Beriani amal ETF-Masjid Khalid jalin hubungan berbilang kaum, agama
Tempat-tempat ibadah hanya boleh dilindungi menerusi perpaduan masyarakat Singapura dan sebarang ancaman ke atas keharmonian berbilang kaum dan agama tidak boleh dipandang ringan.
SINGAPURA: Tempat-tempat ibadah hanya boleh dilindungi menerusi perpaduan masyarakat Singapura dan sebarang ancaman ke atas keharmonian berbilang kaum dan agama tidak boleh dipandang ringan.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Undang-undang Edwin Tong berkata demikian semasa mengunjungi Masjid Khalid untuk menyertai acara pengagihan beriani amal Dana Amanah Pendidikan (ETF) kelolaan Yayasan MENDAKI pada Sabtu (20 Mac).
Sejak semalam, kakitangan dan relawan masjid sibuk menyediakan lebih 3,000 bungkus beriani.

Hari ini mereka mendapat sokongan daripada Encik Tong dan Datuk Bandar Daerah Tenggara, Fahmi Aliman yang turut menyingsing lengan bersama 100 relawan termasuk dari gereja Heart of God untuk menyediakan beriani yang sudah ditempah terlebih dahulu.
BERITAmediacorp difahamkan, kesemua tempahan beriani sudah cukup dipenuhi dalam kurang dua minggu sahaja!
Lebih S$100,000 berjaya dikumpulkan menerusi penjualan lebih 10,000 bungkus beriani. Ini mendekatkan ETF kepada sasarannya untuk mengumpul S$1.12 juta bagi 2021.
"Matlamat ETF MENDAKI tahun ini berjumlah S$1.12 juta untuk menampung kegiatan MENDAKI dari segi program peningkatan pendidikan. Sejauh ini kami telah mengumpulkan hampir separuh sasaran itu.
"Setiap kanak-kanak di sekolah rendah akan menerima S$200 setiap tahun dan setiap kanak-kanak di sekolah menengah akan menerima S$250 setahun dalam bentuk kredit pengangkutan dan juga baucar buku," kata Pengerusi ETF, Encik Abdul Razak Hassan Maricar.
Bantuan itu akan memanfaatkan sekitar 8,000 pelajar Skim Tuisyen MENDAKI.
MASJID DAN GEREJA SALING BANTU MEMBANTU
Encik Tong memuji semangat gotong royong dan persefahaman berbilang agama yang sudah lama terjalin dalam masyarakat Singapura demi mengukuhkan lagi perpaduan penduduk.
"Acara seperti ini menunjukkan kita adalah masyarakat yang harmoni dan ini tidak boleh diambil ringan. Pada masa yang sama, menerusi acara sebegini, kita dapat menjalin pemahaman mendalam apabila kita berkumpul dan masyarakat dapat meraih manfaat dari usaha kita bersama," kata Encik Tong.

Menurut Pengerusi Masjid Khalid yang juga cef beriani amal tersebut, Encik Alla'udin Mohamad, inisiatif berbilang agama sedemikian sebenarnya sudah lama diamalkan oleh Masjid Khalid.
"Dekat lapan tahun kebelakangan ini kami sudah bekerjasama dengan banyak masyarakat yang bukan Islam, badan-badan suku kaum di Geylang, dan juga bekerjasama dengan gereja Heart of God. Mereka faham keperluan kita, bekerjasama dengan kita dan mereka suka membantu kita."
Usaha pengumpulan dana kedua ETF untuk tahun ini juga disokong Persatuan Phor Tiong Koh Peng.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.