Skip to main content

Singapura

Beriani Amal Cabaran Presiden kembali selepas 5 tahun, hidupkan 'diplomasi beriani' Masjid Khalid

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Beriani Amal Cabaran Presiden kembali diadakan selepas lima tahun sempena meraikan SG60.

Istimewanya kali ini, ia berlangsung di dua lokasi - iaitu persiapan hidangan beriani yang dilakukan di Khidmat Masyarakat Mawar (MCS), sebelum jamuan diadakan di bangunan Masjid Khalid.

Ini berbeza dari tahun-tahun sebelumnya di mana keseluruhan acara diadakan di Masjid Khalid sahaja.

PENAMPILAN SULUNG PRESIDEN THARMAN; TERUSKAN TRADISI

Presiden Tharman Shanmugaratnam, Puan Jane Ittogi dan Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Bagi meraikan 'diplomasi beriani' ini, Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Puan Jane Ittogi turut hadir di acara itu.

Mereka turut disertai Pemangku Menteri bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

"Biasanya Beriani Amal Cabaran Presiden ini diadakan di Masjid Khalid sahaja tetapi buat tahun ini, kita adakan di Khidmat Masyarakat Mawar pertama kali, di mana Presiden berhenti di sana. Selepas itu, beliau membuat lawatan berpandu penjara dan kita memperkenalkannya kepada para penerima bantuan MCS dan aktiviti-aktiviti yang kita lakukan di sini. Selepas itu, beliau pun membuat 'ritual' beriani," kongsi Pengerusi Masjid Khalid Dr Ariffin Kawaja.

Pengerusi Masjid Khalid Dr Ariffin Kawaja. (Gambar: BERITA Mediacorp)

"Daripada situ, baru beliau ke Masjid Khalid untuk adakan acara jamuan. Selalunya sebelum renovasi Masjid Khalid ini, oleh kerana ia hanya mempunyai satu tingkat sahaja, jadi presiden akan makan di sebelah bawah dan semuanya berlaku di sebelah bawah. Namun sekarang, kita sudah ada infrastruktur baharu dan kita juga ada hawa dingin jadi lebih selesa untuk Presiden, para penderma, dan para penerima bantuan dengan pengerusi-pengerusi (masjid) dari seluruh Singapura," tambahnya.

Upacara simbolik yang dimaksudkan itu ialah “menabur rempah dan mengacau periuk beriani” - satu tradisi yang sudah dilaksanakan oleh setiap Presiden sebelum ini sejak ia mula diperkenalkan pada 2000.

Kali terakhir adalah pada 2019 yang dilakukan oleh Puan Halimah Yaacob.

Sekitar 200 hadirin pula menyertai Presiden Tharman dengan jamuan nasi beriani, terdiri daripada para penderma dan penerima bantuan daripada beberapa pertubuhan.

S$150,000 DISASARKAN UNTUK ACARA TAHUN INI

Sehingga 12 periuk beriani disediakan di MCS, dengan sekurang-kurangnya 2,800 bungkus beriani dijangka dijual menerusi acara itu, dengan kesemua kupon sudah habis ditebus masyarakat.

Mereka menyasarkan untuk mengumpul S$150,000 tahun ini bagi Cabaran Presiden dengan tumpuan diberikan kepada golongan kurang upaya, keluarga berpendapatan rendah serta pelbagai badan kebajikan sosial di Singapura termasuk MCS.
 

Para hadirin dijamu nasi beriani semasa acara Beriani Amal Cabaran Presiden. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Selain itu, acara itu juga memberi penghormatan kepada legasi Almarhum Haji Alla'udin Mohamed, yang memulakan "diplomasi beriani' Masjid Khalid - satu tradisi tahunan.

Ia dihidupkan semula oleh Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) selepas dihentikan akibat COVID-19.

Legasi Almarhum Haji Alla'udin Mohamed, yang memulakan "diplomasi beriani' Masjid Khalid. (Gambar: Nazirah Jamzuri)

Menurut Dr Faishal, inisiatif itu menjadi wadah untuk menyatukan masyarakat dari pelbagai kaum, agama dan latar belakang, demi tujuan yang lebih besar.

"Tradisi ini dihentikan semasa pandemik COVID-19 setelah lima tahun. Kita kini menghidupkannya semula sebagai bukti ketabahan masyarakat kita dan semangat gotong-royong yang kekal menjadi nadi kisah Singapura," kongsi Dr Faishal kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Ini mencerminkan nilai-nilai teras kita iaitu belas kasihan, keterangkuman dan semangat khidmat yang mengikat kita bersama sebagai satu masyarakat. Cabaran Presiden ini bukan sekadar usaha mengumpul dana. Matlamat utamanya juga adalah memupuk semangat sukarelawan, kemajmukan kaum dan penghargaan silang budaya sebagai cara kehidupan Singapura," tambah beliau.

MASJID, BADAN MASYARAKAT SG ERATKAN SILATURAHIM

Dr Faishal memuji usaha badan-badan yang terlibat bagi acara Beriani Amal Cabaran Presiden. (Gambar: BERITA Mediacorp)

Beliau juga memuji usaha badan-badan yang terlibat termasuk para kakitangan dan relawan Masjid Khalid, MCS, RLAF, Sektor Satu Masjid (OMS) dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

"Ini menyokong usaha kita untuk menyatupadukan masyarakat untuk mengadakan landasan yang baik, membuka ruang bagi masyarakat untuk sama-sama melakukan kerja-kerja baik, untuk menolong mereka yang memerlukan tidak kira bangsa, agama ataupun latar belakang," ujar Dr Faishal.

"Justeru, dengan adanya pendekatan seperti ini, masjid-masjid bersama-sama dengan masyarakat Singapura dan badan-badan yang lain turun padang, bukan sahaja meningkatkan perjalanan kita dalam membangunkan masyarakat yang kohesif tetapi mempereratkan lagi hubungan silaturahim dan juga kerjasama dalam kalangan masyarakat kita di Singapura," tambahnya.

Acara hari ini diakhiri dengan pengagihan 1,000 pek beriani kepada keluarga-keluarga berpendapatan rendah di seluruh Singapura.

Jumlah itu merupakan sebahagian daripada keseluruhan kupon beriani yang dijual.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita