Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: Ada rupa, ada harga...Kuih Raya premium kian popular; pembeli hargai bahan, bungkusan bermutu tinggi

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Berapakah sanggup anda belanja untuk membeli kuih kegemaran anda?

Bagi para pembeli set biskut Raya premium yang ditawarkan The White Label, harga S$52 yang dikenakan tidak menjadi penghalang.

Sempena Lebaran tahun ini, restoran makanan 'fusion' itu menawarkan empat olahan baru kuih tradisional Melayu dan Perancis yang bertemakan teh - tart nanas gulung Osmanthus, bangkit keju Oolong, suji cip coklat Earl Grey dan gula nougat teh Mawar.

Semuanya cetusan idea kreatif cef pastri Nadhirah Norhan bersama pasukannya.

"Kami mengambil masa dalam dua bulan untuk lakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) lalu kami dapatkan empat jenis ini," kongsi Cik Nadhirah, yang ketika ditemui BERITAmediacorp, sedang sibuk membanting tulang di dapur untuk memenuhi tempahan.

Menurut beliau, proses pembuatan biskut Raya itu sendiri memakan banyak masa dan tenaga.

Inti tart nanas Osmanthus, misalnya, perlu diperap selama tiga hari supaya perisa tehnya lebih terserlah.

Mengambil kira tenaga buruh dan masa yang diperlukan, tidak hairanlah jika produk mereka dijual dengan harga lebih tinggi.

Mentelah lagi The White Label hanya menyediakan 100 set hadiah tersebut, dengan suku daripadanya sudah dijual sejak ia dilancarkan pada 15 April lalu.

HASIL KUIH CARA TRADISIONAL, BAHAN PREMIUM UNTUK KEKALKAN MUTU TINGGI

Di dapur pusat All Things Delicious pula, biskut Raya dihasilkan cara tradisional dengan kurang bergantung pada mesin. Jumlah yang dihasilkan juga kecil mengikut permintaan agar mutunya terpelihara.

Demi mengekalkan mutu yang tinggi juga, pengasas All Things Delicious, Cik Dewi Imelda Wadhwa, tidak kompromi dari segi mutu bahan mentah yang digunakan.

"Dari sudut bahan-bahan yang kami gunakan atau tidak digunakan, kami tidak menggunakan bahan tiruan seperti pewarna tiruan, perisa tiruan.

"Kami memilih untuk menggunakan bahan-bahan yang bermutu tinggi seperti mentega dari Denmark, cokelat berjenama Perancis," kongsi Cik Dewi Imelda.

Pengasas All Things Delicious, Cik Dewi Imelda Wadhwa (kiri) bersama para pekerjanya membuat kuih tart nanas secara tradisional dengan kurang bergantung pada mesin. (Gambar: Izzah Imran)

Maka itu, satu botol kuih Raya menggunakan bahan premium itu boleh mencapai harga sehingga S$35.

Selain kuih tradisional seperti tart nanas dan suji, All Things Delicious juga menawarkan biskut berperisa unik seperti gula melaka kelapa dan mentega matcha.

Semuanya siap dibungkus cantik untuk dihadiahkan kepada kenalan dan orang-orang tersayang.

Cik Dewi Imelda menerangkan: "Pelanggan-pelanggan kami adalah mereka yang mencari produk bakeri yang bermutu tinggi, yang baru dibakar dan segar. Mereka juga mencari bungkusan yang menarik dan cantik."

HBB VAINPOUT GUNA BAHAN ORGANIK, UTAMAKAN KESIHATAN PELANGGAN

Bahan mentah bermutu tinggi juga menjadi keutamaan bagi pemilik perniagaan dari rumah (HBB), Cik Hairina Abu Bakar, untuk membezakannya dari peniaga lain.

Perniagaan biskut dan kek beliau, VainPout, mula menggunakan bahan organik berikutan permintaan daripada pelanggannya yang prihatin tentang kesihatan.

"Perbezaan harga antara mentega Perancis dan mentega biasa, sikit lebih kurang S$2-3 untuk satu blok 250 gram. Tepung organik saya beli hampir mencecah S$10 tapi kalau harga tepung yang biasa, mungkin S$3-4 sudah boleh dapat," jelas beliau.

Sebagai peniaga kecil-kecilan, kos bahan mentah yang lebih tinggi tentu sekali memberi tekanan terhadap keuntungan Cik Hairina.
 

Pemilik HBB VainPout, Cik Hairina Abu Bakar, mula menggunakan bahan organik berikutan permintaan daripada pelanggannya yang prihatin tentang kesihatan. (Gambar: Izzah Imran)

Buat masa ini, harga kuih Raya VainPout adalah S$2 hingga S$5 lebih mahal berbanding harga pasaran.

"Alhamdulillah, saya tidak dapat banyak komen negatif dari segi harga. Mungkin pelanggan-pelanggan saya tahu kualiti produk biskut saya. Dari situ, mereka tidak kisahlah dengan harga yang saya tawarkan kepada mereka," kongsi Cik Hairina.

Dengan banyaknya kuih beraneka jenis, bentuk, rasa dan harga di pasaran - agak sukar untuk membuat pilihan.

Tidak dapat dinafikan, bahan mentah yang bermutu tinggi 'gerenti' rasa kuihnya sedap dan tahan lama - tetapi harganya mahal.

Para pembeli juga harus bersedia untuk membayar harga lebih tinggi jika bekas kuih yang digunakan cantik dan menarik berbanding balang plastik biasa.

Jadi, tepuk dada tanya selera.

Sumber : BERITA Mediacorp/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan