Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

BERITA+: 2 bekas penerima Anugerah MENDAKI tidak henti luaskan ilmu

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Seorang menceburi bidang kedoktoran manakala seorang lagi bertugas sebagai pencipta permainan video.

Haluan kerjaya yang dipilih dua bekas penerima Anugerah Mendaki ini amat berbeza tetapi kedua-duanya berpegang kepada prinsip mengejar ilmu tanpa henti.

Inilah yang menjadi pembakar semangat Dr Nurhidayati Mohamed Suphan dan Encik Muhammad Firman Osman yang terus meluaskan pengetahuan mereka agar kekal relevan dalam dunia yang pantas berubah. 

DOKTOR MILIKI 3 IJAZAH

(Gambar: Dr Nurhidayati Mohamed Suphan)

Dr Nurhidayati Mohamed Suphan ialah antara kumpulan pelajar terawal yang menerima Anugerah MENDAKI pada 1985 setelah lulus dengan cemerlang dalam Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE).

Sejak itu, beliau mengejar cita-citanya untuk menjadi doktor sehingga kini bergelar seorang pakar perbidanan dan sakit puan.

Tidak jemu belajar, perjalanannya tidak berhenti di situ. Meskipun sibuk menjalankan tugas sebagai doktor, beliau berkorban masa untuk meraih ijazah undang-undang dan sarjana eksekutif pentadbiran perniagaan (MBA), sekali gus menggenggam tiga ijazah.

"Saya rasa kalau kita mempunyai keyakinan diri ia memudahkan kita untuk mengharungi apa-apa cabaran yang datang semasa kita belajar," kata Dr Nurhidayati kepada BERITAmediacorp.

Bagaimanapun bidang kedoktoran kekal sebagai minat utamanya. Malah beliau sentiasa mencari cara untuk berkongsi nasihat dengan anak-anak muda yang berminat dalam sektor kesihatan.

Ini dilakukan misalnya menerusi Program Pendampingan Jagaan Kesihatan Muslim yang beliau terajui bersama doktor lain di bawah Persatuan Karyawan Penjagaan Kesihatan Islam (MHPA).

"Dulu-dulu kita tidak begitu ramai pekerja jagaan kesihatan, tetapi sekarang lebih ramai dan pada pendapat saya bagus kalau kita semua boleh bersatu padu demi menolong masyarakat kita. Kita tahu masyarakat kita mempunyai pelbagai penyakit. Kalau kita boleh bersatu kita boleh mungkin menggembleng tenaga dan lebih senang untuk menolong masyarakat kita," ujar Dr Nurhidayati.

Beliau melahirkan harapan melihat lebih ramai anak Melayu meneroka peluang luas dalam sektor kesihatan yang tidak terhad kepada bidang kedoktoran kerana banyak cabang lain menurutnya mempunyai peranan penting. Ini termasuk kejururawatan, fisioterapi dan farmasi.

Namun apa saja kerjaya yang dipilih, sama ada dalam bidang kesihatan atau sebaliknya, penting katanya untuk mempertingkat diri dengan ilmu yang relevan dan berguna untuk masa depan.

"Cuba mengetahui mengenai teknologi nano, pembelajaran mesin, kecerdasan buatan (AI), robotik kerana di masa hadapan pekerjaan mungkin sudah berubah daripada masa kini. Timba ilmu, belajar berterusan kerana situasi berubah dengan cepat. Tiba-tiba ada internet, Zoom, semua beredar dengan cepat. Kalau kita tidak terus belajar kita mungkin tidak akan setanding masyarakat lain. Mesti sanggup belajar sepanjang hayat," kata Dr Nurhidayati.

PENDIDIK JADI PENCIPTA PERMAINAN VIDEO

Semangat mengejar ilmu ini juga menjadi pegangan seorang lagi alumni Anugerah MENDAKI, Encik Muhammad Firman Osman.

Diiktiraf Anugerah Belia Harapan Goh Chok Tong pada 2009 setelah meraih diploma dalam rekaan media digital, beliau kemudian melanjutkan pengaijan ke universiti dan menjadi pensyarah reka seni permainan video di politeknik.

(Gambar: Md Firman Osman)

Tujuh tahun selepas menjadi pendidik beliau mencabar diri dan beralih ke industri permainan video yang pesat membangun di Singapura.

"Memang menakutkan kerana umur sudah 40 tahun tapi saya fikirkan, seperti nasihat saya kepada pelajar saya jangan takut, saya perlu amalkan untuk diri saya sendiri. Jadi, saya cuba InsyaAllah ini akan menjadi sesuatu yang dapat saya banggakan," kata Encik Firman yang kini bertugas sebagai seorang pembangun permainan video.

Tugas beliau termasuk membantu syarikat mendapatkan huraian bagi produk mereka melalui media interaktif seperti permainan video untuk mempermudahkan perbualan tentang isu kesihatan mental.

"Saya rasa apabila anda akhirnya melihat permainan video anda keluar di pasaran dan dapat melihat yang masyarakat main permainan itu dan menikmatinya. Itu jadi kepuasan bagi saya. Saya penuhi peranan itu. Saya telah membuat sesuatu yang menghiburkan. Saya berupaya buat sesuatu yang boleh menyampaikan sesuatu mesej," kata Encik Firman lagi.

Kemahirannya tidak hanya diperolehi daripada pendidikan formal tetapi juga atas inisiatifnya sendiri menjalani kursus-kursus yang tersedia online.

Beliau berpendapat peluang pendidikan dan kejayaan kini lebih luas untuk anak-anak muda.

"Mereka telah melanjutkan pelajaran mereka di universiti, di Singapura atau luar negeri tetapi bukan itu sahaja. Mereka juga cemerlang menerusi cara tidak konvensional seperti membuat podcast, atau dalam YouTube atau dalam TikTok juga. Saya fikir untuk mendapatkan ilmu sekarang ada banyak pilihan," tambah Encik Firman.

Beliau juga menggalak anak-anak muda supaya meneroka dunia seluas mungkin dan jangan takut gagal jika ingin berjaya.

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan