Skip to main content

Singapura

"Berbuat baik adalah percuma" - penerima Anugerah Khidmat Emas 2025

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sepanjang 15 tahun berkecimpung dalam bidang perkhidmatan, Pengurus Bertugas di Oasia Hotel Novena, Muhammad Ridzwan Ramly selalu mengutamakan para pengunjung dan tetamu hotel.

Bila terjadinya sesuatu masalah, beliau selalu memikirkan situasi yang mereka alami.

"Saya selalu cuba untuk meletakkan diri saya di dalam situasi tetamu saya, untuk lebih memahami apa yang mereka lalui dan dari situ cuba untuk mencari jalan penyelesaian," katanya.

Itu yang dilakukan Encik Ridzwan sewaktu salah seorang tetamunya mengalami masalah kesihatan.

"Ibu saya menghidap penyakit jantung. Jadi apabila berlaku suatu situasi, terutama tentang masalah kesihatan, saya amat prihatin tentang tetamu saya," jelasnya.
(Gambar: Singapore Kindness Movement)
Encik Ridzwan cuba memberi layanan terbaik serta memudahkan urusan keluarga itu dengan memberi layanan makanan dalam bilik.

Beliau turut membawa tetamu tersebut ke hospital terdekat dengan menolaknya menggunakan kerusi roda.

Berkat kegigihan dan dedikasinya, Encik Ridzwan terpilih menjadi salah seorang daripada tujuh penerima anugerah khas dalam Anugerah Khidmat Emas tahun ini.

Secara keseluruhannya, 143 individu daripada sektor itu diiktiraf dengan Anugerah Khidmat Emas kali ini.

Edisi ke-31 majlis penganugerahan itu dianjurkan bersama oleh Persatuan Hotel Singapura (SHA) dan Gerakan Baik Budi Singapura (SKM) mengiktiraf kakitangan perkhidmatan hotel yang menunjukkan dedikasi luar biasa dalam tugas mereka.

"Berbuat baik adalah percuma," kata Encik Ridwan.

BEKERJA BUKAN DEMI GANJARAN

Lagi seorang penerima anugerah khas itu tahun ini ialah Pengurus Bertugas di Hotel Mercure ICON Singapore City Centre, Nuryuleanee Ismail.

Beliau juga mengalami pengalaman serupa dengan tetamu hotel yang alami kecemasan perubatan.

Dalam detik-detik cemas itu, Cik Nuryuleanee perlu kekal tenang.

Sikap tenang yang ditunjukkannya bukan hanya meredakan keadaan, namun menjadi inspirasi kepada rakan sekerjanya yang lain.
(Gambar: Singapore Kindness Movement)
"Saya perlu bertindak cepat kerana ia boleh menyelamatkan keadaan tetamu," katanya.

Beliau tidak sangka tindakannya menyebabkan dirinya dinobatkan sebagai penerima anugerah khas itu.

"Saya tidak percaya saya adalah salah satu peserta yang menerima anugerah ini kerana saya tidak bekerja untuk mengharapkan ganjaran. Saya bekerja dengan mengikut kerelaan saya," kata Cik Nuryuleanee.

Menurutnya, beliau melakukan lebih daripada tugas yang ditetapkan untuk memberi perkhidmatan yang terbaik bagi organisasinya.

Pengiktirafan tersebut membakar lagi semangatnya untuk meningkatkan mutu perkhidmatannya.

Beliau turut berharap dapat menjadi contoh baik bagi rakan sekerjanya yang lain untuk melakukan perkara yang sama.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita