Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Akademi Singamoto asah bakat pelumba motor muda kejar impian ke MotoGP

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Musim motoGP membuka tirainya pada 6 Mac lalu di Qatar manakala pusingan kedua musimnya berlangsung di Lombok, Indonesia pada Ahad (20 Mac).

Setakat ini, belum lagi ada pelumba yang mewakili Singapura dalam sukan MotoGP.

Namun kini terdapat sebuah akademi tempatan yang berusaha mengasah bakat-bakat muda dalam sukan lumba motor.

Malah ada yang semuda murid darjah empat.

KELAJUAN DAN DEBARAN BERLUMBA PIKAT MINAT ANAK-ANAK MUDA

Motor lumba biasanya ditunggang juara-juara dunia MotoGP seperti Valentino Rossi dan Dani Pedrosa.

Seperti mana-mana pelumba, mereka semestinya bermula dari usia awal lagi.

Namun, mustahil kalau motor saiz besar dan seberat lebih 150 kilogram ditunggang oleh si cilik.

Sebenarnya ada sahaja motosikal saiz kecil sekitar 70 kilogram yang lebih sesuai untuk kanak-kanak untuk memecut laju.

Meskipun tidak menunggang motor-motor MotoGP dengan kelajuan melebihi 300km/jam, mereka tetap dapat merasakan kehangatan dan debaran berlumba.

Muhammad Amirrullah Rashid, 14 tahun, misalnya antara pelumba muda yang semakin berani meniru aksi-aksi berlumba di trek dengan motor miniGP.

Dia sebenarnya sudah didedahkan kepada sukan lumba motor sejak usianya 7 tahun lagi, menerusi tontonan perlumbaan-perlumbaan kejuaraan MotoGP dan World SBK.

Amirullah berkata: "Saya suka kelajuan dan adrenalin yang membuat kita suka dalam sukan motor ini. Apabila kita dapat memintas pelumba lain, itu yang rasa 'best'. Saya pernah bawa selaju 100km/jam untuk memintas pelumba lain. Saya rasa 'best' sebab dapat pintas pelumba lain dan angin pun sedap juga."

AKADEMI SINGAMOTO ASAH BAKAT 15 PELUMBA CILIK

Amirullah adalah antara 15 pelumba cilik bawah umur 16 tahun dalam akademi Singamoto - satu-satunya akademi lumba motosikal di Singapura.

Dalam masa setahun ditubuhkan, jumlah peserta sudah melonjak lima kali ganda.

Pengasas akademi Singamoto, Abdul Khaliq Nordin berkata kepada BERITAmediacorp: "Dulu masa baru kita mulakan, kita cuma ada 2, 3 pelumba muda saja. Mereka akan berlatih dengan pelumba dewasa sebenarnya."

Malah, anak-anak Melayu juga membentuk 80% para peserta akademi itu.

Encik Khaliq berkata: "Kita ingin mengembangkan sukan motor di Singapura, untuk kita mencari bakat-bakat muda di Singapura yang mereka suka dalam bidang motosikal ini."

"Kita ingin mengasah kemahiran mereka, membina mereka dan boleh membawa mereka ke tahap yang lebih baik," tambahnya.

Ada di antara peserta akademi Singamoto berusia semuda 10 tahun. Namun menurut Encik Khalik, pendedahan kepada sukan lumba motor pada usia sebegitu boleh dianggap 'agak terlambat'.

"Kalau kita tengok orang luar negara, mereka bermula dari umur 8, 6 tahun. Ada yang 4 tahun pun ada. Kalau kita lihat di rantau Asia saja, 6 tahun mereka sudah mula untuk betul-betul berlumba dalam sukan ini. Kita boleh lihat mereka boleh memperbaiki diri. Mereka menjadi lebih berani."

"Kalau kita tidak melatih mereka dari usia awal lagi, nanti bila umur meningkat 16,18 tahun ini sudah terlambat. Jadi yang terbaik adalah untuk mula dari usia awal sebab mereka akan berani," tambahnya lagi.

MIKA RENDYNO BAKAT MUDA BERPOTENSI SAINGI PELUMBA SERANTAU

Seorang lagi anak muda yang berjinak-jinak dalam dunia perlumbaan motosikal ialah Mika Rendyno.

Penuntut berusia 12 tahun ini merupakan antara bakat muda yang dianggap berpotensi untuk bersaing dengan para pelumba di rantau ini.

Bakatnya diasah sejak mula lagi, semasa pertama kali menunggang motor 'pocket'.

Belajar menunggang motosikal sebegini dahulu adalah penting untuk pelumba baru memahami perkara asas seperti kedudukan badan dan kaki semasa berlumba.

Meskipun Mika sudah biasa 'perah' enjin motor, dia akur banyak lagi yang perlu dipelajarinya lebih-lebih lagi mengimbangi badan semasa berlumba.

Manakan tidak, berat motor miniGP sekitar 70 kilogram itu lebih dua kali ganda berat badannya!

"Kali pertama saya cuba belok, sangat menggerunkan sekali. Saya ingatkan saya akan jatuh sebab sangat rendah dan kita juga sedang menunggang laju tetapi berdiri tegak atas motor adalah paling susah untuk saya sebab motosikalnya sangat berat," ujar Mika.

GAPAI CITA-CITA DENGAN SOKONGAN IBU BAPA

Bagi para pelumba muda dalam akademi Singamoto, mengejar minat berlumba tidak mungkin tercapai tanpa sokongan ibu bapa masing-masing.

Sukan lumba motor sebenarnya memakan belanja agak besar.

Ia memerlukan seseorang pelumba memiliki kelengkapan keselamatan asas seperti sut lumba, topi keledar selain perlu menyewa motor serta membayar yuran penggunaan trek.

Dalam masa setahun, ibu bapa Mika mengeluarkan biaya lebih S$10,000 agar Mika dapat terus mendalami bidang yang diminatinya.

Bapa Mika, Rendyno Muhd Ariffin berkata: "Sebagai orang tua, kita harus cuba sedaya upaya untuk menyokong mereka dalam minat-minat mereka. Seberapa jauh mana potensi mereka, adalah tanggungjawab kita untuk mereka capai potensi mereka.

Encik Rendyno juga berharap anaknya dapat mempelajari lebih daripada hanya teknik berlumba menerusi sukan lumba motor.

"Apa yang kita lihat dari sukan ini, dia dapat belajar dari segi disiplin, persiapan kerana ini semua perkara amat penting dalam sukan ini. Dia juga belajar mengendalikan kenderaan, mengambil keputusan dalam waktu sangat cepat. Kita harap dia dapat terus belajar," kata Encik Rendyno.

BERI LEBIH BANYAK PENDEDAHAN DENGAN LATIHAN LUAR NEGARA

Bagi memberi pengalaman yang berlainan, akademi Singamoto merancang untuk membawa para pelumba ke luar negara seperti Malaysia.

Encik Khaliq berkata: "Biarkan mereka bergaul dengan orang di sana. Pelumba di sana setiap hari setiap minggu berlatih. Kemahirannya berbeza dengan para pelumba di sini. Latihan mereka juga lebih kasar dari yang di sini."

"Dengan berlatih dengan mereka, dengan pelatih dan pelumba handal. Mereka boleh belajar teknik lain dan lebih banyak kemahiran. Sekarang di Singapura mereka mungkin dapat 50 hingga 60 peratus. Kalau ke luar negara, Malaysia, mereka mungkin boleh dapatkan lebih 40 peratus," tambah Encik Khalik.

Dengan ini, para pelumba seperti Amirullah dan Mika berharap mereka dapat membanggakan dan mengibarkan bendera Singapura di persada antarabangsa satu hari nanti.

Sumber : BERITA Mediacorp/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan