BERITA+: Apabila flat HDB menjadi kebun dengan lebih 100 jenis pokok...
Hobi berkebun dalam rumah termasuk di flat-flat HDB kian menarik perhatian ramai lebih-lebih lagi pada waktu pandemik ini.
BERITAmediacorp: Hobi berkebun dalam rumah termasuk di flat-flat HDB kian menarik perhatian ramai lebih-lebih lagi pada waktu pandemik ini.
Menurut seorang pemilik kedai tanaman, golongan yang baru berjinak-jinak dengan hobi itu yang melanggani kedainya melonjak 10 kali ganda sejak dua tahun lalu.
Golongan ini dijangka menjadi sebahagian daripada golongan pengumpul tanaman nanti.
LEBIH 120 JENIS TANAMAN DALAM RUMAH...
Antara pengumpul mapan dalam kegiatan berkebun di rumah ialah Muhammad Syahid Shamsuri, 24 tahun, yang memiliki lebih 120 jenis tumbuhan di rumahnya.
Minatnya bercucuk tanam berputik empat tahun lalu selepas menjalani kursus Diploma Reka Bentuk Landskap dan Hortikultur atau seni pengurusan taman.
"Saya mula dengan lima tanaman yang kecil sahaja. Saya ingat tanaman pertama saya adalah Chinese Evergreen yang berwarna merah, tanaman yang mudah untuk jaga. Dari lima jadi 10, 10 jadi 20. Sekarang pokok-pokok saya 120 tumbuhan," kata Syahid.
Namun, berkebun dan mengumpul hingga lebih 100 tanaman bukanlah sesuatu yang mudah bagi Syahid. Ia juga memerlukan masa dan usaha, kata beliau.
"Menjaga tanam-tanaman ini banyak percubaan dan belajar daripada kesilapan. Saya pun tidak mula sebagai seorang pakar. Bila saya mula-mula berkebun, saya rasa lebih 20 tanaman saya rosak. Tetapi saya tidak putus asa dan cuba lagi dengan tanaman baru," ujar Syahid.
Seorang pencinta alam, Syahid kini kebanyakannya menyimpan tanaman hiasan kerana nilai estetikanya dan lebih 80% koleksinya merupakan jenis 'Aroids'.
"Keluarga Aroids ini ada banyak jenis. Mereka lebih dikenali untuk bentuk dan warna dedaunnya. Misalnya, tanaman philodendron. Boleh lihat daunnya berbeza seperti biasa, jadi orang akan tertarik. Kalau tanaman Caladium Moonlight, dikenali untuk warna daunnya yang berwarna putih," jelasnya.
"Kita ada tanaman Monsterra Elbow. Ia berharga beberapa ratus dolar, dan yang paling mahal saya tahu, sekitar S$40,000."
BILIK TIDURNYA JUGA PENUH DENGAN TANAMAN EKSOTIK
Bagi memastikan ratusan tanam-tanamannya itu mendapat sinar cahaya yang memadai, Syahid juga perlu bermain dengan ruang.
Pokok-pokok jenis yang lebih "cerewet" dan memerlukan jagaan lebih rapi beliau simpan di biliknya.
"Saya ada tanaman bernama Anthurium Veitchii 'King'. Tanaman ini sensitif. Ia boleh didapati di habitat semula jadi altitud tinggi seperti Hutan Hujan Amazon. Saya letaknya di dalam bilik sebab ia memerlukan sekitaran dikawal. Ada sedikit kabus dan saya letak lampu LED. Jika saya letaknya di luar, peluangnya untuk hidup agak tipis," jelas Syahid.
Meskipun menyimpan tanaman di biliknya, ia tidak bermakna tiada cabaran tersendirinya.
"Banyak cabarannya. Paling biasa adalah perosak dan penyakit yang menjejas tanaman," jelasnya.
"Kalau dilihat secara dekat, ada banyak perosak mikro, ada serangga kecil dan ada juga virus yang kita tidak boleh nampak. Jadi itu semua saya perlu tahu jaga dan bersihkan supaya tanaman dapat tumbuh sihat di sini."
Dalam mengharungi pelbagai cabaran apabila menjaga tanamannya, Syahid tetap merasa kepuasan melihat mereka tumbuh dan mekar.
"Apabila saya lihat ada tumbuhan yang baru, rasa 'syiok'. Boleh lihat kerja keras saya betul-betul 'berbuah'. Tanaman ini apabila kita menjaga dengan baik, mereka akan memberi kita ganjaran melalui dedaun baru yang tumbuh," kata Syahid.
DULU PENGKUMPUL, TAPI KINI MENIAGA LEBIH 1,000 JENIS TANAMAN
Dari minat berkebun di rumah, ada pula yang bercambah menjadikannya suatu perniagaan.
Itulah yang dilakukan Muhammad Effendi Muhammad Sani, 32 tahun, pemilik syarikat Little Botany yang ditubuhkan sejak 2018.
Di bawah jagaan jari jemari hijaunya, Encik Effendi ada lebih 1,000 jenis tanaman termasuk yang jarang ditemui dan direbut golongan pengumpul tanaman.
Contohnya sebatang pokok pisang yang mempunyai daun jenis 'variegated'.
Pelanggan seharian di kedainya juga termasuk golongan yang baru mencuba berkebun di rumah. Manakan tidak, harga tanaman di kedainya ada yang serendah S$6 sahaja.
Encik Effendi berkata: "Saya rasa semasa pandemik ini, ramai orang yang simpan pokok untuk hilangkan tekanan. Tanaman pokok juga berfaedah untuk kesihatan mental. Itulah indahnya, sebab bercucuk tanam amat menenangkan dan sepi.
"Kalau ada kawan untuk buat sama-sama jadi seperti merapatkan hubungan. Jadi bercucuk tanam satu hobi yang semua orang boleh buat."
Lantaran itu, Encik Effendi juga bersyukur kerana perniagaannya semakin berkembang di tengah-tengah pandemik.
Menurut pemerhatiannya, jumlah pelanggan yang baru berjinak-jinak mahu bercucuk tanam bertambah 10 kali ganda semasa pandemik.
"Kalau pada hujung minggu selalunya pada permulaan boleh katakan 20 pelanggan yang datang tetapi sekarang kita boleh dapat 200 orang datang ke tempat ini," ujarnya.
MENGAPA TANAMAN BOLEH ROSAK
Menjaga tanaman bukanlah semudah yang disangka. Ada pelbagai perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum membeli tanam-tanaman untuk dijaga.
Encik Effendi berkata bahawa sebelum memiliki tanaman, semua orang perlu memahami cahaya yang memasuki rumah.
Menurutnya, sinar mentari ada tiga kategori.
"Kategori satu cahaya penuh atau dipanggil 'full sun'. Kedua, cahaya terang atau 'bright indirect light'. Dan ketiga adalah di tempat teduh, kurang terang. Selalunya untuk rumah-rumah HDB di dalam kategori dua, cahaya terang," jelasnya.
Dalam memahami tahap kekuatan cahaya matahari, si pembeli juga perlu memahami ciri-ciri tanaman.
"Pokok-pokok jenis philodendron atau jenis sansevieria lebih sesuai untuk kategori cahaya terang. Ia tidak boleh diberi cahaya matahari yang penuh sebab dedaunnya tipis dan senang rosak," tambah Encik Effendi lagi.
Pernah terfikir mengapa tanaman anda tidak tumbuh segar? Ini panduan Encik Effendi:
"Selalu bagi mereka yang baru bermula, pokoknya mati sebab tanahnya terlalu lembap sangat. Jadi kita perlu gunakan bahan-bahan seperti 'pumice' atau batu apung untuk membuatnya telus air dan mengelakkan air bertakung.
"Kita juga harus menggunakan baja untuk pokok supaya ia lebih sihat. Baja selalunya nampak sebegini. Ia dipanggil baja pelepasan perlahan. Letak satu sudu teh setiap tiga bulan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.