Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Berbelanja sebelum kenaikan GST, permintaan naik bagi khidmat ubah elok rumah, umrah jelang akhir tahun

Bagi mengelak daripada membayar lebih dengan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mulai 1 Januari 2023, ramai yang berebut untuk membuat pembelian sebelum akhir tahun.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bagi mengelak daripada membayar lebih dengan kenaikan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) mulai 1 Januari 2023, ramai yang berebut untuk membuat pembelian sebelum akhir tahun. 

Ini lebih-lebih lagi bagi perbelanjaan tinggi seperti kerja ubah elok rumah dan pakej percutian termasuk umrah. 

GST akan dinaikkan daripada tujuh kepada lapan peratus mulai 1 Januari 2023.

Antara syarikat yang menyaksikan kenaikan ketara permintaan tersebut ialah syarikat pelancongan umrah, Zaky Alwie Travel & Services.

Sungguhpun syarikatnya sudahpun membuka tempahan bagi pakej-pakej umrah sepanjang tahun 2023, masih ramai yang masih 'mencuba nasib' untuk mendapatkan pakej umrah sebelum akhir tahun.



"Orang masih bertanya untuk pakej tahun ini. Ia sangat suntuk. Jawapan kami adalah kita tidak mendapatkan tempat duduk dalam kapal terbang. Mereka nak pergi umrah sebelum kenaikan GST ini supaya dapat harga yang lebih berpatutan," kata Pengarah Pengurusan, Shaikh Ahmad Zaki Shaik Alwie.

Kos bagi pakej umrah yang ditawarkan syarikatnya berharga antara S$3,800 hingga S$4,500 setiap seorang.

Bagi syarikat itu, perbezaan harga antara pakej yang ditawarkan sebelum dengan selepas GST dinaikkan tidak begitu besar.

(Gambar: Shaikh Ahmad Zaki Shaik Alwie)

Sungguhpun harga GST dinaikkan, Encik Zaki menjelaskan, ia hanya akan dikenakan kepada beberapa komponen sahaja seperti cukai lapangan terbang dan tiket penerbangan.

"Bukan keseluruhan harga pakej itu yang ada GST. Hanya sebilangan faktor yang ada GST dan jumlah kenaikan itu tidak berapa tinggi. Dan mungkin ada yang ejen pelancongan boleh menelan kos, dan mungkin ada yang perlukan jemaah untuk menambah sedikit," jelasnya.



Bagi meringankan kesan kenaikan kos kepada para jemaah juga, beliau memberi jaminan bahawa kenaikan akan dilakukan secara bertahap-tahap.

"Harga yang naik pun dalam harga pakej mungkin naik S$50. Ataupun kita genapkan $100 sahaja. Dia tak naik melonjak besar sangat sebab komponen dalam kos yang kita buat umrah ini tidak besar. Kami menggunakan dana pelbagai untuk menampung (kenaikan) GST untuk beberapa bulan pertama. Apabila kita naikkan harga sikit-sikit, orang akan mula faham," kata Encik Zaki.

Sejauh ini, sekitar 35 peratus pakej-pakej umrah untuk tahun hadapan sudahpun penuh ditempah.

TEMPAHAN BAGI KERJA UBAH ELOK RUMAH NAIK HAMPIR 20%

Sebuah lagi sektor perniagaan yang melihat permintaan meningkat hujung tahun ini ialah khidmat ubah elok rumah.

Bagi Hamid & Sons Interior Design, syarikatnya menyaksikan jualan pada suku keempat tahun ini meningkat hampir 20 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Kami memberi peringatan (pada pemilik-pemilik rumah baru) bahawa mereka mesti mengambil pakej ini sebelum 2023 untuk mengelakkan GST," kata Eksekutif Pemasaran, Cik Shamin Shahirah Mohamed Nasir.

Harga promosi pakej ubah elok untuk seluruh flat baru dan jual semula yang ditawarkan buat masa ini adalah antara $15,000 hingga S$30,000.

Sejauh ini, tempahan bagi pakej ubah elok rumah di syarikatnya sudahpun penuh sehingga Februari tahun depan.

Meskipun ada sebilangan pelanggan yang ingin segera mengambil pakej ubah elok rumah sekarang kerana mahu mengelakkan pembayaran GST, tidak semua yang akan diterima syarikat berusia lebih 33 tahun itu.

(Gambar: Syawal Yusoff)

"Kami akan memberitahu mereka bahawa ada juga faktor-faktor selain GST yang mungkin berubah dalam beberapa bulan ini. Sebab mungkin ada bahan atau trend baru dalam ubah elok rumah.

"Kami memberitahu mereka bahawa masa yang tepat untuk mengambil khidmat rekaan dalaman adalah empat hingga enam bulan sebelum tarikh pengambilan kunci mereka," kata Cik Shamin.

Hamid & Sons juga bakal mempertingkatkan lagi bilik-bilik pameran di tiga cawangannya di Joo Chiat, Marsiling dan West Coast bagi menawarkan khidmat yang lebih baik pada tahun depan.

Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan