Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Antik atau vintaj? Keunikan, nilai dan peminat tersendiri

Nilai barangan lama bukan hanya pada harganya terutama sekali jika anda mewarisi barang tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
BERITA+: Antik atau vintaj? Keunikan, nilai dan peminat tersendiri

(Gambar ihsan: Hotlotz (kiri), Treasure At Home/Facebook (kanan)

SINGAPURA: Apabila Encik Matthew Elton pertama berhijrah ke kota Singa pada 2015, beliau mendapati agak sukar untuk mencari perhiasan rumah antik dan terpakai yang bermutu di sini.

Pengalaman itu mendorong beliau untuk memulakan Hotlotz, iaitu sebuah syarikat jualan lelong yang menawarkan khidmat penilaian dan penjualan barangan antik serta yang terpakai.

Namun, tidak seperti syarikat jualan lelong lain, koleksi yang ditawarkan begitu rencam - dari barangan bernilai tinggi seperti porselin purba dan perabot antik, hingga produk yang lebih mampu milik seperti peta lama dan aksesori berjenama.

"Semua yang kami jual diperoleh dari rumah di Singapura atau koleksi seseorang di Singapura. Dan terus terang, individu-individu yang konsain sangat pelbagai, bukan satu jenis orang saja. Pengumpul datang dari pelbagai latar belakang," kongsi Encik Matthew yang memegang jawatan sebagai Pengarah Pengurusan syarikat itu.

Jun lalu, sebuah lukisan dakwat seniman tempatan Chen Wen Hsi yang pernah dimiliki Ketua Menteri pertama Singapura, David Marshall, berjaya dilelong Hotlotz pada harga S$35,000.

Pasu porselin China karya zaman Yongzheng pula memecah rekod dunia pada Mei 2020 sebagai antik paling mahal dilelong secara online.

Harganya? S$5.5 juta.
 

Untuk memahami lebih lagi faktor-faktor yang menyumbang kepada nilai sesebuah barangan lama, BERITAmediacorp membawa beberapa contoh gelas kaca, pinggan bunga kangkung dan barang kemas pusaka yang lazim ditemui di rumah keluarga Singapura untuk dinilai.

Demikian penerangan Encik Matthew:

"Jika kita lihat (gelas) kaca ini, ini yang kita panggil vintaj. Ia pastinya bukan berusia 100 tahun, ia bukan antik. Garisan di tepi pula menunjukkan gelas ini dibentuk menggunakan acuan."

"Pinggan (bunga kangkung) ini sebahagian dari set yang lebih besar jadi ini hanya sebahagian kecil daripadanya (dan tidak lengkap). (Corak bunga) ini bukan dilukis dengan tangan, ia cetakan pemindahan. Malangnya, saya fikir tiada nilai jualan (lelong) di situ," kongsi Encik Matthew sambil membelek-belek pinggan berkenaan.

"Bagi barang kemas pula, berlainan sebab emas dan batu berlian mempunyai nilai intrinsik.

"Kami akan mencari tanda-tanda, dan kami akan kenal pasti emas yang digunakan. Dan kami akan dapatkan bantuan pakar batu berlian untuk memeriksa batu-batu itu untuk mengenal pasti jenisnya. Kami akan ambil kira nilai intrinsik tersebut, berapa jarang ditemui, kehalusan kerja tangannya, berapa mudah untuk mencari sesuatu yang serupa. Nilainya kami tetapkan pada gabungan tersebut," sambung beliau.

MEMILIKI SECEBIS SEJARAH PADA HARGA BERPATUTAN

Namun, nilai barangan lama bukan hanya pada harganya terutama sekali jika anda mewarisi barang tersebut.

Setiap sudut kedai vintaj Treasure At Home dipenuhi khazanah berharga yang mempunyai nilai warisan, sentimental dan cerita di sebaliknya.
 

Bermula sekadar hobi pada 2012, pasangan suami isteri Mohamed Sadri Mohamed Farick dan Nur Aryana Aziz mengambil langkah berani membuka sebuah ruang runcit di Bangunan Perindustrian Sindo setelah mendapati ramai yang berkongsi minat pada barang lama.

"Ada yang sudah berpindah negeri. Ada yang menelefon saya, macam mana nak hantar barang-barang saya ini ke luar negeri. Mereka kata tidak kisah harga pengirimannya. Janji saya boleh ingat masa saya kecil di Singapura. Itu yang membuat kami semangat untuk mencari barang-barang itu lagi," ujar Encik Sadri.

Memandangkan barangan yang ditawarkan Treasure At Home bukan tergolong antik - harganya berpatutan untuk menyimpan secebis sejarah.

"Nama (kabinet ini) 'U-leg' kerana (bentuk) kakinya macam huruf U. Jadi, ini pada tahun 1950-an, sangat popular. Dalam filem Anak-ku Sazali, makcik saya iaitu seniwati Zaiton, menari dengan Allahyarham P Ramlee, di belakangnya U-leg ini," kongsi Encik Sadri teruja.
 

Dulang bulat yang dihiasi wajah seniwati jelita, Maria Menado, pula dahulu diberi secara percuma namun menurut Encik Sadri kini boleh dijual pada harga mencecah S$500 kerana begitu sukar untuk didapatkan lagi.

Jadi, apa tarikan barangan vintaj yang membuatnya malar segar kepada penggemar?

"Tiga perkataan sahaja - 'Pandang tak jemu'. Inilah barang-barang lama. Kalau letak di satu rumah itu, di satu penjuru, itulah dia punya ‘karakter'. Coraknya, mutunya sudah lama kan? 50 tahun, 60 tahun kadang-kadang. Masih utuh lagi," kata beliau.

Encik Sadri menambah para penggemar barangan vintaj memburu sesuatu yang original dan setiap perabot vintaj mempunyai cerita di sebaliknya.

Warisan barangan lama pasti mengimbau kembali segala nostalgia zaman datuk nenek dahulu yang boleh dikongsi bersama anak.

Sama ada minat pada barangan vintaj atau antik - setiap daripadanya mempunyai keunikan dan nilai tersendiri dan melengkapkan koleksi pengumpul memiliki secebis sejarah yang unik. 
 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan