Skip to main content

Singapura

BERITA+: Anak selebriti berniaga, papar semangat berdikari, kreativiti perjuangkan tradisi & warisan

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi?

Di tengah-tengah kesibukan bazar Ramadan Kampong Gelam dengan segala tarikannya, dua orang anak selebriti, Lydia Izzati dan Danish Anaqi, mengorak langkah menanam semangat keusahawanan.

Mengambil inspirasi daripada kejayaan orang tua mereka, kedua-duanya membina jenama yang mencerminkan nilai budaya, tradisi dan inovasi tanpa bergantung kepada populariti keluarga.

ANAK GEN Z DENGAN JIWA KLASIK DAN TRADISIONAL

Danish Anaqi Aaron Mustapha, 21 tahun, anak kepada pasangan pelakon Aaron Aziz dan Diyana Halik, baru sahaja tamat perkhidmatan negara.

Menerusi jenama pakaian tradisional Melayu, Gangsa.Co, Danish mahu mempopularkan kembali gaya dan potongan baju era tahun-tahun 50-an dan 60-an.
Danish Anaqi Aaron Mustapha di gerainya. (Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp)
"Gangsa.Co itu bukan hanya perniagaan tetapi juga gerakan budaya kerana Danish hendak membawa balik budaya kita yang dilupakan," kongsi Danish Anaqi kepada wartawan Roslinda Rahmat.

"Gaya dan stail daripada 50-an, 60-an pakaian Melayu adalah paling ikonik untuk pakaian tradisional kita. 50-an dan 60-an juga tahun dan zaman kegemilangan filem serta industri seni Melayu. Jadi Danish hendak bawa balik gaya dan baju dari zaman itu supaya orang muda dan masyarakat Melayu terkini tidak akan lupakan keistimewaan busana kita," tambahnya.

Di bazar Gemilang Kampong Gelam yang terletak di Kandahar Street, Danish menawarkan koleksi baju kurung lelaki dan wanita yang sopan lagi selesa.
Di bazar Gemilang Kampong Gelam yang terletak di Kandahar Street, Danish Anaqi Aaron Mustapha, 21 tahun, menawarkan koleksi baju kurung lelaki dan wanita yang sopan lagi selesa. (Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp)
"Baju kurung lelaki dan perempuan yang kita boleh lihat di zaman 50-an dan 60-an - bajunya semua longgar, tidak tunjuk bentuk badan, lengannya semua lebar dan untuk lelaki, seluarnya pun potongannya lurus, bukan? Bajunya memang sopan," jelas Danish.
Minat Danish terhadap warisan dan baju Melayu jelas apabila sewaktu tamat kuliah, beliau mengenakan baju Melayu lengkap di bawah jubah tamat kuliahnya. (Gambar ihsan: Diyana Halik)
Satu-satunya anak lelaki pelakon Aaron Aziz itu minat dengan warisan budaya sejak kecil dan mahu memelihara keaslian baju tradisional Melayu.

Pemilihan nama jenamanya juga difikirkan sebaiknya untuk mencerminkan visi dan nilai budaya Melayu.

"Berbincang dengan bapa saya tentang apakah nama-nama yang ada potensi untuk jenama saya. Katanya, 'Kalau Danish tidak boleh fikir atau tidak boleh jumpa nama yang senang dalam kamus, lebih baik Danish gabungkan dua atau tiga perkataan yang menggambarkan jenama Danish'. Jadi hendak membawa balik 'Gaya Bangsa Melayu', maka jadi lah 'Gangsa', perkataan yang sudah dilupakan oleh ramai orang muda," luah Danish kepada wartawan.

Beliau juga mendedahkan bahawa modal bagi Gangsa.co adalah daripada bapanya.

MENERUSKAN PERNIAGAAN SATE TRADISIONAL KELUARGA

Bagi seorang lagi anak selebriti, perniagaan hidangan tradisional pula menjadi tarikannya.

Anak pelakon Jasmani Basri iaitu Lydia Izzati menganggap perniagaan 'Satay Ummi' adalah satu penghormatan kepada warisan keluarganya.
Sebabagian daripada bazar Kampong Gelam. (Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp)
Nama "Satay Ummi" diberikan sebagai penghormatan kepada ibu dan ibu mertuanya, yang merupakan sumber inspirasi di sebalik sate goreng jualannya.

"Satay Ummi sebenarnya resipinya daripada ibu saya dan juga kuah kacang sate itu daripada ibu mertua saya. Sate adalah satu makanan yang autentik, yang mengenangkan budaya kita. Ia menyatukan keluarga sebab dalam bisnes ini, ia bukan melibatkan saya seorang tetapi ibu saya, ibu mertua saya, ayah saya, adik saya, semualah," ujar Lydia Izzati.
Anak pelakon Jasmani Basri iaitu Lydia Izzati menganggap perniagaan 'Satay Ummi' adalah satu penghormatan kepada warisan keluarganya. (Gambar: Roslinda Rahmat/BERITA Mediacorp)
Selain mewarisi bakat lakonan bapanya, semangat keusahawanan juga sudah dipupuk dari awal lagi.

"Saya ini anak yang paling rapat dengan ayah saya sebenarnya, maka sejak kecil lagi saya sering ikut ayah pergi buat penghantaran. Jadi, mungkin minat berniaga datang dengan sendirinya. Jadi sekarang setiap kali saya ada acara jualan, ada gerai, saya akan bawa anak-anak saya," kongsi Lydia.

Di samping memastikan mutu hidangan yang dijual, beliau juga menitikberatkan aspek lain perniagaannya termasuk bungkusan dan sistem khidmat pelanggan.

"Biasanya orang makan sate, jenis sate yang ditusuk lidi tetapi saya pula jual sate goreng. Jadi itulah satu inovasi yang saya buat sebab saya fikir dahulu, kalau kita makan sate, kita hendak senang. Saya juga terapkan sistem beratur sebab saya tahu kadang-kadang bila kita membeli makanan itu, kita tunggu lama. Jadi saya sentiasa buat juruwang itu, apabila ambil pesanan supaya menunjukkan kepada pembeli agar menunggu di sudut pengambilan. Jadi bila mereka sudah tengok nombor mereka terpapar, maknanya sudah tiba giliran mereka. Jadi itu lebih sistematik," jelas Lydia.

Selain bazar di Kampong Gelam, beliau juga membuka gerai 'Satay Ummi' di bazar Geylang Serai pada Ramadan ini.
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita