanti saya katakan, 'mengajilah bang'. Nanti dia akan mengaji sampai saya tertidur," tambah Cik Hamidah.

Bagi Encik Ahmat, masakan isteri tetap menjadi hidangan kegemarannya.

Apa yang penting dalam keutuhan perkahwinan adalah sikap tanggungjawab dan keikhlasan antara suami dan isteri.

PASANGAN MUDA BUAT PERSEDIAAN CUKUP SEBELUM BERNIKAH

Muhammad Lutfi Khalis Mohd Juffry, 24 tahun dan isterinya, Anda Chaudhry, 26 tahun mendirikan rumahtangga kurang dua tahun selepas berkenalan.

Namun perjalanan ke jinjang pelamin ditempuhi dengan cabaran.

"Ada kawan-kawan yang bertanya 'Kau cukup duit ke?'. Walaupun ia tidak dinyatakan secara terus terang, namun kami fahami maksud mereka," kata Lutfi.

Anda menambah: "Ibu bapa Lutfi ada membantahnya sedikit. Tetapi kerana dia masih bersekolah. Dan ibunya ingin pastikan dia tidak rasa tertekan atau ia menjejas pelajarannya."

"Bapa saya juga bertanyakan pada saya 'Adakah anda bersedia untuk memastikan kewangan stabil dalam keluarga?' Dia juga ada bertanya kepada suami saya 'Adakah anda bersedia untuk menerima kenyataan bahawa Anda adalah yang akan menanggung keluarga ini?'" tambahnya.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Untuk memastikan mereka benar-benar sedia bagi alam perkahwinan, pasangan ini menghadiri kursus-kursus persiapan perkahwinan dan merujuk dengan mereka yang lebih berpengalaman.

"Kami bertanyakan kawan-kawan kami yang sudah berkahwin apakah masalah-masalah yang akan kami hadapi apabila baru kahwin," kata Anda.

Pasangan itu juga sudah menjalani program Bersamamu yang membimbing para bakal mempelai bagaimana untuk melayari peringkat awal perkahwinan mereka

"Saya mengesyorkan semua pasangan muda untuk menjalaninya kerana ia meletakkan perkahwinan dalam perspektif yang baru," jelas Anda.

"Kami mendapat lebih banyak pengetahuan tentang apa yang perlu dijangkakan. Jadi ia memberi saya dan Anda kesedaran sama ada kami bersedia untuk perkahwinan," tambah Encik Lutfi.

(Gambar: Syawal Yusoff)

Anda adalah seorang usahawan dan 'influencer' atau pempengaruh yang dikenali dengan gelaran 'AndaTheSea' dengan lebih 31,000 pengikut di Instagram.

Lutfi masih menuntut di universiti untuk menjadi seorang Jurutera Kapal Terbang.

Alam rumah tangga penuh dengan pancaroba apatah lagi pasangan muda seperti mereka.

Namun bagi Anda dan Lutfi komunikasi adalah cara terbaik untuk meleraikan segala masalah dan salah faham.

"Kami menghargai waktu 'me-time' masing-masing. Saya banyak melakukan perlajanan. Saya tidak membawanya kerana dia harus ke sekolah dan bekerja. Dan saya memberitahunya, kehidupan saya tidak berhenti. Dan saya tidak rasa kita perlu ada pemikiran dimana saya perlu hentikan segala-galanya untuk pasangan saya," ujar Anda.

(Gambar: Syawal Yusoff)

ASPEK KEWANGAN, ANAK-ANAK, MERTUA PERLU DIAMBIL KIRA

Naib Kadi, Ustaz Nuzhan Halim membimbing para pasangan menerusi program Bersamamu.

Selain perancangan kewangan dan anak-anak, beliau menasihati para pasangan supaya memikirkan penyesuaian pada kehidupan mereka selepas berumahtangga.


"Semangat dan sokongan ini yang sangat penting dalam sebuah pasangan. Melalui fasa-fasa penting dalam hidup mereka seperti awal perkahwinan. Kita perlu persefahaman. Dan persefahaman ini hanya akan wujud bila kita dapat mendengar dengan efektif," kata Ustaz Nuzhan.

"Bagaimana menyesuaikan diri dengan norma-norma yang ada di rumah mertua dan bagaimana membina hubungan dengan mertua daripada sekarang," tambahnya.

Lebih 18,000 pasangan sudah meraih manfaat daripada program tersebut sejak ia dilancarkan pada 2019.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan