'Berguna bagi rundingan' isu Lapangan Terbang Seletar dirahsiakan, menurut MOT
Kementerian Pengangkutan (MOT) menyatakan pada Isnin (10 Dis) bahawa adalah 'berguna' jika rundingan-rundingan yang diadakan dengan Malaysia berhubung prosedur penerbangan di Lapangan Terbang Malaysia dirahsiakan.
SINGAPURA: Kementerian Pengangkutan (MOT) menyatakan pada Isnin (10 Dis) bahawa adalah 'berguna' jika rundingan-rundingan yang diadakan dengan Malaysia berhubung prosedur penerbangan di Lapangan Terbang Malaysia dirahsiakan. Namun, MOT menambah bahawa ia tidak mempunyai sebarang bantahan sekiranya Malaysia ingin mengeluarkan surat-menyurat antara kedua-dua negara.
Kementerian itu menyatakan demikian sebagai respons kepada dakwaan yang dibuat oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia bahawa Singapura membuat pendedahan 'separa dan terpilih' mengenai pertukaran antara kedua-dua negara bagi mempengaruhi pandangan awam.
Malaysia merujuk kepada dokumen-dokumen yang dikeluarkan oleh MOT pada 4 Disember berhubung rundingan-rundingan yang diadakan antara Singapura dengan Malaysia mengenai prosedur-prosedur Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) bagi Lapangan Terbang Seletar.
Ini termasuk petikan daripada minit mesyuarat pada Disember 2017, di mana Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) membentangkan pelan pelaksanaan bagi prosedur ILS di Seletar, serta kiriman emel yang dihantar oleh CAAS kepada Penguasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pada bulan Jun dan Ogos berhubung perkara tersebut.
Pada minggu lalu, Malaysia membantah penerbitan prosedur ILS oleh Singapura dengan Menteri Pengangkutan negara itu, Anthony Loke, mengatakan bahawa Malaysia mahu mengambil semula 'ruang udara yang diwakilkan' di selatan Johor.
Di bawah aturan sedia ada, pengurusan ruang udara di selatan Johor diwakilkan kepada Singapura. Ini bermakna Singapura menyediakan khidmat kawalan trafik udara di ruang udara tersebut.
Pada Isnin (10 Dis), Kementerian Pengangkutan Malaysia menyatakan bahawa meskipun ia menghargai usaha MOT untuk menggalak ketelusan, dokumen-dokumen yang didedahkan oleh Singapura "hanya separa dan terpilih dengan tujuan asasnya untuk mempengaruhi pendapat awam".
MOT bagaimanapun menyatakan ia mengeluarkan dokumen-dokumen tersebut sebagi respons kepada pertanyaan pihak media selepas Malaysia "membuat dakwaan kurang tepat" bahawa penguasa penerbangannya hanya dimaklumkan mengenai perkara itu dua bulan lalu, iaitu pada Oktober.
"Singapura berpendapat bahawa adalah berguna jika rundingan-rundingan dirahsiakan bagi memudahkan pertukaran yang telus dan membina," menurut MOT.
"Oleh itu, kami belum mengeluarkan sebarang surat-menyurat lain antara Singapura dengan Malaysia berhubung perkara ini."
Dalam kenyataannya, Kementerian Pengangkutan Malaysia juga menggesa agar MOT mengeluarkan surat-surat yang dihantar oleh CAAM kepada CAAS pada tarikh 9 Oktober, 15 November, 21 November dan 28 November 2018.
"Sekiranya MOT gagal berbuat demikian, kami bersedia untuk mengeluarkan surat-surat bagi pendedahan sepenuhnya mengenai maklumat tersebut supaya orang awam memahami keadaan," menurutnya.
Dalam responsnya, MOT menyatakan ia tidak mempunyai sebarang bantahan sekiranya Malaysia ingin mengeluarkan surat-menyuarat berhubung perkara itu sambil menambah bahawa Malaysia harus menerbitkan semua rekod perbincangan antara kedua-dua negara 'demi ketelusan'.
"Kami mendapati bahawa Kementerian Pengangkutan Malaysia hanya setakat mengeluarkan surat-surat dari Oktober dan November 2018.
"Demi ketelusan, Malaysia harus memastikan agar semua surat-menyurat dan rekod perbicangan antara Singapura dengan Malaysia diterbitkan, termasuk rekod perbincangan mesyuarat terbaru antara kedua-dua negara pada 29-30 November 2018," menurut MOT.
Kedua-dua pihak juga terlibat dalam pertikaian maritim selepas Malaysia meluaskan had pelabuhan Johor Bahru, yang menurut pemerintah Singapura, "mencerobohi perairan Singapura di Tuas".
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.